Batu nisan berbentuk Acheh ditemui dalam busut anai-anai.
JITRA - Hasrat penduduk setempat membersihkan sebuah tanah di Kampung Keda Malau, di sini, untuk mengusahakan getah terbantut apabila menemui batu nisan dianggarkan berusia lebih 200 tahun lepas.
Lebih mengejutkan, batu nisan berkenaan berbentuk Acheh dan ibaratkan seperti khazanah sejarah ditemui tersembunyi dalam busut anai-anai dalam keadaan elok.
Susulan itu, penduduk tempatan memaklumkan kepada Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), sebelum sekumpulan penyelidik sejarah dari Persatuan Sejarah Cawangan Malaysia Kedah (PSCMK) ke lokasi berkenaan, kelmarin.
Menurut Ketua Biro Kaji Selidik dan Dokumentasi PSMCK, Dr Mohd Kasri Saidon berkata, beliau mengetuai kaji selidik berkenaan untuk membuat siasatan lanjut.
“Pihak PSMCK akan melakukan penyelidikan untuk memastikan lokasi awal pola penempatan berkelompok di kawasan perkampungan tersebut.
“Hal ini, berikutan setiap kelompok penempatan sebenarnya memiliki perkuburan sendiri, namun kedudukan batu nisan baru ditemui agak terpisah jauh dari perkuburan sedia ada,” katanya.
Dr Mohd Kasri yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden Universiti Utara Malaysia (UUM) menyifatkan, penemuan berkenaan sesuatu yang menarik untuk dijadikan kajian lanjut.
“Ada pandangan mengatakan penempatan penduduk wujud semasa pemerintahan Kubang Pasu Darul Qiyam di Pulau Pisang ataupun sezaman Kota Siputeh yang awal darinya,” katanya.
Katanya, mereka percaya batu nisan berkenaan berkemungkinan wujud awal dari tarikh 1800 masihi ataupun lebih awal dari zaman terbabit.
Namun begitu, siapa pemilik batu nisan berkenaan masih menjadi misteri memandangkan tiada bukti dokumen mahupun lisan diperolehi.
Akan tetapi, Dr Kasri berkata, penemuan batu nisan berkenaan dalam busut anai-anai yang tidak terjejas oleh luluhawa berkenaan boleh dianggap sumber visual.
Kata Dr Kasri, batu nisan bernilai ratusan tahun berkenaan perlulah diberi perhatian dan dipelihara demi memastikan harta bernilai sejarah terus terjaga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: