KUALA KETIL - Minum kopi tumbuk setiap pagi antara rahsia seorang warga emas dari Kampung Bukit Endoi dipercayai berusia 106 tahun yang kini masih sihat dan berupaya melakukan aktiviti seperti biasa.
Mek Yah Jusoh berkata, tahap kesihatan dirinya termasuk penglihatan dan pendengaran masih lagi masih berada dalam keadaan baik.
Menurutnya, dirinya juga tidak pernah dijangkiti sebarang penyakit berbahaya seperti kencing manis atau darah tinggi sehingga kini.
“Tok tiada apa-apa petua untuk sihat, makan nasi dengan lauk ikan rebus dan ulaman-ulaman seperti orang lain, tetapi ulam-ulaman tok dah lama tinggal.
“Tetapi jika minuman kopi dari dulu hingga sekarang tok tidak boleh tinggal, setiap hari waktu pagi sekurang-kurangnya satu cawan akan diminum,” katanya.
Mek Yah berkata, kopi paling digemarinya terutamanya ketika masih muda ialah kopi asli yang tiada sebarang campuran.
“Kopi itu tok ambil dari pokok, kemudian ia dijemur, ditumbuk untuk dibuang kulit dan digoreng, selepas proses itu kita perlu tumbuk sekali lagi untuk hasilkan serbuknya.
“Namun sekarang ini kopi yang dibuat sendiri sukar diperoleh dan tok hanya minum kopi yang dibeli dari kedai,” katanya.
Mek Yah yang mempunyai tiga anak lelaki dan 20 cucu sudah kematian suami juga turut mengakui kerap berjalan kaki dari usia muda sehingga kini.
Menurutnya, semasa kudratnya masih kuat dan bertenaga, dia akan berulang alik dari kampungnya ke pekan Kuala Ketil sejauh 19 kilometer untuk menjual hasil rotan.
“Hasil rotan itu sebagai sumber rezeki, tok akan ke pekan Kuala Ketil dengan berjalan kaki selalunya sekali dalam seminggu.
“Sekarang ini pun tok masih berjalan, selalunya tok pergi ke rumah anak-anak dalam kampung ini juga,” katanya yang tidak pandai menaiki sebarang kenderaan.
Dengan tahap kesihatannya yang dianugerahkan Mek Yah berkata, dia masih berupaya solat seperti biasa tanpa sebarang bantuan, malah boleh solat berjemaah mengikut imam.
Sementara itu, anak ketiganya, Abdullah Wahab, 73, berkata, ibunya sememangnya amat menggemari minuman kopi.
“Emak tidak menyukai minuman teh, selama ini memang kopi yang paling dia gemar minum,” katanya.