Thursday, September 3, 2015

Percikan Air Selepas Ziarah Raudah




Taman Syurga di Masjid Nabawi.
ASSALAMUALAIKUM. Saya jatuh cinta dengan Madinah. Tenang, damai dan segala-galanya indah di tempat itu, apatah lagi jika berada di dalam Masjid Nabawi, Raudah dan makam Rasulullah S.A.W. semua orang tentu ada cerita tersendiri apabila kali pertama kaki melangkah ke dalam Raudah dan menziarahi makam junjungan mulia. Begitu juga saya.

Selepas solat Subuh dan bersarapan, saya, Busu Semah, Mami dan beberapa rakan jemaah lain berkumpul di lobi Jawharat Elyas untuk bersama-sama masuk ke dalam Raudah dan menziarah makam. Di pagi yang hening itu, kami berjalan memasuki semula Masjid Nabawi dan berjalan pantas menuju ke kawasan Raudah.

Ketika itu, ziarah ke Raudah tidak sulit dan rumit seperti sekarang ini. Dulu tiada ikut giliran jemaah dari setiap negara. Semua boleh masuk beramai-ramai dan jarak antara jemaah dengan makam begitu dekat malah tiada penghadang.

Bagaimanapun, kunjungan jemaah wanita ke Raudah dan makam masih mengikut jadual yang ditetapkan dan sama seperti sekarang iaitu dari jam 7 pagi hingga 11 pagi, 1 tengah hari hingga 3 petang dan 9 malam hingga 12 tengah malam.  Cuma keadaan suatu ketika dulu jemaah tidak ramai seperti sekarang.

“Kenapa ramai orang nangis Mami?” tanya saya kehairanan.

“Iyelah, baru balik dari ziarah makam macam gitulah,” jawab Mami.

Saya terus kehairanan dan asyik melihat jemaah wanita dengan wajah sendu penuh hiba yang sudahpun selesai ziarah untuk pulang semula ke pintu masuk Masjid Nabawi. Terus berselawat dan menikmati keindahan persekitaran Masjid Nabawi yang menjanjikan hiasan dalaman cukup mengagumkan.

Setiap ruang di dalam masjid begitu indah di mataku. Hamparan permaidani merah, kubah yang akan terbuka setiap kali azan berkumandang, susunan al-Quran di atas rak tembaga bercahaya kekuningan dan candeliar bergemerlapan menyebabkan mata tidak jemu memandang.

Kedinginan di dalam Masjid Nabawi menjanjikan keselesaan kepada setiap jemaah yang berada di dalamnya. Hatiku benar-benar terpaut dengan segala keindahan dan kedamaian. Ketika itu, suhu di Madinah sekitar 11 hingga 15 darjah Celsius pada waktu pagi. Sungguh nyaman.
Lamunan dan khayalanku terhenti seketika sejurus hampir tiba di kawasan Raudah. 
“Di permaidani hijau lembut adalah kawasan Raudah. Doalah di situ nanti. Insha Allah makbul,” pesan Mami.

“Baiklah. Terima kasih Mami,” balasku.



Berpusu-pusu jemaah wanita di kawasan itu. Mulanya saya terasa gementar kerana memikirkan mampukah memasuki ruang yang dipenuhi jemaah bertubuh gempal dan besar tapi saya kuatkan semangat untuk melihat Raudah dan menziarahi makam Rasulullah serta sahabat.

Sejurus tiba di kawasan makam, saya tidak mampu menahan kesedihan. Air mata bercucuran.  Memberi salam kepada junjungan dengan suara penuh gementar dan linangan air mata. Selepas menyampaikan salam sanak-saudara dan rakan taulan dari tanah air, saya mengambil langkah kecil untuk memberi salam kepada sahabat, Abu Bakar al-Siddiq r.a. dan Umar al-Khatab r.a. Sekali lagi saya gagal menahan emosi.

Dalam kesedihan itu, saya lihat ramai jemaah bersolat dan berdoa. Terdengar suara daripada jemaah lain yang menyuruh bersolat. Tanpa berlengah saya bersolat sunat dua rakaat dan berdoa di situ, Raudah yang sering disebut-sebut oleh jemaah umrah atau haji apabila berkunjung ke Masjid Nabawi.

Sekali lagi kesedihan menyelubungi diri apabila melafazkan doa. Juraian air mata tidak mampu dibendung. Berdoa dan berdoa dengan tangisan mendalam. Berat kaki untuk melangkah keluar dari kawasan itu. Hati mengatakan tidak mahu berpisah dengan tempat itu tetapi hakikatnya perlu memberi peluang kepada jemaah lain yang juga mahu menziarahi Rasulullah dan bersolat di Raudah.

“Dah selesai jom kita balik ke hotel,” ujar Busu Semah.

“Baiklah Busu…” jawab saya ringkas.

