Pelanggan sanggup beratur awal bagi mendapatkan nombor giliran setiap kali jualan koleksi baharu Fareeda.
SETIAP kali Butik Fareeda mengadakan jualan koleksi tudung baharu, pasti ribuan pelanggan sanggup beratur awal bagi mendapatkan tiket pembelian (nombor giliran).
Situasi itu menjadi tanda tanya kepada orang ramai kerana ada yang sanggup berpanas dan berhempit semata-mata untuk mendapatkan tudung eksklusif itu.
Peniaga Fareeda sejak lima tahun lalu, Maryam Aishah, 45, berkata, setiap kali Fareeda membuat pengenalan koleksi baharu, dia akan membawa pembantu untuk mendapatkan tiket pembelian.
“Kali ini saya membawa seramai 50 pembantu untuk mendapatkan nombor giliran kerana saya memerlukan sekurang-kurangnya 200 helai tudung baharu dan lama yang telah ditempah oleh pelanggan.
“Saya ada pelanggan sedia ada. Setiap kali datang saya akan memastikan tempahan pelanggan dapat dibeli kerana ada yang telah membuat pembayaran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di kilang baharu Fareeda di Bandar Baharu Bangi sempena pengenalan koleksi baharu tudung lace Fareeda untuk pra Ramadan, Sabtu lalu.
Menurutnya, sebelum jualan koleksi baharu ini diadakan, dia telah menerima tempahan awal separuh daripada jumlah yang dibelinya dan habis dijual hanya dalam empat hari.
Katanya, pelanggannya yang berada di seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei tidak kisah untuk membayar lebih, yang penting memperoleh tudung yang diidamkan.
Maryam yang merupakan peniaga sepenuh masa ini berkata, pendapatan diperolehnya agak lumayan kerana peminat Fareeda sentiasa membuat pembelian.
Bagi Suriani Sidek, 36, juga merupakan peniaga Fareeda mengakui menjual tudung Fareeda sejak tujuh tahun lalu menjadi antara pendapatan utamanya.
Menurutnya, pendapatan itu banyak membantu meningkatan pendapatan keluarga dan pendapatan sampingan kepada pembantu yang membantunya mendapatkan nombor giliran.
“Setiap kali saya akan datang dan beli sekurang-kurangnya 250 helai tudung yang telah ditempah oleh pelanggan.
“Saya telah menerima tempahan awal sebanyak 100 helai bagi koleksi baharu. Oleh itu, saya perlu memastikan saya membeli tudung yang telah ditempah,” katanya yang datang bersama lebih 50 pembantu terdiri daripada keluarga dan rakan-rakan.
Azura Fazura Che Hassan pula mengakui menjual tudung Fareeda secara atas talian (online) banyak membantunya menjana pendapatan lumayan sehingga lima angka setiap bulan.
“Saya bermula dengan hanya sehelai tudung. Selepas melihat potensinya, saya terus berminat untuk menjadi peniaga tetap Fareeda. Kini sudah enam tahun saya jual tudung Fareeda,” katanya.
Menurutnya, setiap kali koleksi baharu keluar, dia pasti akan datang untuk membeli tudung yang telah ditempah.
Katanya, dia mahu memastikan tempahan dapat dibeli bagi menjaga pelanggan sedia ada.
“Selalunya, saya akan habis menjualnya hanya dalam tempoh dua hari sahaja kerana kebanyakan telah ditempah awal dan ada rata-rata pelanggan yang telah membuat pembayaran dahulu,” katanya.
Beri sokongan kepada keluarga
Manakala, Fadzli Md Piah, 45, pengurus syarikat swasta berkata, dia datang bersama isteri dan adiknya yang merupakan peniaga aktif Fareeda sejak empat tahun lalu.
“Saya datang bukan tujuan untuk mendapatkan keuntungan semata-mata daripada upah mengambil nombor tetapi hanya untuk memberi sokongan kepada isteri dan adiknya untuk mendapatkan nombor giliran.
“Ramai juga yang mengambil upah untuk mengambil nombor termasuk lelaki kerana upah yang diberikan oleh para peniaga Fareeda ini adalah lumayan kerana hanya beratur dalam masa yang sekejap sahaja, dapat memperolehi bayaran upah yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Fadzli berkata, Fareeda telah melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan proses agihan nombor giliran dilakukan dengan lancar.
“Hari ini, mereka mengasingkan di antara wanita dan lelaki. Bagi saya ini adalah satu penambahbaikan yang cukup bagus,” katanya.
Namun Fadzli berkata, kekecohan yang berlaku itu berlaku di luar jangkaan kerana ada pembeli yang tidak berdisiplin dan tidak beratur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: