Tuesday, November 18, 2014

Legasi 40 tahun Hello Kitty



Hello Kitty menjadi fenomena sejak diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun 1974.


SELAKU seorang pelajar pada era 1970-an, Kazumi Kaminaga tidak pernah melihat anak patung secomel Hello Kitty sebaik melontarkan pandangan ke arah boneka yang tidak bermulut itu di sebuah kedai di Jepun.
“Susah untuk mencari anak patung yang sangat comel ketika saya masih di bangku sekolah rendah.
“Patung Hello Kitty sangat mengujakan saya kerana ia terlalu comel,” kata wanita berusia 51 tahun itu.
Sempena sambutan ‘hari kelahiran’ Hello Kitty yang ke-40 pada tahun ini, Kaminaga dianggap sebagai pengumpul tegar jenama yang menjadi satu fenomena itu.
Sehingga kini, lebih 50,000 produk diperkenalkan termasuk dres yang dibuat untuk artis pop Amerika Syarikat (AS), Lady Gaga. Anak patung itu juga membentuk industri dengan anggaran bernilai berbilion dolar.
Karakter itu muncul menerusi pelbagai jenis produk lain termasuk barangan elektronik dan corak pesawat di 130 buah negara dan wilayah seluruh dunia.
Hello Kitty diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun 1974 dan menjadi penghias pada dompet duit syiling setahun selepas itu.
Namun, pada hari ini, Hello Kitty tidak hanya menjadi ikon buat si kecil tetapi juga golongan dewasa. Syarikat pengeluar Hello Kitty, Sanrio Co. Ltd. mendedahkan karakter itu terus dihidupkan dalam kalangan orang dewasa seperti Kaminaga.
Hadiah
Peminat setia Hello Kitty itu memberitahu, dia membeli boneka tersebut sebagai hadiah kepada bosnya yang merupakan seorang lelaki.
“Ia adalah trend yang lahir di Jepun dan negara-negara Asia lain pada tahun 1990. Meminati dan memiliki koleksi Hello Kitty bukan perkara yang bersifat keanak-anakan.
“Ia adalah satu perubahan besar yang mempunyai nilai dan fenomena ini turut berlaku di AS serta Eropah,” kata jurucakap Sanrio, Kazio Tohmatsu.
Sementara itu, seorang ahli antropologi, Christine Yano yang pakar dalam karakter patung itu berkata: “Hello Kitty memberikan golongan dewasa ‘lesen’ untuk bermain dan meluahkan sisi lain diri mereka yang mungkin tidak ditonjolkan kepada orang ramai dalam kehidupan sebenar.”
Legasi Hello Kitty diteruskan menerusi tarikan yang sesuai untuk pelbagai peringkat usia melalui karakter comel yang memakai tali leher kupu-kupu berwarna merah jambu dan ukuran ketinggian seperti lima biji epal.
Sikap masyarakat Barat mengenai budaya comel juga telah berubah disebabkan populariti komik Manga dan Anime dari Jepun yang lebih digemari.
“Selama bertahun-tahun, Hello Kitty terus digemari berdasarkan rupanya yang comel. Di samping itu, menjadi penghias fesyen untuk pelbagai jenama turut membantu meningkatkan keyakinan,” katanya penulis buku Pink Globalization: Hello Kitty’s Trek Across the Pacific, Christine R. Yano.

Selain kanak-kanak, Hello Kitty turut menjadi ikon buat golongan dewasa.


Hello Kitty juga boleh disifatkan sebagai produk sepanjang zaman. Watak itu diperkenalkan kira-kira tiga dekad lalu apabila negara Jepun kembali stabil selepas kalah teruk dalam Perang Dunia II dan kanak-kanak negara itu mempunyai wang saku untuk dibelanjakan.
Karakter Hello Kitty juga mengikuti perkembangan semasa dan mempunyai teman lelaki, Dear Daniel apabila remaja Jepun mula bertemu janji secara terbuka serta kemunculan watak kucing Parsi bernama Charmmy Kitty selepas wanita pada semua peringkat usia mempunyai binatang peliharaan.
Namun, di sebalik karakter tersebut, watak yang membawa slogan ‘Awak tidak boleh mempunyai kawan yang ramai’ itu masih menerokai dunia baru.
Dalam pada itu, Sanrio merancang untuk melancarkan barisan produk terbaharu Hello Kitty untuk lelaki sebelum sambutan Hari Kekasih tahun depan.
“Itu adalah idea yang baik. Saya akan membelinya untuk suami dan anak lelaki saya,” kata seorang pekerja pejabat, Niroko Hoshino, 56.
Hoshino yang menghiasi kukunya dengan corak Hello Kitty berkata, dia mengumpul koleksi karakter tersebut sebaik mencapai usia dewasa.
“Saya mempunyai semua produk Hello Kitty termasuk barang-barang untuk dapur, bilik air, seluar dalam dan beg tangan. Ia sangat banyak sehingga saya tidak boleh ingat berapa yang saya miliki,”katanya.
Namun, karakter Hello Kitty turut mengalami krisis identiti berikutan laporan yang mendakwa ia bukan watak seekor kucing tetapi seorang perempuan.
Karakter
Kenyataan yang mengejutkan itu berlaku pada Ogos lalu dan menjadi viral di internet. Ia mengejutkan ramai peminat Hello Kitty yang selama ini yakin bahawa karakter yang dibawa adalah seekor kucing.
Kejutan itu sampai ke kemuncaknya apabila Yano bertanya kepada wakil Sanrio untuk mendapatkan kepastian mengenai kapsyen bagi pameran sempena ulang tahun ke-40 tahun Hello Kitty di Los Angeles.
Namun, Sanrio menegaskan bahawa karakter itu merupakan seorang gadis ceria yang dilahirkan di pinggir bandar London walaupun mempunyai misai dan telinga runcing.
“Hello Kitty membuat panggilan telefon dan mempunyai kawan iaitu seekor ikan emas sejak dari mula ia diperkenalkan,” kata Tohmatsu yang memegang jawatan sebagai pegawai perhubungan awam Sanrio.
“Ia merupakan 100 peratus watak yang dipersonifikasikan... tanpa muka kucing itu, Hello Kitty melakukan semua yang dilakukan oleh manusia,” katanya.
Bagaimanapun, kekeliruan karakter itu tidak mungkin akan menjejaskan jenama tersebut kerana ia sudah pun mencapai tahap ‘kalis peluru’.
Bagi meraikan ulang tahun ke-40, pembuat patung Bandai mengeluarkan satu lagi produk berlesen Hello Kitty yang dipanggil ‘smartpants’.
“Ia merupakan aksesori yang diselitkan di bahagian bawah telefon pintar untuk penggemar yang merasakan gajet mereka memerlukan seluar dalam Hello Kitty. Produk terbaharu itu dipanggil Hello Pantty.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: