CHHATTISGARH - INDIA. Seorang kanak-kanak India yang mengadu sakit perut pulih selepas doktor berjaya mengeluarkan berus gigi berukuran enam inci yang ditelannya sejak setahun lalu.
Keshav Sahu, 5, sering mengadu sakit perut sehingga memaksa doktor melakukan pembedahan bagi mengeluarkan objek itu dekat dengan pundi kencingnya.
Keshav yang tinggal di timur India tertelan berus gigi berkenaan namun tidak memberitahu ibu bapanya.
Kedua ibu-bapanya sering memberi ubat bagi meredakan kesakitan yang dialaminya namun selepas ia semakin teruk, bapaya membawa kanak-kanak itu untuk rawatan di Kolej Perubatan Raipur dan doktor mengesan batu dan suatu objek berukuran enam inci di pundi kencingya.
Namun selepas doktor melakukan pembedahan, doktor terkejut selepas menemui berus gigi di dalam perut kanak-kanak itu.
Dr Patel, pakar bedah pediatrik yang merawat kanak-kanak itu, berkata objek asing tersebut tidak jelas ketika melakukan  x-ray dan ultrasound.
"Apabila kami menarik batu keluar dari pundi kencing kanak-kanak itu, kayu panjang berukuran 15cm keluar bersama dengan batu yang berlumuran darah.
"Kami mendapati objek itu sebenarnya adalah berus gigi," katanya dipetik MailOnline.
Bapa kanak-kanak itu, Sahu, 33, berkata, dia terkejut selepas mendapati mengenai keadaan anaknya itu.
"Anaknya tidak pernah memberitahu dia telah tertelan berus gigi. Dia hanya sering mengadu sakit perut dan akan memuntahkan kembali makanan.
Keshav kini dalam proses pemulihan namun tidak pasti bagaimana dia tertelan berus gigi berkenaan.
Menurut Dr Patel, kanak-kanak itu berkata, dia tidak memberitahu mengenai perkara itu kepada ibu bapanya kerana takut.
'Ia adalah satu kes yang luar biasa kerana secara umumnya, kami berdepan dengan kes-kes seperti tertelan duit syiling.
'Pesakit berdepan kematian jika mereka tidak diberikan rawatan segera, namun kanak-kanak itu terselamat adalah suatu keajaiban," tambah Dr Patel.