Thursday, September 10, 2015

Masjid Kapitan Keling cecah usia 215 tahun



Masjid Kapitan Keling cecah usia 215 tahun
Masjid Kapitan Keling.
GEOGETOWN - Dibina pada 1801, Masjid Kapitan Keling yang pernah menjadi Masjid Negeri Pulau Pinang bakal mencecah usia 215 tahun pada 2016 nanti.

Masjid yang tersergam indah di Tapak Warisan Dunia Unesco ini diwakafkan oleh Cauder Mohuddeen atau juga dikenali sebagai Kapitan Keling.

Cauder mendapat namanya sebagai Kapitan Keling ketika zaman pemerintahan British di Pulau Pinang.

Kapitan berdasarkan perkataan captain kerana Cauder juga dilantik menjadi pemimpin di beberapa kawasan pada masa itu terutamanya bagi komuniti India Muslim.

Sementara perkataan Keling pula berdasarkan tempat asal Cauder dari Selatan India yang dinamakan Kling.


Kemudahan kepada saudagar di pelabuhan

Ketua Biro Warisan Masjid, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, masjid berkenaan pada awalnya dibina bagi memberi kemudahan kepada golongan India Muslim yang datang menjalankan perniagaan di pelabuhan Pulau Pinang pada masa itu.

Menurutnya, kegiatan perdagangan tersebut terus berkembang sehinggalah membantu merancakkan ekonomi masyarakat setempat.

“Selepas berkembang pesat, ada di antara pedagang ini yang membuka perniagaan sebagai pengurup wang, menjual emas, membuka restoran dan menjual rempah ratus,” katanya.

Cauder Mohuddeen kini disemadikan bersama ahli keluarganya di sebuah makam yang terletak di Kampung Kolam.

Sebelum meninggal dunia, beliau meninggalkan harta yang banyak dan mewakafkan harta dan masjid untuk digunakan oleh umat Islam secara berterusan.

Namun Allahyarham bukan calang-calang individu kerana beliau berhajat harta yang ditinggalkan mendapat manfaat ahli keluarganya.


Arkitek masjid antara penyelia masjid tercantik dunia

Beberapa orang arkitek dari barat dilantik oleh Lembaga Wakaf masjid untuk menaik taraf infrastruktur dan binaan masjid bermula 1909.

Awalnya Henry Alfred Neubronner membawa sedikit perubahan kepada pembinaan monumen pada bangunan masjid.

Dia juga di antara individu yang berjaya membawa bentuk luaran masjid berbentuk geometri dan mempunyai kesenian ala Moghul.

Kemudiannya pada 1920, firma Stark & McNeil dilantik untuk kerja naik taraf masjid termasuk pembaikpulihan bahagian bumbung.

Seorang daripada arkiteknya, CG Boutcher di antara penyelia masjid tercantik di dunia iaitu Masjid Zahir di Alor Setar.

Mohamed Rizwan berkata, berusia lebih dari 200 tahun, kubah berkenaan sudah dibaik pulih beberapa kali termasuk pada 2000, 2005 dan 2010.


Terima kunjungan bekas presiden India

Pengerusi Kariah Masjid Kapitan Keling, Meera Mydin Mastan berkata, masjid berkenaan pernah menerima kunjungan bekas Presiden India, Dr APJ Abdul Kalam pada 2008.

Ia sekali gus menjadikan itu di antara peristiwa penting dan menggembirakan buat ahli jawatankuasa kariah masjid sehingga kini.

Menurutnya, melalui kunjungan berkenaan, Abdul Kalam juga menanam Pokok Bunga Melur di kawasan masjid sebagai tanda lawatannya ke masjid berkenaan.

“Kedudukan masjid yang terletak berhampiran gereja, tokong Buddha dan juga kuil Hindu itu menyebabkan ia mendapat gelaran jalan harmoni.

“Oleh kerana itu jugalah Abdul Kalam berkesempatan menggubah puisi yang bertajuk The Great City of Harmony’,” katanya.


Sediakan kelas fardu ain

Bukan sekadar tersergam indah dan memberikan kemudahan kepada umat Islam, masjid ini turut berfungsi membantu meningkatkan nilai insaniah kepada komuniti di sekelilingnya.

Sejak 1980, masjid bekerjasama menubuhkan Madrasah Anwarul Ulum iaitu sebuah sekolah agama yang menyediakan kelas fardu ain dan bacaan al-Quran kepada semua peringkat umur.

Namun kemudiannya pada 1986, Tadika Nurul Iman dibina bagi memberi pendidikan kepada kanak-kanak pra sekolah.

Bukan sahaja kanak-kanak, kariah masjid tidak melupakan golongan remaja dan kemudiannya tertubuhlah Pusat Intelek Kapitan.

Kemudiannya pada 2009, Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia (IMCOM) yang diterajui Mohamed Rizwan ditubuhkan semata-mata untuk memartabatkan warisan dan kebudayaan komuniti berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: