Sunday, November 9, 2014

Ketupat daun tebu Zulkefli lebih sedap


  • Zulkefli menunjukkan ketupat daun  tebu yang dicetuskan sejak 10 tahun lalu.Zulkefli menunjukkan ketupat daun tebu yang dicetuskan sejak 10 tahun lalu.

KEBIASAANNYA apabila ada kenduri atau tibanya Aidilfitri, pembuat ketupat daun palas di negeri ini perlu bersengkang mata untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

Namun pengorbanan itu amat berbaloi apabila peniaga meraih rezeki berganda.

Antara yang tersenyum lebar apabila tibanya musim itu ialah Zulkefli Razak, 26, dari Maras, Batu Rakit di sini.

Ketika itu, dia sekeluarga tidak menang tangan membuka daun palas dan membungkus ketupat kerana tempahan meningkat berganda-ganda.

Lebih hebat, Zulkefli kini berjaya mempopularkan ketupat daun tebu yang dikatakan rasanya lebih enak berbanding ketupat daun palas masih digemari ramai.

Membuka rahsia bagaimana timbulnya idea menghasilkan ketupat menggunakan daun tebu, Zulkifli berkata, idea itu tercetus apabila ibunya Chik Ghani, 51, terima banyak tempahan ketupat daun  pada musim perayaan.

“Ketika itu kami menghadapi masalah kekurangan daun palas untuk membungkus ketupat. Setelah berbincang bersama keluarga timbul idea untuk cuba menggunakan daun tebu sebagai pembalut ketupat menggantikan daun palas.

“Percubaan 10 tahun lalu itu bukan sahaja berjaya tetapi kami tidak sangka rasa ketupat juga lebih sedap," katanya.

Sejak itu kata Zulkefli, ketupat daun tebu yang dihasilkan mula menjadi bualan ramai, sehingga tempahan dari pelanggan makin bertambah dari hari ke hari.

“Malah kadangkala kami menerima tempahan ketupat daun tebu lebih banyak daripada daun palas.

"Sekarang selain tempahan di terima dari rumah.. kami juga menjualnya di Pasar Tani Mega Padang Hiliran,” katanya.

Ketika ditanya mengenai resipi ketupat daun tebu itu pula, Zulkefli berkata, ia lebih kurang sama dengan pembuatan ketupat daun palas.

Menurutnya, sebanyak 15 kilogram beras pulut direndam selama 5 hingga 6 jam manakala santan daripada 15 biji kelapa diperlukan.

Daun tebu segar pula digunakan sebagai pembungkus ketupat manakala daun palas dijadikan tali untuk mengikat ketupat.

“Kita perlu mengukus pulut terlebih dahulu dan dalam masa sama memasak santan sehingga pekat.

"Kedua-dua bahan itu akan dicampur bersama. Setelah dicampur biarkan ia sejuk...apabila pulut sejuk, kita boleh mula membungkus ketupat dengan daun tebu," katanya.

Menurutnya, setelah dibungkus ketupat kemudiannya diikat dengan menggunakan daun palas dan dikukus sekitar 20 minit atau sehingga daun tebu bertukar warna menjadi lebih pudar atau layu,” katanya kepada Sinar Harian.

Zulkefli berkata, daun tebu yang digunakan perlu dipastikan hanya yang segar dan ketupat daun tebu lebih sedap dimakan panas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: