![]()
NORMAN tegas ketika memimpin pancaragam Puzida yang terdiri daripada anggota tentera darat.
|
SELEPAS sebulan Tatu Antarabangsa Kuala Lumpur (Tatu) 2014 melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang, rasa debar bersulam bangga masih belum hilang dalam dirinya.
Berdiri gagah di hadapan 13 kumpulan pancaragam dari 12 negara, beliau tampil yakin mengemudi barisan kontinjen pemuzik dalam menyampaikan enam buah lagu itu.
Rasa debar Lt. Kol. (DOM) Norman Kamarudin kerana Tatu 2014 itu turut disaksikan hampir 40,000 orang yang memenuhi Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Oktober lepas.
Namun, situasi itu tidak menjadikan Komandan di Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (Puzida) itu berasa gentar untuk menggalas tanggungjawab sebagai konduktor muzik malah lebih bersemangat mencipta magis dalam tugasnya.
“Memikul amanah untuk kali kedua merupakan satu penghormatan tertinggi dalam kerjaya saya,” ujarnya.
Kali pertama beliau menyandang tugas itu adalah pada tahun 2007 dan tahun ini sekali lagi diberi kepercayaan untuk memimpin kumpulan pancaragam angkatan bersenjata antaranya dari United Kingdom, Turki, New Zealand, Indonesia dan Singapura.
Proses persediaan untuk menyertai Tatu 2014 mengambil masa selama tiga bulan yang merangkumi pemilihan lagu, latihan dan raptai penuh sebelum acara sebenar.
Norman berkata, selepas lagu-lagu dipilih, nota muzik diberikan kepada negara-negara yang menyertai Tatu 2014 untuk membuat latihan di tempat masing-masing.
Begitu juga dengan pasukan pancaragam negara yang mendapat senarai lagu pada Jun lalu sebelum membuat latihan secara berperingkat-peringkat pada Julai sehingga September lalu di Puzida yang terletak di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Menurut Norman, pada awalnya beliau mengalami kesukaran akibat kekangan jarak dan masa tetapi cabaran tersebut mampu ditempuhi kerana setiap ahli menonjolkan dedikasi yang tinggi bagi mendapatkan persembahan terbaik.
“Selain itu, gerak latihan bertambah mudah kerana semua ahli kontinjen boleh membaca nota muzik dengan baik. Maka, saya hanya perlu menghalusi cara permainan di samping meningkatkan lagi tahap keyakinan mereka,” jelas Norman.
Dunia muzik

NORMAN (kiri) ketika mengikuti kursus muzik di Army School of Music, Abbottabad, Pakistan.
Dunia muzik sudah sebati dalam diri Norman kerana arwah bapanya, Kamarudin Ahmad juga merupakan salah seorang anggota pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja selama 28 tahun dengan pangkat terakhirnya sebagai Pegawai Waran 1 (PW1).
Norman memberitahu, bapanya antara yang menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan di Stadium Merdeka pada tahun 1957.
“Pada Hari Kemerdekaan yang pertama, bapa merupakan salah seorang anggota pancaragam yang memainkan lagu Negaraku buat pertama kalinya di Stadium Merdeka,” kongsi bapa kepada tiga orang anak itu.
Walaupun belum dilahirkan ketika itu, arwah bapanya banyak bercerita tentang peristiwa bersejarah tersebut. Perasaan hiba berbaur bangga menguasai dirinya sebaik menyaksikan bendera negara dinaikkan dan bendera Union Jack diturunkan bagi menandakan negara bebas sebagai tanah merdeka.
“Bezanya kali ini, saya pula memimpin kontinjen negara di Stadium Merdeka dan menjadi konduktor muzik kepada kontinjen-kontinjen luar dalam sebuah acara besar dan penuh gilang-gemilang ini,” kongsi Norman yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan.
Beliau juga merupakan konduktor muzik yang sama memimpin pancaragam pada Sukan Komanwel (Sukom) 1998 yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin negara.
“Bermain ketika Sukom 98 meninggalkan memori indah kerana dapat bertemu Ratu England, Ratu Elizabeth II selain kehadiran Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman dan beberapa pemimpin besar negara,” kongsi Norman.
Minat Norman dalam bidang muzik banyak dipengaruhi oleh bapanya kerana setiap kali Kamarudin membawa pulang alat muzik klarinet, beliau akan cuba untuk meniup walaupun tercungap-cungap bagi membunyikan alat woodwind daripada kayu yang berpipit tunggal itu.
Pertandingan

PERSEMBAHAN menarik daripada Pasukan Gimnastik Fearless Hawk dari Institut Latihan Tentera Udara, Ipoh.
Melihat kepada kesungguhan anaknya itu, Kamarudin memberi dorongan kepada Norman untuk menceburi dunia muzik dan sokongan kepadanya setiap kali mengikuti persembahan-persembahan pentas.
Seawal usia 11 tahun, Norman sudah mengikut pertandingan bakat dan membuat persembahan pentas di sekolah mahupun peringkat kebangsaan.
“Saya masih ingat lagi ketika berusia 12 tahun, saya pernah mengikuti pertandingan Bakat TV di Radio Televisyen Malaysia pada tahun 1974.
“Waktu itu, saya bermain klarinet dan mendendang sebuah lagu Jepun iaitu Sukiyaki oleh Kyu Sakamoto dan lagu tradisional, Sri Sarawak,” kata Norman yang hanya melepasi satu peringkat ketika itu.
Sebagai seorang konduktor, Norman mempunyai cara yang tersendiri dalam memimpin pasukan pancaragam supaya mudah difahami oleh setiap ahli kontinjen.
Menuntut di Defence Force School of Music, Melbourne, Australia dan Army School of Music, Abbottabad, Pakistan banyak mengajarnya menjadi seorang pemuzik dan konduktor yang baik.
“Seorang konduktor perlu peka dengan rentak lagu yang dimainkan, Jika pantas, pergerakan tangan, siku dan bahu perlu tegas. Begitu juga ketika memainkan lagu perlahan seperti lagu kebangsaan, Negaraku.
“Tangan dihayun perlahan dan lembut seperti melayang-layang bagi mengikut rentak lagu,” terang Norman yang juga merupakan pelajar terbaik ketika menuntut di Pakistan.
Kepada ahli kontinjen negara yang menyertai Tatu 2014, beliau sering kali menasihatkan pasukannya melakukan yang terbaik kerana mereka tidak bermain untuk kepuasan individu semata-mata tetapi membawa nama negara memandangkan ia turut disertai oleh negara-negara luar.
“Apa yang boleh saya katakan, saya amat berpuas hati dengan kesungguhan yang dipamerkan oleh kontinjen negara sepanjang tiga hari acara itu diadakan. Mereka telah melakukan yang terbaik bagi mengangkat nama negara sebagai tuan rumah Tatu 2014.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: