Tuesday, November 29, 2016

Populariti Mendadak, Gmie Mula Dikunjungi Saudara-Mara



Gmie semakin dikenali berbanding ketika awal kemunculan mereka sekitar tahun 1990-an.
SHAH ALAM: Penyanyi Gmie (Screen) masih tidak percaya dengan poulariti yang diraihnya selepas menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) apabila bilangan orang yang mengenalinya naik secara mendadak berbanding suatu ketika dahulu.

Gmie atau nama sebenarnya, Hajmi Ibrahim, 45, berkata, populariti itu juga memberi kesan terhadap kehidupan hariannya apabila saudara-mara mula datang menziarahinya semata-mata ingin bertemu dan mengambil gambar.

"Saya masih rasa seperti tidak percaya menerima ramai peminat secara tiba-tiba sejak menyertai program ini, malah ramai juga peminat baru yang sebelum ini tidak kenal pun saya sebagai seorang penyanyi.

"Malah, boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja saudara-mara saya yang datang dari jauh bertandang ke rumah untuk bertemu saya. Ia seperti hari raya pula rasanya," ujar Gmie.

Gmie ditemui selepas selesai konsert separuh akhir GV3 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) malam Ahad lalu.

Penyanyi yang popular sekitar tahun 90 an itu bakal membawakan lagu Bila Bulan Berwarna Biru dan Salam Terakhir pada malam akhir program tersebut Ahad ini.


Gmie (kiri) bersama Tomok ketika membawakan lagu 'Sejarah Mungkin Berulang' pada malam separuh akhir, Gegar Vaganza 3 Ahad laluu. Foto dari Instagram Gmie.
Sementara itu, Gmie berkata selain rumah dikunjungi saudara-mara, dia juga mendapat perhatian yang luar biasa ketika ke pasar malam berhampiran kawasan kediamannya di Shah Alam.

"Kalau dulu orang buat tak tahu sahaja, sekarang ramai yang tegur saya dengan ucapan-ucapan yang baik. Mereka juga beri banyak makanan yang dijual untuk saya rasa.

"Tapi saya juga ada rasa bimbang bila ramai peminat, saya takut tidak dapat memberikan yang terbaik dan menghampakan mereka," ujarnya.

Selain itu, Gmie berkata, perjalanannya hingga ke peringkat akhir ini sedikit sebanyak membantu kumpulannya untuk kembali berada dalam industri.

Dia juga bersyukur kerana kesemua anggota kumpulan itu memberi sokongan penuh kepadanya untuk berjuang dalam pertandingan berkenaan.

"Selepas program ini saya sudah ada perancangan dengan Screen, saya tidak akan bergerak solo sebaliknya akan kekal bersama kumpulan saya," ujarnya.

Ditanya tentang kerjayanya sebagai seorang kerani di sebuah syarikat perkapalan, Gmie berkata dia tidak akan berhenti daripada pekerjaan tersebut.

"Saya sudah lama bekerja di sana, kira-kira lebih 20 tahun. Pihak majikan juga banyak memberi sokongan, malah menyediakan apa sahaja kelengkapan untuk menyokong saya pada setiap minggu," ujarnya.

Puteri Sarah Beli Persiapan Bayi Di London



Puteri Sarah
PETALING JAYA: Pelakon Puteri Sarah memberitahu dia akan mula membuat persedian untuk menyambut bayi sulungnya bulan hadapan ketika kandungan mencecah lima bulan.

Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 31, berkata, dia sekeluarga akan bercuti di London akhir tahun ini sekali gus mahu membeli keperluan bayi di sana.

"Setakat ini saya belum beli apa-apa lagi kerana bulan depan kami merancang untuk bercuti sekeluarga ke London dan Paris.

"Jadi lebih baik saya beli sekali keperluan bayi di sana sahaja kerana biasanya pada akhir tahun banyak jualan murah," ujarnya.
Sarah berkata, kandungan pertamanya itu sudah disahkan bayi lelaki dan dia dijangka bersalin pada April tahun hadapan.

Sarah bakal bercuti bersama suami dan ahli keluarganya pada Disember ini.
Menceritakan pengalaman sebagai wanita hamil, katanya, dia kini lebih mengemari makanan pedas.

"Saya pelik sejak mengandung ini boleh pula saya terima makanan pedas seperti Syamsul yang sukakan pedas.  Saya yakin bayi ini akan ikut perangai ayahnya kerana suka makanan pedas.

"Selain itu, saya juga mengambil banyak makanan tambahan untuk kandungan, sehari lebih tujuh biji pil saya makan. Namun, saya sudah merujuk terlebih dahulu makanan tambahan itu kepada doktor sebelum mengambilnya," ujar Sarah.

Selain itu, Sarah berkata, suaminya terlalu mengambil berat dan tidak membenarkan dia melakukan kerja-kerja berat sejak mengetahui tentang kehamilan tersebut.

Sarah berkata, Syamsul juga tidak benarkan dia menerima apa-apa tawaran berlakon atau pengacaraan yang boleh menjejaskan masa rehatnya.

"Kalau tidak saya ada satu tawaran untuk jadi hos program televisyen tapi terpaksa tolak kerana takut mejejaskan kandungan.

"Program ini memerlukan saya membuat aktiviti lasak dan perkara tersebut tidak dipersetujui oleh suami saya. Tiga bulan pertama saya diminta hanya duduk sahaja di rumah berehat," ujarnya.

GV3: Ameng Sedia Markah Dipotong Akibat Nyanyi Lagu Sendiri



Ameng bakal membawakan lagu sendiri pada pentas akhir minggu depan.
SHAH ALAM: Penyanyi Ameng (Spring) bersedia menanggung risiko markahnya dipotong pada persembahan konsert akhir Gegar Vaganza 3 yang bakal berlangsung minggu depan berikutan dia menyanyikan lagu sendiri.

Ketua juri Datuk Ramli MS berkata, pihaknya sudah menjelaskan beberapa kemungkinan yang berlaku kepada peserta jika mereka membawakan lagu sendiri.

Katanya, peserta tersebut tidak mendapat markah penuh berikutan tiada cabaran daripada segi penghafalan lirik baru.

"Perkara ini saya sudah jelaskan kepada peserta, jika mereka bawa lagu sendiri tiada markah penuh diberikan kerana ia kerja mudah dan tidak perlu untuk menghafal lirik.

"Sebab itu saya suka jika mereka diberikan lagu-lagu baru yang lebih mencabar dan memerlukan mereka untuk buat kajian. Lagu-lagu lama yang popular kebanyakkannya sudah menjadi lagu makanan mereka ketika mengadakan persembahan," ujarnya.

Ramli MS
Beliau ditemui pada sidang media selepas konsert Gegar Vaganza 3 yang berlangsung di Auditorium MBSA, malam Ahad.

Ameng bakal membawakan lagu popularnya iaitu Bouganvilla dan Romantis secara madley pada pentas akhir itu nanti.

Sementara itu, Ameng berkata, kedua-dua lagu yang diterimanya daripada senarai lagu pilihan yang diberikan dia kepada pihak produksi sejak bermula program itu.

Katanya, dia sendiri terkejut menerima lagu berkenaan pada konsert akhir.

"Pada awal program pihak produksi minta kita senaraikan lagu yang menjadi pilihan kita, saya letak beberapa lagu termasuk beberapa lagu sendiri.

"Saya juga ada pilih beberapa lagu baru seperti lagu rap, tidak sangka pula lagu sendiri pula diberikan untuk peringkat akhir ini," ujarnya.

Bagaimanapun, Ameng berkata, dia tidak kisah jika markah dipotong dan enggan terlalu memikirkan tentang kemenangan.

Dia berkata, apa yang lebih penting dapat menamatkan pertandingan tersebut dengan memberikan persembahan terbaik.

"Pada tahap ini saya tidak fikir lagi menang atau kalah. Saya tidak kisah pun jika markah dipotong kerana saya sudah terima apa sahaja keputusan nanti.

"Apa yang saya fikirkan sekarang ialah perjalanan selepas tamatnya program ini," ujarnya yang mengakui banyak tawaran yang terpaksa ditolak disebabkan komitmen terhadap Gegar Vaganza.

Raqim Ahmad

Manakala, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, pihak Astro menjalankan proses penjurian secara telus berdasarkan markah yang diberikan oleh juri.

Katanya, peserta juga diberi kelonggaran jika ingin menukar lagu mereka seperti yang dilakukan peserta-peserta sebelum ini.

"Peserta memang diberi kelonggaran untuk bawa lagu sendiri tapi mereka sudah diberitahu oleh juri bahawa markah akan dipotong atas beberapa sebab jika bawa lagu sendiri.

"Namun, lagu sendiri tetap ada cabarannya kerana kita mahu mereka membuat susunan baharu dan berbeza daripada lagu asal," ujarnya.

"Tolonglah Beri Sedikit Rasa Hormat" - Luahan Hati Nora Ariffin



Nora Ariffin
SHAH ALAM: Penyanyi Nora Ariffin mengakui keputusannya untuk menyanyi lagu pilihan media iaitu All I Ask nyanyian asal Adele membuatkan dirinya berhadapan risiko besar untuk tersingkir.

Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin, 43, bagaimanapun berkata, dia tekad menyahut cabaran itu bagi memuaskan hati semua pihak.

"Saya ambil keputusan untuk nyanyi lagu itu dua hari sebelum konsert ini, walaupun saya sedar ia adalah risiko yang besar kerana lagu itu sangat susah.

"Sejujurnya, selepas konflik ini berlaku saya beritahu produksi untuk bawa lagu pilihan media, tapi mereka tidak benarkan dan bila tekanan semakin hebat saya rasa seperti berada di persimpangan dilemma. Akhirnya saya putuskan untuk bawa kedua-dua lagu itu," ujarnya.

Nora ditemui selepas pada sidang media selepas konsert separuh akhir Gegar Vaganza 3yang berlangsung di Auditorium MBSA, di sini, malam Ahad.

Nora menyanyikan lagu Sandiwara dan All I Ask yang digabungkan bagi segmen solo, manakala duet bersama Aizat Amdan menerusi lagu Lagu Untuk Mu.


Nora ketika menyampaikan Lagu Untuk Mu.

Kontroversi tercetus sebelum ini apabila pada peringkat suku akhir minggu lalu, Nora menolak untuk menyanyikan lagu All I Ask yang dipilih pihak media sebaliknya mahu menyanyikan lagu sendiri iaitu Sandiwara.
Dalam pada itu, Nora mengakui menerima kecaman teruk daripada netizen berhubung konflik pertukaran lagu itu sejak minggu Rockdut, apabila dia dikatakan menukar lagu dangdut yang diterimanya kepada lagu rock berjudul Bring Me To Life.

Malah katanya, sejak itu pelbagai tomahan dan fitnah yang dilemparkan sewenang-wenangnya sehingga menjejaskan maruah sebagai seorang penyanyi dan isteri.

"Ramai netizen yang benci saya sejak isu tukar lagu dangdut lagi, saya sudah jelaskan ia bukan kehendak saya tetapi pihak produksi yang salah umum.

"Mereka mula buat tuduhan yang bukan-bukan kononnya saya ada skandal dengan orang Astro dan macam-macam lagi.

"Bukan saya sahaja, malah anak saya yang sedang mengambil peperiksaan di sekolah juga turut terkesan apabila pemeriksa bertanya kepadanya mengapa emak awak tukar lagu, kasihan dekat dia tidak fokus menjawab," ujarnya.

Nora Ariffin
Lebih parah lagi, Nora berkata, perkara itu juga menjejaskan hubungannya dengan orang sekeliling dan rakan artis lain yang mula memberi persepsi negatif kepadanya.

"Ia benar-benar memberi kesan negatif, malah saya berjalan pun orang pandang, antara rakan artis pun bersikap lain terhadap saya dan ada juga menegur saya menzahirkan rasa simpati.

"Ada juga individu hantar mesej peribadi saya untuk meminta maaf kerana mengutuk saya di laman sosial. Apa semua ini?," soalnya.

Sementara itu, mengulas tentang isu berlagak diva, Nora berkata, sebagai artis berpengalaman lebih 20 tahun, dia perlu mendapat sedikit rasa hormat.

"Saya sudah lali dengan tuduhan ‘kekwat-kekwat’ (sombong), diva-diva ni, saya ni orang lama bukan budak-budak yang baru menyanyi, tolonglah beri sedikit rasa hormat.

"Macam juga wartawan, kita ada wartawan senior dan wartawan junior, tidak boleh di samakan, ada juga jurang-jurang itu," ujarnya.

Selain itu, bercakap tentang perancangan selepas program ini, katanya, dia akan berehat bagi meluangkan masa bersama keluarga dan anak-anak.

Bella Dally Sukar Capai Keserasian Dengan Syamsul Yusof



Bella Dally
PETALING JAYA: Pelakon Bella Dally mengakui sukar mencapai keserasian dengan aktor gandingannya Syamsul Yusof dalam filem terbaharu pengarah Syafiq Yusof berjudul Desolasi.

Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally, 26, berkata, perkara tersebut disebabkan pengarah Munafik itu kurang bercakap dengan pelakon wanita.

"Saya akui susah sikit untuk mencapai keserasian dengan Syamsul kerana kami jarang bercakap dan dia tidak bergaul sangat dengan pelakon wanita.

"Beberapa hari jugalah saya ambil masa untuk dapatkan keserasian itu, saya pula ada rasa gementar kerana dia Syamsul Yusof. Sepatutnya untuk capai lakonan yang bagus kita kena tahu karakter pasangan kita dalam lakonan," ujarnya.

Barisan pelakon utama Desolasi.
Bella ditanya tentang keserasiannya dengan pelakon Syamsul Yusof dalam filem Desolasi ketika ditemui selepas majlis pratonton Desolasi yang diadakan di GSC One Utama, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Bella berkata, Syamsul sendiri ada memberitahu tentang sikap tersebut kepadanya agar tidak timbul rasa kurang senang.

"Dia ada datang beritahu saya bahawa dia memang bersikap begitu dengan pelakon perempuan, jadi saya tidak ambil hati atau tertanya-tanya," ujarnya.

Dalam pada itu, Bella berkata, penggunaan kesan pengimejan berkomputer (CGI) turut memberi cabaran kepadanya dalam membawakan watak Maya.

"Selain hujan, CGI turut memberi cabaran kepada saya kerana saya perlu membayangkan sesuatu perkara ketika melakonkan sesuatu adegan," ujarnya.

Nora Ariffin Tersingkir, Enam Peserta Ke Final GV3



Peserta Gegar Vaganza 3 yang layak ke peringkat akhir Ahad depan dari kiri; Gmie (Screen), Ameng, Zarul Husin, Intan Sarafina, Siti Sarah dan Azharina. 
SHAH ALAM: Enam peserta bakal berentap di peringkat akhir program Gegar Vaganzamusim ketiga yang bakal diadakan pada Ahad depan.

Penyanyi tersebut ialah Azharina, Zarul Husin, Intan Sarafina, Ameng, Gmie (Screen) dan Siti Sarah.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi penyanyi Nora yang membawakan lagu 'Lagu Untukmu' dan gabungan 'Sandiwara' dan 'All  I Ask' pada malam separuh akhir itu selepas dia mendapat tempat tercorot dan gagal meneruskan perjuangan minggu depan.

Nora Ariffin
Pengumuman itu dilakukan oleh pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Pada peringkat akhir nanti, enam peserta bakal merebut hadiah berupa wang tunai RM100,000 yang ditawarkan kepada pemenang utama tajaan Qu Puteh.

Ia bakal bersiaran dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor dan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria bermula pukul 9 malam.

Selain Datuk  Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim, separuh akhir GV3 turut diadili oleh Datin Seri Tiara Jacquelina sebagai juri jemputan.

Tindakan Pengawal Rampas Telefon Sangat Biadab - Ayda Jebat



Ayda Jebat
PETALING JAYA: Pelakon Ayda Jebat menyelar tindakan pengawal yang bertindak merampas telefon bimbit ketika sedang berselfie bersama bintang Running Man, Lee Kwang Soo sebagai tidak beradab.

Ayda menerusi laman twitternya pada Sabtu meluahkan rasa marah dan berpendapat pihak yang menjaga keselamatan selebriti luar itu perlu bertimbang rasa dan menghormati orang yang ingin bergambar.

"Kamu sangat biadab," tulisnya.

Video kejadian itu menjadi viral berikutan rasa tidak puas hati netizen terhadap tindakan pengawal itu merampas telefon bimbit milik penyanyi lagu Pencuri Hati itu.

Ayda bersama beberapa rakan artis lain iaitu Ajak Shiro, Saharul Ridzwan dan Hairul Azreen terlibat dalam program Running Man Challenge – hydrated by 100PLUS Malaysia with Lee Kwang Soo yang berlangsung di Paradigm Mall, Sabtu.


Tambah Ayda, perkara itu turut mengejutkan dia dan rakan selebriti lain yang turut sama berada dalam kejadian tersebut.

Bagaimanapun, Lee Kwang Soo kemudiannya bertindak meminta telefon itu daripada pengawal dan mengambil selfie bersama sebelum memulangkannya semula kepada Ayda.

Ayda turut membalas komen peminatnya yang tidak berpuas hati dengan tindakan berkenaan dengan berkata, pengawal itu sepatutnya menghormati siapa juga yang sedang bergambar.

"Kalau bukan saya pun, anda seharusnya hormat orang yang hendak bergambar. Tak boleh?" katanya.

Lagu Tema 'Ola Bola' Menang Di Anugerah Filem Golden Horse Ke-53




Zee Avi bersama anugerah yang diterima.
PETALING JAYA: Filem Ola Bola mengukir satu lagi kejayaan apabila diumum memenangi kategori Lagu Asal Terbaik menerusi lagu Arena Cahaya nyanyian Zee Avi di Anugerah Filem Golden Horse ke-53, malam Sabtu.

Zee Avi dan penulis lagu berkenaan Rendra Zawawi menerima trofi di acara yang berlangsung di Dewan Memorial Sun Yat Sen di Taipei, Taiwan.

Zee dalam ucapannya mengakui terkejut dan terharu dengan kemenangan tersebut.

"Saya fikir datang ke majlis ini hanya untuk menyanyikan lagu berkenaan sahaja. Terima kasih kepada pengarah filem Ola Bola iaitu Chiu untuk peluang ini.

"Ini adalah projek yang sangat bagus kerana lagu ini mengenai perpaduan, kepelbagaian dan keharmonian, ia juga mnegingatkan kita bahawa kita semua sama," ujarnya.

Arena Cahaya menewaskan empat calon lain termasuk saingan terdekatnya nyanyian Lead Dou's (It's Not Crime), Its Just What We Do yang menjadi lagu tema filem Soul Mate.

Filem Ola Bola diarahkan oleh Chiu Keng Guan ditayangkan pada Februari lalu mendapat sambutan menggalakkan dan mencecah kutipan boc-office sebanyak RM16.67 juta.

Syafiq Yusof Berdepan Cabaran Hasil Desolasi



Syafiq Yusof
PETALING JAYA: Pengarah filem Syafiq Yusof memberitahu dia terpaksa menempuhi pelbagai cabaran termasuk cuaca yang kerap kali hujan ketika menjalani penggambaran filem terbaharunya berjudul Desolasi.

Bagaimanapun, Syafiq,23, berkata, dia tidak pernah patah semangat, sebaliknya percaya apa yang dilalui itu sebagai ujian untuk menjadikannya lebih kuat.

"Banyak cabaran yang terpaksa saya lalui sepanjang penggambaran tersebut salah satunya ialah cuaca yang tidak menentu dan sering hujan. Ada suatu hari, kami terpaksa menukar lokasi dari Putrajaya ke Taman Melawati. 

"Setelah sampai di kawasan rumah saya di Taman Melawati tiba-tiba ada pokok tumbang pula yang menghalang perjalanan ke lokasi itu. 

"Kemudian kami kembali semula ke lokasi asal kerana hujan sudah reda, namun ada masalah lain pula timbul iaitu set janakuasa yang membekalkan tenaga elektrik pula rosak," ujarnya.

Syafiq ditemui selepas pratonton filem terbaharunya berjudul Desolasi yang diadakan di GSC, One Utama, di sini, malam Jumaat. 
Barisan pelakon Desolasi

Filem tersebut dibintangi oleh abangnya iaitu Syamsul Yusof, Bella Dally, Pekin Ibrahim dan Datuk Jalaluddin Hassan. 

Sementara itu, mengulas tempoh masa agak lama menyiapkan karya berkenaan, Syafiq berkata, ia disebabkan penggunaan kesan khas dan teknik pengimejan berkomputer (CGI).

"Hampir 60 peratus CGI digunakan dalam filem ini yang mana mengambil masa agak lama untuk disiapkan. Bulan lepas baru betul-betul siap semuanya. 

"Hampir dua tahun jugalah, sebenarnya filem ini siap penggambaran dahulu sebelum Mat Moto dan Munafik," ujarnya. 

Sementara itu, ditanya tengan babak mengosongkan jalan di sekitar Kuala Lumpur, Syafiq berkata, dia hanya meminta kebenaran menghentikan kenderaan hanya beberapa saat. 

Dia turut menggunakan CGI untuk membuang imej manusia bagi menampakkan kesan terbaik untuk filem berkenaan. 

"Kita boleh hentikan kereta tapi kita tidak boleh hentikan orang untuk berjalan, jadi saya terpaksa CGI imej-imej orang yang yang kelihatan agar benar-benar nampak jalan itu kosong," ujarnya. 

Bercerita tentang idea karya berkenaan, Syafiq berkata, ia adalah perasaan yang ingin dilalui oleh setiap manusia ketika meningkat dewasa. 

"Setiap orang akan ada perasaan keliru dan kecelaruan serta sikap ingin tahu apabila berhadapan dengan banyak masalah. 

"Selain itu, saya selitkan penyakit iaitu penyakit nyanyuk Anton Babinski yang jarang ditemui sebagai menyedapkan lagi jalan cerita," ujarnya.

Mya Nana Jaga Penampilan Selepas Bergelar Artis



Hazama bersama artis bawah naungannya Mia Nana.
PETALING JAYA: Bekas peserta Mentor Milenia, Mya Nana mengakui lebih menjaga penampilannya ketika berada di khalayak ramai selepas bergelar selebriti. 
Mya atau nama Nurul Amira Mat Nasir, 20, berkata, dia sedar status sebagai selebriti membuatkan penampilannya kini lebih mendapat perhatian berbanding sutu ketika dahulu.
"Selepas keluar program Mentor Milenia saya sedar ramai yang sudah mula mengenali saya, jadi secara tidak langsung saya menjaga penampilan agar tidak nampak terlalu selekeh.
"Maklumlah dahulu saya hanya pelajar dan hanya capai apa sahaja yang ada depan mata kerana bagi saya tiada siapa pun yang kisah dengan penampilan saya," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, protoge kepada penyanyi Hazama ini berkata, dia baharu sahaja melancarkan single berjudul Aku Suka.

Tambahnya, dia bertuah apabila penyanyi lelaki itu mengambil berat dalam merancang kerjaya seninya, biarpun selepas program Mentor Milenia.

"Alhamdulillah, Hazama sudi mengambil saya dan membantu saya merancang kerjaya dalam industri ini. Dia bukan sahaja memberi nasihat, malah memberi apa juga keperluan untuk saya meneruskan bidang ini," ujarnya.

Aku Suka merupakan ciptaan Omar K dan Faizul Sany yang mengisahkan tentang perasaan cinta yang dipendam dalam sebuah hubungan persahabatan.

"Lagu ini merupakan pilihan Hazama kerana dia tahu apa yang terbaik untuk kerjaya saya. Lagu ini catchy dan mudah untuk diterima," ujarnya.

Lagu Aku Suka ini juga bakal mendaji lagu tema untuk drama Pengantinku Jatuh Dari Langit.

Lufya Omar Sah Bergelar Isteri Doktor



KUALA LUMPUR: Pelakon Lufya Omar selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihannya yang juga seorang doktor, Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 26, dengan sekali lafaz kira-kira pukul 8.30 malam Sabtu.

Majlis pernikahan diadakan di Laman Cinta Nirwana, di sini dengan dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri keluarga kedua-dua pihak dan rakan terdekat pasangan berkenaan.

Pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Sheikh Omar Sheikh Abdullah dengan disaksikan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian Dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Hazman Hashim.

Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 31, menerima mas kahwin berjumlah RM2,000 daripada Che Muhammad Hafiz, manakala wang hantaran pula dirahsiakan. 

Pengantin perempuan turut menerima tujuh dulang hantaran dan dibalas dengan sembilan dulang kepada pihak lelaki.

Pasangan mempelai menggayakan busana berwarna krim keemasan rekaan Amir Kadir dan Zeen Bridal.

Majlis resepsi diadakan sejurus selepas acara akad nikah selesai di lokasi sama.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan secara tertutup yang hanya dihadiri keluarga terdekat pada Julai lalu. 

Hasnol Kongsi Perasaan Cemas Bantu Wanita Ditikam



Hasnol menceritakan pengalamannya berhadapan dengan situasi cemas.
PETALING JAYA: Penyanyi Hasnol tidak menyangka kursus pertahanan awam dan kecemasan yang dipelajari tiga hari lalu dipraktikan secara realiti dengan membantu wanita warga asing yang parah ditikam di Putra Height dekat sini, pada Jumaat.

Bekas peserta Gegar Vaganza musim pertama ituHasnol Hassan, 46berkata, biarpun berasa gementar, namun dia bangga dapat bersama doktor bagi membantu menyelamatkan nyawa wanita itu.

"Saya dengar orang menjerit di belakang pejabat saya tapi tidak sangka pula ada berlaku pergaduhan serius, lantas saya bergegas keluar.

"Alangkah terperanjatnya apabila melihat seorang wanita parah ditikam dengan bahagian perut terburai, ia seperti tidak percaya dan menyangka ada orang ingin cuba menguji saya. Maklumlah saya baharu tamat kursus Akademi Pertahanan Awam beberapa hari lalu," ujarnya.

Beginilah keadaan mangsa warga asing yang menjadi mangsa ditikam. Foto dari Facebook Zack Koolg.
Hasnol berkata, detik tersebut merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila dia terus terpanggil memberi bantuan dan menggunakan pengetahuannya dalam kursus yang dihadiri baru-baru ini.

Katanya, dia bertindak menenangkan doktor yang sedang merawat mangsa termasuk membantu memeriksa kecederaan wanita itu.

"Ketika itu keadaan memang agak kelam-kabut dan doktor juga cemas kerana tiada pembantu, saya terus memberi bantuan memeriksa mangsa seperti apa yang pernah saya pelajari baru-baru ini.

"Alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya dapat menenang dan memudahkan urusan doktor untuk membuat rawatan kecemasan kepada pesakit," ujarnya.

Difahamkan wanita tersebut terbabit dengan perbalahan dengan seorang lelaki yang dipercayai teman lelakinya.

Hasnol berkata, pihak polis juga sudah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabatnya untuk sisatan lanjut.

Siti Nurhaliza Terima 300 Lagu Selepas Dihebahkan Di Laman Sosial



Siti Nurhaliza cari lagu yang segar untuk album baharu.
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza berkata, dia kini dalam proses menapis 300 buah lagu yang diterima selepas dia memuat naik status di laman sosial untuk mencari lagu-lagu sempena pembikinan album terbaharunya.

Siti, 37, berkata, dia menerima pelbagai genre lagu daripada komposer-komposer baharu dari Malaysia dan Indonesia yang berminat untuk menyumbang lagu dalam album berkenaan.

"Saya terima banyak lagu iaitu kira-kira 300 buah lagu daripada komposer baru selepas saya menguar-uarkan perkara itu di Facebook dan Instagram beberapa bulan lalu.

"Sekarang ini pengurus saya dalam proses senarai pendek dan mengeluarkan lagu yang tidak sesuai dahulu," ujarnya.
Siti ditanya tentang perkembangan kerjaya nyanyiannya dan perancangan album baharu.

Tambah Siti, dia mencari lagu yang mempunyai melodi yang sedap didengar serta muzik yang segar.

"Saya tidak terlalu memilih komposer baharu atau lama, apa yang penting ialah lagu tersebut mesti mudah diterima dan catchy.

"Namun, saya masih mementingkan kualiti arrangement muzik yang matang dan bagus," ujarnya yang bakal memulakan rakaman penghujung tahun ini.

Sementara itu, Siti berkata dia juga tiada masalah untuk menyanyikan lagu genre balada seperti ketika zaman 90-an yang kini menjadi trend semula.

"Saya lihat trend sekarang suka pada lagu-lagu 90-an seperti lagu Aiman Tino, saya tiada masalah untuk buat lagu-lagu seperti genre itu kembali jika ada lagu yang sesuai" ujarnya.

Mia Sara Kurangkan Aktiviti Seni, Fokus UPSR Tahun Depan



Mia Sara
PETALING JAYA: Pelakon kanak-kanak Mia Sara memberitahu akan mengurangkan aktiviti seni bagi menumpukan perhatian terhadap pelajarannya tahun depan.

Mia atau nama sebenarnya Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 11, berkata, dia ingin memberi fokus utama terhadap peperiksaan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal didudukinya.

"Tahun ini agak sibuk dengan kerja, selain promosi tudung, saya juga banyak terlibat dengan sesi fotografi dan promosi produk makanan tambahan Caliph Supliment for Kids.

"Insya-Allah tahun depan saya berehat sekejap daripada kerjaya seni atau mengurangkan sedikit jadual kerja lain untuk beri perhatian kepada pelajaran.

"Kalau boleh saya mahu menjadi seorang artis yang menjadi contoh kepada masyarakat bukan sahaja dalam bidang seni dan perniagaan, malah juga pelajaran," ujarnya kepada mStar Online.

Mia Sara bersama pengarah Urusan Raffelinna Sdn Bhd Muhammad Rafi’e Ramli
dan Pengasas Didi & Friends, Sinan Ismail.\
Mia ditemui pada majlis kolaborasi Caliph dan DD & Friends yang diadakan baru-baru ini.

Katanya, buat masa ini, dia menolak tawaran lakonan drama bersiri yang memerlukan komitmen yang panjang.

"Bila ada penggambaran terlalu panjang saya perlu ponteng sekolah dan ambil tuisyen untuk ulang kaji semula apa yang tertinggal," ujarnya.

Selain itu, dalam perkembangan perniagaan, Mia yang sudah memiliki jenama tudung Mia Sara Couture ini bakal mengeluarkan koleksi baharu tudung dan peralatan sekolah sempena tahun baharu akan datang.

"Perniagaan tudung masih berjalan seperti biasa dan saya bakal lancarkan koleksi untuk pakaian sekolah juga sempena tahun baru yang bakal tiba tidak lama lagi," ujarnya.

Luna Maya Batal Kontrak Rakan Kongsi Dengan Ayu Ting Ting




Ayu Ting Ting dan Luna Maya perang dingin 
PENYANYI Luna Maya kecewa dengan sikap rakan kongsinya penyanyi dangdut Ayu Ting Ting yang diketahui melanggar kontrak perjanjian perniagaan fesyen mereka.

Seperti dipetik Detik Hot, Luna turut membatalkan perjanjian berkenaan dan memadam semua foto-foto bersama Ayu Ting Ting di akaun Luna Habit x Ayu Ting Ting.

"Sangat sedih kerana jadi perkara begini, suami isteri sahaja boleh bercerai, apa lagi teman baik dan hanya teman bisnes. Saya akan lebih berhati-hati dan belajar daripada kesilapan ini," ujarnya.

Menurut Luna, dia mengetahui rakan kongsinya itu juga sudah menandatangani kontrak bersama usahawan lain dalam bidang perniagaan yang sama.

Dia juga kesal, perkara itu diketahui menerusi orang luar dan bukan daripada penyanyi dangdut itu.

Sementara itu, Ayu Ting Ting memberitahu kontrak yang ditandatangi dengan pelakon berkenaan sudah selesai.

"Saya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Luna kerana kontrak itu sudah selesai dan saya sudah melakukan promosi seperti apa yang dijadualkan Luna.

"Saya tidak faham mengapa dia tuduh saya tiada etika," ujarnya.

Bekas Tunang Zayn Malik Bercinta Dengan Pemain Arsenal




BEKAS tunang Zayn Malik iaitu penyanyi Perrie Edward dilaporkan kini sudah mempunyai pengganti iaitu pemain bola sepak terkenal Arsenal, Alex Oxlade- Chamberlain.
Dia yang mengesahkan hubungan itu mengakui selesa berkawan dengan lelaki tersebut biarpun bukan dari kalangan artis.

Perrie juga dilaporkan sering kelihatan di Stadium Emirates beberapa kali bagi menonton dan memberi semangat kepada kekasihnya.

Seperti dipetik Daily Mail, pasangan ini juga sering dilihat keluar bersama di khalayak umum.

"Pasangan ini dilihat serasi kedua-duanya dilihat saling mencintai," ujar sumber.

Perrie dan Zayn mengakhiri hubungan pertunangan mereka pada Oktober lalu dengan alasan sudah tiada rasa cinta.

Jessica Jung Luaskan Perniagaan Fesyen Di New York




SELEPAS keluar daripada Girls Generation, Jessica Jung kini sibuk menggembangkan perniagaan fesyennya jenama Blanc & Elcare.

Biarpun perniagaan tersebut berusia dua tahun, namun ia sudah memasuki sebanyak 63 cawangan di Asia, Eropah dan Amerika Utara.

Terbaharu, jenama itu sudah diperluaskan di lokasi yang terkenal sebagai dunia fesyen iaitu New York.

Pada awal tahun lalu, Jessica membawa masuk cermin mata di beberapa butik di New York. 


Produk tersebut mendapat sambutan sehingga membuatkan dia merancang untuk menawarkan barangan aksesori, kosmetik dan pakaian dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, netizen beranggapan harga yang ditawarkan terlalu mahal tidak setanding kualiti sebenar produk itu.

"Harga barangan Jessica terlalu mahal dan tidak mampu untuk golongan sederhana, namun jika saya orang kaya, lebih baik saya beli barang yang sudah tentu berjenama dengan harga itu," kata netizen.

Syarikat Pengurusan Umum Pembubaran 2NE1



SYARIKAT pengurusan artis atau agensi YG Entertainment menerusi satu kenyataan mengumumkan kumpulan 2NE1 secara rasmi sudah dibubarkan.

Selepas salah seorang anggotanya Minzy keluar pada 5 April lalu, CL dan Sandra pula mahu menyanyi secara solo. Manakala seorang lagi anggota Park Bom memutuskan tidak menyambung kontrak.

"Pada Mei 2016, konsert 2NE1 dengan YG sudah berakhir dan Minzy mahu ke agensi pengurusan lain. Kami sudah mebuat perbincangan dan semuanya bersetuju untuk bubar," ujar pihak agensi.

Buat masa ini, YG akan memberi perhatian kepada kerjaya solo CL dan Sandra yang baru bermula.

"Kami berterima kasih kepada peminat yang banyak menyokong 2NE1. Dua ahli sudah menandatangani kontrak solo dan Park Bom tidak mahu meneruskan kontrak," tambahnya.

2NE1 merupakan kumpulan wanita Korea Selatan yang dibentuk oleh YG Entertainment pada 2009.

Kai (EXO) Dituduh Buat Pembedahan Plastik Mancungkan Hidung




AHLI kumpulan EXO, Kai dikatakan melakukan pembedaha plastik pada hidungnya berkutan dilihat perbezaan pada foto terbaharunya.

Kai yang hadir pada majlis bertemu peminat The Seventh First Kiss pada Selasa lalu kelihatan lebih mancung daripada biasa.

Sebuah foto penyanyi itu sebuah portal hiburan Instiz menjadi perbualan netizen yang mempersoalkan keasliannya.

Bagaimanapun, netizen berpendapai ia sudah menjadi perkara biasa oleh selebriti di negara itu.
"Ya, memang nampak ketara hibungnya lebih mancung daripada sebelum ini. Tapi itu semangnya sudah menjadi perkara biasa selebriti.

"Dia seharusnya mengekalkan keaslian hidung yang dulu kerana ianya lebih kacak," ujar netizen.

Pakar Arkeologi Thailand Temukan Mayat Pengamal Ilmu Hitam




GAMBAR yang dikongsikan oleh kerajaan Thailand menunjukkan mayat dan kulit yang tertera tatu dipercayai ada kaitan dengan amalam ilmu hitam.
BANGKOK: Pakar arkeologi di Thailand digemparkan dengan penemuan rangka yang dipercayai merupakan pengamal ilmu hitam di sebuah kawasan perkuburan purba.
Penemuan menakutkan itu berlaku di Mukdahan berdekatan sempadan Thailand-Laos apabila pakar arkeologi menjalankan proses menggali semula tanah perkuburan tersebut.
Mereka menemukan kulit manusia yang tertera tatu pada rangka manusia berkenaan yang dipercayai ada kaitan dengan amalan ilmu hitam.
Tatu itu berbentuk tulisan Sanskrit merupakan mentera yang digunakan untuk membuatkan kulit berkenaan diawet dan tidak dimamah tanah.
Selain mentera, tertera juga gambar harimau pada kulit tersebut.
Bagaimanapun, pertubuhan arkeologi Thailand Goopaitongdaeng Jeemokkho Goopainueng Soonpaed (GORR). mendakwa, tulisan mentera tersebut mungkin penyebab kematian mayat lelaki itu.
Jelas pertubuhan berkenaan, tatu itu mungkin menghalang lelaki terbabit menjalani pembedahan selepas mengalami radang usus.
"Lelaki itu tidak boleh menjalani pembedahan kerana kulitnya sukar dibedah dan akhirnya dia meninggal dunia dalam kesakitan," kata pertubuhan tersebut.
Punca kulit itu tidak terjejas tidak diketahui tetapi rata-rata penduduk Thailand percaya kejadian itu ada kaitan dengan amalan ilmu hitam.

Lubang Benam Gergasi Di Jepun Tenggelam Semula




PERBEZAAN dalam tempoh seminggu selepas kejadian lubang benam (kanan) berlaku di bandar Fukuoka, barat daya Jepun. 
TOKYO: Lokasi lubang benam yang dibaiki dalam tempoh seminggu di Jepun baru-baru ini, terpaksa ditutup semula apabila tanah di kawasan itu mendap semula.
Rata-rata media tempatan dan luar negara memuji kepakaran Jepun untuk membaiki lubang benam seluas 30 meter lebar dan 15 meter dalam di Fukuoka, barat daya negara itu.
Namun Datuk Bandar Fukuoka, Soichiro Takashima terpaksa meminta maaf apabila jalan tersebut ditutup semula selepas permukaan tanah mula tenggelam kira-kira 6.8 sentimeter.
Masalah tersebut timbul pada Ahad lalu sehingga menyebabkan berlaku kesesakan teruk kerana lubang benam itu terletak di kawasan persimpangan yang sibuk.
Rangkaian televisyen CCN yang memetik kenyataan Takashima menerusi laman sosial Facebook berkata, beliau meminta maaf kerana tidak mengeluarkan amaran kepada penduduk tentang kejadian terbaharu itu.
CNN turut melaporkan, pakar telah menjangkakan berlaku pergerakan memandangkan simen dan tanah digunakan dalam kerja-kerja pemulihan tersebut.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tempoh yang diperlukan pihak berkuasa Fukuoka untuk membaiki semula jalan itu.

250 motosikal dapat isi minyak percuma



250 motosikal dapat isi minyak percuma
Penunggang motosikal beratur sejak jam 8.30 pagi untuk mendapatkan minyak petrol percuma.
IPOH -  Hasil keprihatinan seorang ahli perniagaan, hampir 250 motosikal dapat mengisi minyak secara percuma di stesen minyak BHP di Tambun, hari ini.
Pengurus stesen minyak berkenaan, Shanice Low berkata, ahli perniagaan di Ipoh yang tidak mahu dikenali itu menyumbang RM1,000 untuk diberikan dalam bentuk petrol percuma kepada penduduk di kawasan itu.
Menurutnya, dengan sumbangan sebanyak itu, sebuah motosikal dihadkan mengisi RM4.
“Bermula jam 8.30 pagi tadi lagi banyak motosikal sudah beratur, satu motor isi RM4 jadi ada 250 motosikal akan dapat nikmati pemberian minyak percuma ini,” katanya.
Seorang pelanggan Rapeah Parmin berkata, dia mengetahui perkara itu apabila dimaklumkan seorang rakan.
Katanya, meskipun tidak banyak, sumbangan minyak percuma ini bukti masih ada pihak prihatin dengan keadaan yang ditanggung rakyat.
“Mungkin di masa akan datang, orang lain pun akan ikut buat perkara yang sama..percayalah ia dapat ringankan beban kami walaupun tak banyak,” katanya.

‘Makan nak, bayar tak nak’



‘Makan nak, bayar tak nak’
Gambar sepasang kekasih yang sempat dirakam selepas menjamah makanan percuma di sebuah kedai makan.
SUNGAI BESAR - “Adik, akak pergi bank dulu ya, akak lapar sangat tadi...nanti akak datang sini bayar,” itu antara kata-kata salah seorang daripada suspek wanita yang menggunakan taktik untuk menikmati makan tengah hari percuma di sebuah kedai makan di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, taktik dua wanita itu kantoi apabila pengusaha kedai makan itu sempat mengesyaki mereka cuba menipu selepas terbaca status di Facebook salah seorang pengusaha kedai makan lain mendakwa ditipu pelanggan dengan pelbagai alasan untuk menjamah makanan percuma.
Pengusaha Restoran S Solinada, Norazlina Salim, 34, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 tengah hari itu, dua pelanggan terbabit berpura-pura mesra dan mengenali arwah bapanya.
“Seorang daripada mereka tanya saya ni anak sidang (pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung persekutuan) ke? Saya cakap ya, dan kemudian mereka hanya tersenyum.
“Lepas setengah jam mereka makan kat kedai saya, tiba-tiba dia cakap makcik tak sempat nak ambil duit dan bila saya dengar dia kata macam tu, saya teringat status Facebook seorang pengusaha kedai makan yang turut ditipu dengan taktik yang lebih kurang sama,” katanya.
Norazlina berkata, selepas berbincang dengan ibu dan beberapa pekerja lain, mereka tetap berkeras meminta supaya dua wanita terbabit membayar bil makanan dan minuman berkenaan.
“Hairan juga saya sebab salah seorang keluarkan RM20 dan lepas saya pulangkan baki mereka terus beredar dari kedai ini,” katanya.
Seorang lagi pengusaha kedai makan, Intan Suhaila Abd Hair, 35, mendakwa, pasangan muda yang singgah di kedai makannya itu sempat melarikan diri selepas membuat pesanan pelbagai jenis makanan.
Menurutnya, pasangan itu kelihatan mesra seperti pasangan kekasih duduk berhampiran kaunter bayaran dan sempat berbual dengan adiknya, Intan Hidayah, 31.
“Mereka tanya adik saya, kat mana bengkel kereta di sini sebab kereta mereka rosak. Tapi, peliknya mereka naik motosikal datang ke kedai makan kami.
“Lepas tu perempuan tu pura-pura ke kaunter kononnya nak buat bayaran, tapi tiba-tiba kata dompet tertinggal dalam kereta dan minta adik saya tunggu sebentar.
“Tapi tengah adik saya sibuk dengan pelanggan lain, mereka terus larikan diri,” katanya.
Intan Suhaila berkata, adiknya itu sempat merakam gambar lelaki dan wanita terbabit semasa menaiki motosikal setelah beredar dari kedai berkenaan.
“Sejak kebelakangan ni, banyak kes sama berlaku di sini membabitkan peniaga kedai makan. Saya harap peniaga kedai makan lain lebih berhati-hati selepas ini,” katanya.

Mas kahwin di Selangor masih lagi RM300



Mas kahwin di Selangor masih lagi RM300
Ahmad Yunus melakukan upacara tepung tawar dan merenjis air mawar kepada pasangan pengantin pada Program Adat Perkahwinan dan Warisan Kesenian Melayu Selangor di Stadium Sungai Besar.
SABAK BERNAM - Kerajaan negeri masih mengekalkan mas kahwin wanita Islam di negeri ini sebanyak RM300 dan tiada sebarang kajian untuk menaikkannya pada masa akan datang.
Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kadar itu tidak berubah dan masih kekal hingga sekarang.
Bagaimanapun, katanya, terdapat juga sesetengah pasangan di negeri ini menyerahkan sekali mas kahwin bersama-sama hantaran semasa pernikahan.
"Namun ia terpulang kepada setiap pasangan masing-masing sama ada mereka ingin menyertakan mas kahwin bersama hantaran atau pun tidak," katanya kepada Sinar Harian pada Program Adat Perkahwinan dan Warisan Kesenian Melayu Selangor di Stadium Sungai Besar, di sini, hari ini.
Kali terakhir Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengumumkan mas kahwin untuk wanita di negeri ini dinaikkan kepada RM300 pada 1 Januari 2010 lalu setelah diperkenan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ahmad Yunus dalam ucapannya berkata, masyarakat Melayu zaman dahulu menganggap perkahwinan amat tinggi martabatnya kerana mereka sangat berpegang teguh pada istiadat yang mencerminkan keperibadian sesuatu bangsa.
"Melalui majlis perkahwinan, masyarakat Melayu dapat berkumpul, bersatu tenaga dan beramah mesra bagaikan satu keluarga walaupun berlainan latar belakang dan keturunan," katanya.

Siasat dakwaan kewujudan harimau



Siasat dakwaan kewujudan harimau
Dakwaan berhubung harimau membaham lembu milik penduduk di Sungai Karang menjadi viral di laman sosial.
KUANTAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang masih menyiasat dakwaan kewujudan harimau di sekitar Sungai Karang di sini, yang tersebar di laman sosial Facebook.
Timbalan Pengarahnya, Mohd Zaide Mohamed Zin berkata, pihaknya ada menerima aduan mendakwa kehadiran harimau pada minggu lalu, namun sehingga kini tiada bukti yang dapat mengesahkan perkara itu.
Aduan itu diterima daripada seorang pemilik kandang lembu di situ, yang mendakwa seekor lembunya mati manakala seekor lagi lembu cedera dipercayai akibat serangan harimau, tambahnya.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dilakukan kerana pegawai kami gagal memasuki kandang itu yang terkunci walaupun telah beberapa kali ke situ untuk bertemu pemiliknya.
“Setakat ini, kami berharap orang ramai akan berhati-hati dan segera menghubungi jabatan jika mempunyai maklumat lanjut,” katanya semasa dihubungi Bernama di sini, semalam.
Kelmarin, seorang individu memuat naik dakwaan terdapat tiga ekor harimau di sekitar Sungai Karang ke akaun Facebook Warga Kuantan dan meminta orang ramai untuk mengawasi anak-anak mereka serta mengurangkan masa di luar rumah.
Dakwaan itu juga menyatakan seekor daripada harimau itu telah ditangkap dan kemungkinan harimau berkenaan akan mengamuk selain terdapat empat ekor lembu mati dibaham.
Berhubung gambar tapak kaki yang dimuat naik ke dalam akaun itu, Mohd Zaide berkata, tapak kaki itu adalah tapak kaki anjing dan gambar yang menunjukkan gambar harimau dirantai juga bukan harimau yang ditangkap.
“Secara logiknya harimau tidak sejinak itu untuk hanya dirantai. Jika itu adalah harimau yang baru ditangkap, sudah pasti rantai yang digunakan boleh putus jika dirantai begitu sahaja,” katanya.