Sepanjang berjalan menuju ke pintu keluar Masjid Nabawi fikiranku melayang dan hatiku berkata-kata: “Tadi aku tanya Mami kenapa orang nangis? Tapi akhirnya aku juga menangis.”

Hakikatnya, kesedihan dan perasaan hiba itu datang secara tiba-tiba sejurus menziarahi makam Rasulullah S.A.W dan tatkala doa dilafazkan, kesedihan yang masih bertakhta di sanubari itu mengundang deraian air mata.

Pengalaman pertama menziarahi junjungan mulia tidak dapat dilupakan dan terus segar dalam ingatan. Kunjungan pertama itu menguatkan semangatku untuk terus menziarahi makam Rasulullah sepanjang berada 10 hari di Madinah.



“Kak nak ziarah makam lagi tak?” tanyaku pada jemaah sebilik pada suatu malam sejurus pulang dari solat Isyak dan menikmati hidangan makan malam.

“Bolehlah. Kita pergi esok nak selepas sarapan,” ujar kak Rozi.

“Insha Allah. Kita ajak yang lainlah jika mereka nak ikut juga,” cadang saya.

Setelah semua berada di dalam bilik itu, saya mengajukan soalan dan tiga lagi rakan sebilik bersetuju untuk ziarah makam pada keesokan hari. Justeru, usai sarapan, kami bersiap-siap untuk ke Masjid Nabawi semula dan lapan jemaah pergi bersama-sama untuk menziarahi Rasulullah pada pagi itu.

Saya tidak lupa memaklumkan kepada Busu Semah dan Mami mengenai hasrat untuk menziarahi makam Rasulullah dan Raudah dengan kawan-kawan sebilik. Ziarah pada pagi itu tidak terlalu sesak. Mungkin sudah rezeki kami untuk dipermudahkan laluan ke makam dan Raudah. Tangisan pada kunjungan kedua tidak sehebat kunjungan pertama. Namun, ketika memberi salam, hati gementar dengan suara bergetar.

Puas berdoa di Raudah dan solat bukan sekadar dua rakaat kerana keadaan pada pagi itu membolehkan kami bersolat agak selesa. Selesai bersolat, kami berjalan perlahan menuju ke kawasan solat.

“Tak perlu balik ke hotel. Kita tunggu saja di dalam masjid hingga solat Zuhur. Sekarang dah jam 11 pagi. Tak sampai dua jam, dah masuk waktu Zuhur,” cadang kak Rozi kepada semua jemaah. Kami setuju dengan cadangan itu sambil berjalan menuju ruang solat yang masih lagi lengang.
“Kita duduk di sini saja,” pinta seorang lagi jemaah. Semua duduk sebaris. Ada yang solat, ada yang zikir manakala saya pula membaca al-Quran. Tidak sampai lima minit membaca surah at-Taubah, tiba-tiba terasa percikan air membasahi helaian al-Quran di tangan dan bahagian belakang telekung.  
“Eh, siapa pulak renjis air ni?” spontan pertanyaan saya pada rakan jemaah lain.

“Air?” serentak jawapan dilontarkan rakan-rakan.

“Ye air. Basah Quran Ana,” balas saya sambil menunjukkan muka surat yang agak basah.

 “Yelah. Dari mana datang air ni?” tanya kak Rozi.

“Entah. Tak tau pulak Ana,” balas saya lagi sambil memerhati sekeliling.

“Ada sesiapa lalu di sini ke tadi? tanya saya.

“Tak ada pula,” balas kak Rozi yang duduk di sebelah saya.


Dalam masa yang sama, saya mencium helaian al-Quran yang agak lembap itu. Ternyata, tiada sebarang bau tidak menyenangkan pada helaian yang basah itu. Begitu juga dengan telekung, tiada sebarang bau atau perubahan warna. 
Rakan jemaah yang lain turut memerhati di kiri kanan manakala saya pula pandang ke siling Masjid Nabawi. Deretan tong zamzam agak jauh daripada tempat kami duduk. Kami kehairanan dan tidak mendapat sebarang kepastian. Lebih menghairankan kerana percikan air itu hanya terkena pada saya sedangkan rakan-rakan jemaah yang berhampiran saya tidak terkena percikan air itu.

Dari mana percikan air itu datang? Hanya Allah SWT yang lebih mengetahui. Saya meneruskan pembacaan al-Quran. Begitu juga rakan-rakan jemaah lain yang meneruskan aktiviti masing-masing, berdoa, berzikir dan bersolat sunat sehingga azan Zuhur berkumandang.

Selesai solat Zuhur berjemaah dan solat jenazah, kami pulang semula ke Jawharat Elyas. Dalam perjalanan pulang, fikiran saya melayang teringatkan percikan air yang membasahi helaian surah at-Taubah. Sejurus tiba di Jawharat Elyas yang terletak kira-kira 350 meter dari Masjid Nabawi, kami menikmati hidangan tengah hari. 
Ikuti kisah selanjutnya dalam keluaran akan datang, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: