
JUREY LATIFF (tiga dari kiri) bersama barisan karyawan termasuklah Othman Hafsham (kiri sekali) dan Gibran Agi yang hadir pada sidang media kempen Switch Off ‘14 yang berlangsung di Finas, baru-baru ini. Hadir sama, Zed Zaidi (kanan sekali).
KEMPEN Switch Off’14 merupakan sebuah kempen yang digerakkan oleh Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) iaitu Jurey Latiff Rosli bagi membela nasib pekerja industri kreatif tanah air. Kempen yang dijadualkan berlangsung pada 11 November itu mempunyai objektif mahu meningkatkan taraf hidup pekerja dalam industri supaya lebih terjamin pada masa hadapan.
Kempen itu juga mendapat sokongan penuh daripada persatuan Seniman Malaysia (Seniman). Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Presiden Seniman, Zed Zaidi.
Secara rasminya, kempen tersebut telah dilancarkan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada 21 Oktober lalu dan dihadiri lebih 200 orang termasuklah beberapa artis terkenal tanah air seperti Fauziah Nawi, Harun Salim Bachik, Imuda dan Norish Karman.
Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil menyuarakan kelantangan persatuan itu berdiri bersama Gafim dalam memastikan 11 tuntutan yang dibawa dalam Switch Off’14 akan diterima oleh pihak kerajaan sekali gus memastikan kebajikan para penggiat seni lebih terpelihara.
Tegas Zed Zaidi ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini, kempen tersebut sebenarnya lebih menjurus kepada kempen kesedaran mengenai cara memperbaiki taraf hidup dan sistem ekonomi buat golongan penggiat seni terutamanya pelakon, kru produksi dan penggiat kreatif.
“Saya mahu semua orang faham. Kami buat kempen ini (Switch Off’14) bukan bertujuan mahu menentang kerajaan. Kami buat kempen, bukan demonstrasi atau rusuhan. Apa yang kami mahukan ialah membawa perubahan bagi mengatasi kemelut berpanjangan yang melanda industri seni sejak 20 tahun dahulu.
“Melalui Switch Off’14 juga, kami mahu usulkan 11 tuntutan kepada pihak menteri yang terbabit iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabeery Cheek. Dalam tuntutan itu, banyak yang kami perincikan dan jika diluluskan, itu semua juga adalah untuk kebaikan banyak pihak.
“Seperti contoh, sebelum ini tidak wujud walau satu pun akta yang mempertahankan industri seni. Tiada akta yang mempertahankan drama televisyen. Apa yang ada hanyalah Akta Finas, itupun untuk filem, bukan drama. Begitu juga dengan para pekerja seni yang tidak mempunyai apa-apa akta bagi melindungi mereka. Sebab itu, kempen ini kami bangkitkan isu untuk mendesak kerajaan supaya mewujudkan akta industri seni kreatif,” ujar Zed Zaidi dengan panjang lebar.
Bagi menjayakan kempen yang berlangsung selama sehari pada 11 November itu nanti, penganjuran Switch Off’14 turut menyarankan supaya orang ramai mematikan siaran televisyen mereka selama tempoh tiga jam (dari pukul 8-11 malam). Saranan tersebut juga disifatkan sebagai langkah penjimatan elektrik.
Sementara menunggu hari kempen berlangsung, Seniman turut mengambil langkah meraih sokongan daripada orang ramai melalui laman sosial. Ujar Zed Zaidi, pihak Seniman akan memuat naik pelbagai video yang berkaitan bagi mendapatkan sokongan padu daripada para penggiat seni sendiri dan juga orang ramai.
“Secara tidak langsung langkah ini akan membantu memberi sokongan kepada kempen itu nanti. Mungkin salah satu caranya ialah dengan menukar gambar profil di akaun Facebook masing-masing dengan menggunakan logo Switch Off’14. Pihak kami (Seniman) juga, melihat cara itu sebagai platform dalam menyatukan anak seni di bawah satu bumbung perpaduan.
“Saya sendiri sebagai Presiden Seniman menyokong tindakan Gafim yang menganjurkan kempen sebegini kerana ia merupakan salah satu jalan yang terbaik dalam meluahkan perasaan yang selama ini kami pendam sebagai penggiat seni. Apa-apa sahaja yang Gafim anjurkan, kami harus sokong kerana di situ baru nampak kami bersatu. Apa yang diperjuangkan Gafim, itu juga merupakan perjuangan bersama-sama dengan Seniman,” ujar Zed Zaidi dengan lanjut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: