Tuesday, November 4, 2014

Kulinari Palestin taruhan Laila

LAILA (dua dari kanan) bersama sebahagian ahli keluarganya berkunjung ke Gaza bagi mendalami ilmu masakan.


MEMILIKI rupa paras menarik, berkulit mulus, bermata biru dan berbibir menawan bukanlah penghalang kepada Laila el-Haddad untuk sama-sama berjuang menegakkan keadilan di negara tumpah darahnya, Palestin.
Bagaimanapun, cara dan kaedah yang digunakan oleh ibu kepada tiga orang cahaya mata itu begitu berbeza dengan para pejuang di negara bergolak itu.
Wanita berusia 46 tahun itu merupakan individu yang bertanggungjawab melaporkan berita mengenai keganasan tentera Israel terhadap rakyat Palestin ketika negara tersebut terputus hubungan pada tahun 2005 melalui laman web agensi berita Al-Jazeera dan The Guardian.
Liputan meluas itu telah mendapat pujian daripada masyarakat dunia kerana keberanian Laila melaporkan kisah penderitaan rakyat negara tersebut walaupun nyawanya terancam.
Tetamu
Selain bertugas sebagai wartawan antara tahun 2003 hingga 2007, anak kelahiran Kuwait itu juga memiliki blog sendiri iaitu Gaza Mom sejak tahun 2004.
Blog yang melaporkan kisah-kisah perjuangan rakyat Palestin itu telah memenangi beberapa anugerah.
Antaranya ialah blog Asia Barat terbaik dalam anugerah Brass Crescent, mendominasi Anugerah Bloggies pada tahun 2007 dan terpilih sebagai Blog of the Day oleh www.BlogAwards.com.
Empat tahun lalu, Laila berjaya menerbitkan buku pertamanya, Gaza Mom: Palestine, Politics, Parenting and Everything in Between yang diterbitkan oleh Just World Books.
Walaupun kini Laila menetap di Amerika Syarikat (AS) dan seorang suri rumah yang sibuk, namun dia sangat aktif sebagai aktivis memperjuangkan Palestin.
Baru-baru ini, Laila telah berkunjung ke Malaysia sebagai tetamu jemputan Festival Filem Kuala Lumpur-Palestin yang dianjurkan oleh Pertubuhan Viva Palestina Malaysia.
Pada acara tersebut, wanita tinggi lampai dengan ketinggian 170 sentimeter ini telah melakukan demonstrasi masakan tradisi Palestin di restoran Picknic, Publika, Kuala Lumpur.
Festival yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Malaysia mengenai isu Palestin sambil mengutip dana untuk pembangunan negara tersebut.
Walaupun Laila dilahirkan di Kuwait dan dibesarkan di Arab Saudi, namun dia tidak pernah sesekali melupakan asal usulnya.
Anak kepada pasangan doktor itu, Dr. Moussa El-Haddad, 70, dan Dr. Maii El-Farra, 69, itu menjelaskan, bagi rakyat Palestin, berhijrah merupakan perkara normal kepada mereka sejak tahun 1948 selepas pelbagai sekatan dan tekanan rejim Israel.

LAILA menunjukkan demonstrasi masakan di restoran Picknik, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.


“Ibu bapa sering menasihati saya supaya jangan sesekali melupakan asal usul keluarga.
“Mereka turut mengingatkan saya supaya sentiasa bersyukur kerana tidak merasai penderitaan yang dialami oleh penduduk di Gaza,” kata graduan Universiti Duke sebelum menyambung pengajiannya ke Harvard Kennedy School of Government. Laila turut diberi biasiswa Clinton.
Mengulas mengenai kerjaya sebagai wartawan, Laila memaklumkan bahawa ia merupakan kerjaya yang mulia kerana dapat melaporkan penderitaan rakyat Palestin.
Walaupun ramai yang memilih kerjaya sebagai doktor untuk membantu mangsa kekejaman Israel, namun wartawan juga memainkan peranan penting.
Sepanjang bertugas di Palestin, pelbagai kejadian telah berlaku kepada Laila. Antaranya terkandas selama 55 hari bersama anaknya di Kaherah, Mesir.
“Suami saya, Dr. Yassine Daoud (pakar bedah mata) tinggal di AS kerana dia merupakan pelarian Palestin dan dibesarkan di kawasan perkhemahan.
“Memandangkan dia seorang pelarian, dia tidak dibenarkan masuk ke Palestin. Jadi saya yang akan pulang ke sana,” katanya.
Diskriminasi
Laila menambah, kejadian itu merupakan sebahagian daripada bentuk diskriminasi yang dilakukan oleh masyarakat Barat terhadap rakyat Palestin.
Katanya, ia merupakan perkara lumrah yang perlu dilalui oleh rakyat Palestin yang bergelar pelarian.
Ketika berkunjung ke negara ini, Laila sempat mempromosikan buku keduanya iaitu The Gaza Kitchen: A Palestinian Culinary Journey.
Buku yang diterbitkan akhir tahun 2013 itu memaparkan keunikan masakan tradisional penduduk Gaza.
Menurut Laila, buku masakan tersebut turut memaparkan kisah mengenai perubahan gaya masakan Mediterranean yang diamalkan oleh masyarakat di Palestin selepas mereka dihimpit masalah kekurangan makanan dan kemiskinan.

Rakyat Gaza terpaksa mengubah gaya masakan mereka selepas dihimpit masalah kekurangan makanan dan kemiskinan.


“Bagi masyarakat Palestin, makanan boleh diibaratkan sebagai jambatan penghubung untuk mengeratkan silaturahim.
Dianggarkan hampir 1.7 juta penduduk Gaza berjuang untuk mendapatkan sesuap makanan.
Keadaan ini berlaku kerana pihak berkuasa Palestin terpaksa melakukan catuan terhadap bahan-bahan utama yang digunakan dalam masakan seperti tepung gandum dan minyak sayuran.
Situasi ini berlaku sejak tahun 2007 apabila kumpulan perjuang Hamas berjaya menguasai wilayah Palestin. Ia menyebabkan Israel dan Mesir melakukan sekatan makanan ke atas Palestin.
Antara makanan tradisional Palestin yang dipaparkan dalam buku tersebut ialah salad Gazan, salad Abo Safiya, zibdiyit gambari serta sotong sumbat bersama rempah ratus, kismis dan beras.
“Masakan ruji masyarakat Palestin banyak menggunakan elemen pedas, masam dan berempah.
“Ia disebabkan Gaza pernah menjadi pusat pelabuhan rempah ratus antara Asia dan Eropah suatu masa dahulu,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai faktor mendorongnya untuk menulis buku The Gaza Kitchen: A Palestinian Culinary Journey Laila memberitahu, ia bertitik tolak daripada keinginan untuk memaparkan sesuatu yang menarik di Gaza.
Katanya, melalui buku berharga RM42 senaskhah itu, ia diharap dapat mengubah minda masyarakat dunia supaya tidak mengaitkan Palestin dengan kejadian pengeboman, pembunuhan dan politik semata-mata.
“Saya berharap melalui buku ini, sekatan yang dikenakan Barat terhadap Palestin terutamanya berkaitan makanan dimansuhkan.
“Saya juga menyimpan harapan suatu masa nanti, Palestin akan kembali aman dan aktiviti kulinari dapat diteruskan oleh wanita di sana,” katanya penuh yakin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: