Rumah teratak warisan tersergam indah kini dikatakan berusia lebih 400 tahun.
KUALA PILAH – Bagaikan tidak percaya, sebuah rumah teratak warisan yang tersergam indah di kampung Mungkal Sri Pilah, di sini, sudah mencecah usia lebih 400 tahun.
Tiada bukti saintifik diperjelaskan tetapi berdasarkan kepada pemilik pusaka rumah berkenaan, Rafeah Meon, 74, ketika ditemui di rumahnya itu.
Rafeah berkata, dia merupakan generasi kelima selepas ibunya, Kiah Dollah, meninggal dunia pada 1984.
Menurutnya, kisah rumah itu disampaikan secara turun-temurun dan kini, dia pula diamanahkan untuk memelihara rumah pusaka itu sehingga kini.
Di sebalik usia rumah itu, banyak rahsia sejarah silam tersimpan sebagai memori cucu cicit legasi keluarga tersebut.
Reka bentuk rumahnya agak unik dan berukir melambangkan keunikan masyarakat Adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan.
Setiap sudut rumah Rafeah mempunyai daya tarikan yang tersendiri di mana setiap binaan dan struktur asas rumah seperti tiang, dinding, pintu, dan tangganya dikatakan dibina dengan mewakili pelbagai maksud tersendiri.
Ini terbukti apabila seni bina rumah itu dikaitkan dengan sifat kreativiti masyarakat Melayu dan hubungan erat mereka dengan alam sekitar.
Jika ditinjau dengan teliti dan mendalam mengenai konsep binaan ini, ia begitu lengkap dari segi susunan dan perancangannya.
Seperti rumah Melayu lain ia juga mempunyai rumah ibu, atau rumah tengah serambi serta loteng dan pada dindingnya mempunyai ukiran yang menarik sekali serta antara ciri lain adalah berlantai tinggi dari tanah dan tangga kayu berukir bunga-bungaan.
Kesan Penjajahan Jepun
Rafeah berkata, uniknya rumahnya itu di bahagian pintu masuk rumah kerana mempunyai ukiran di sekeliling pintu serta ruang pintu agak sempit dan perlu melangkah bendul.
Jika diperhatikan secara dekat, katanya, bahagian atas pintu terukir tulisan Jawi.
“Jika ingin ceritakan kisah sejarah rumah ini, terletak pada pintu rumah ini. Dulu, arwah ibu ada beritahu, ketika zaman penjajahan Jepun sekitar 1941 dan 1942, rumah ini dijadikan sasaran kerana keluarga kami agak ‘berada’ ketika itu.
“Pintu inilah dikapak penjahat beberapa kali untuk menyuruh nenek membuka pintu.
“Bila dibuka, mereka diikat dan barang berharga semuanya dicuri. Mujur ketika itu tiada pertumpahan darah dan tiada yang meninggal dunia. Sehingga kini, masih ada lagi kesan kapak di pintu masuk ini,” katanya.
Menurutnya, rumah itu dibina secara gotong-royong diperbuat daripada kayu jenis penak dan merbau.
“Rumah ini memang dibina daripada kayu bermutu tinggi, sebab itu ia masih tegap berdiri meskipun usianya mencecah ratusan tahun.
“Ia mempunyai lapan tiang utama, sebab tu dikenali sebagai rumah tiang pecah lapan. Setiap bahagian rumah ini dipasak, tidak menggunakan paku. Lantai dilapik kayu jenis gheriu.
“Dulu, masa anak dara, wan tidur di atas loteng sebab anak dara kena ada bilik. Lotenglah jadi bilik dan ada tangga. Tapi kini, tangga dah diruntuhkan termasuk loteng,” katanya.
Pernah Dihempap Pokok Durian
Rafeah yang mendirikan rumah tangga bersama Datuk Panglima Gajah, Mohd Nasir Alias, 84, berkata, rumah pusaka itu hampir roboh empat tahun lalu gara-gara sebatang pokok durian.
“Peristiwa ini empat tahun lalu, masa itu pokok durian tumbang lalu menghempap tiang elektrik kemudiannya wayar elektrik yang bersambung dengan rumah tertarik sekali hingga condong ke kiri sedikit.
“Walaupun rumah ini condong tetapi ia masih tegap lagi. Hendak memperbaiki memerlukan kos bernilai RM40,000. Wan pun tiada duit banyak macam tu. Jadi, wan mohon kepada sesiapa yang boleh bantu wan membaiki kerosakan rumah ini,” katanya.
Atas faktor keselamatan juga, Rafeah sekeluarga tidak mendiami rumah berkenaan sebaliknya mendirikan sebuah rumah lain di bahagian belakang.
“Rumah ini lantainya pun dan reput, dinding ada dah dimakan anai-anai. Mujur bumbung telah dibaiki. Jadi, rumah ini menjadi tempat simpan barang-barang lama,” katanya rumahnya itu menjadi pilihan para institusi pengajian tinggi untuk menjalani penyelidikan.
Malah, katanya, bukan sahaja menjadi pilihan para penyelidik sebaliknya ada individu berhajat mahu membeli rumah pusakanya itu, namun Rafeah menolak kerana ia peninggalan warisan paling berharga jauh lebih tinggi dari nilai wang ringgit selain menjadi sejarah tatapan untuk generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: