Tuesday, May 6, 2014

Harta karun: Kontraktor nafi sengaja letak syiling


  • Kontraktor nafi sengaja letak syilingAntara gambar tersebar di internet, kononnya harta karun yang ditemui di Pulau Nangka, Melaka.

MELAKA - Syarikat kontraktor yang bertanggungjawab mencari dan mengeluarkan harta karun di Pulau Nangka, Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, menafikan sengaja meletakkan dua  keping syiling di kawasan pencarian supaya kontrak yang sepatutnya berakhir 30 April lalu, disambung semula.

Pengarah Urusannya, Mohammad Foad Khushairy Mohd berkata, syiling itu memang ditemui pekerjanya ketika kerja penggerudian bongkah batu di kawasan pencarian.

Katanya, penemuan itu turut  disaksikan banyak pihak, termasuk wakil Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan media yang membuat liputan.

“Tuduhan mengatakan kami sengaja meletakkan dua keping syiling itu tidak benar. Malah, saya menafikan ia dibawa dari luar,” katanya.

Menurutnya, sejak dua syiling berkenaan ditemui pada malam 30 April lalu, banyak maklum balas daripada pelbagai pihak tertera pada laman sosial yang meragui kesahihannya.
Malah, katanya, ada yang berpendapat syiling seumpama itu mudah diperolehi dan banyak dijual menerusi internet.

Mohammad Foad berkata, dua syiling itu sudah pun diserahkan kepada Perzim bagi tujuan kajian.

“Saya sudah serahkan kepada Perzim untuk memutuskan kesahihannya dan keputusan ujian makmal akan menentukan sama ada ia benar-benar dari kawasan itu atau tidak.
“Saya harap orang ramai tunggu hasil kajian berkenaan sebelum membuat sebarang andaian,” katanya pada di pulau berkenaan, semalam.

Sementara itu, Mohammad Foad menafikan beberapa gambar harta karun yang tersebar di internet ditemui di Pulau Nangka sewaktu kerja pencarian.

“Saya tegaskan, setakat ini hanya dua keping syiling ditemui sepanjang tempoh pencarian dan gambar tersebar di internet itu tidak benar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, kerja-kerja mengalihkan bongkah batu terpaksa ditangguhkan lagi apabila hanya separuh sahaja berjaya dinaikkan, manakala selebih masih tertinggal dalam lubang pencarian sedalam kira-kira lima meter.

Menurutnya, batu berkenaan terpaksa dipecahkan akibat alatan digunakan tidak mampu mengangkat bebanan seberat itu.

"Secara keseluruhan, bebanan yang diangkat seberat 18 tan dan setakat ini sudah 15 tan batu berjaya dialihkan, manakala selebihnya masih tertinggal.

“Kami hanya mampu mengeluarkan separuh sahaja bongkah batu setinggi 2.5 meter dan mempunyai berat kira-kira dua tan selepas melakukan operasi dari jam 8 sehingga 10 malam semalam (kelmarin)," katanya.

Beliau bagaimanapun yakin, dapat mengeluarkan baki batuan tersebut dalam masa dua atau tiga hari lagi sebelum menjalankan kerja membersihkan tanah setebal kira-kira satu meter di dalam lubang itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: