Monday, April 7, 2014

Persembahan pertama di Malaysia




PALUAN gendang yang memecah kesunyian di dewan itu mengingatkan Hon Suet Yi, 22, memori zaman kanak-kanak yang dilalui setiap kali menghadiri majlis rumah terbuka sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Kelincahan kumpulan pemain gendang yang turut menggabungkan tarian dan seni mempertahankan diri Wushu dalam persembahan itu memberi impak yang begitu mengujakan kepada gadis yang berasal dari Ipoh, Perak itu.
Teater bertajuk Meeting with Bodhisattva anjuran Kumpulan Purple Cane dan Hands Percussion Malaysia yang julung-julung kali dipersembahkan di Malaysia oleh U-Theatre itu memang dinanti-nantikan oleh Suet Yi semenjak kumpulan itu ditubuhkan 26 tahun lalu.
Dia begitu teruja kerana kumpulan teater yang diminati selama ini akhirnya muncul di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan membawa naskhah yang dihasilkan sejak tahun 2002.
"Saya mengenali kumpulan ini ketika berusia belasan tahun selepas menyertai kelab gendang di peringkat sekolah menengah.
"Memang menjadi impian saya untuk menyaksikan persembahan mereka, namun disebabkan faktor ekonomi, hasrat tersebut tidak kesampaian sehinggalah mereka membuat persembahan di sini," ujarnya.
Kata Suet Yi, kumpulan U-Theatre merupakan inspirasi dan penyuntik semangat kepadanya setiap kali membuat persembahan sama ada di sekolah atau di luar sekolah.
Inspirasi
Kelabnya sering kali membuat persembahan sempena sambutan hari perayaan, ulang tahun sekolah dan pada hari-hari istimewa berdasarkan undangan yang diterima.
"Pada saat-saat berada di atas pentas, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya ialah melakukan yang terbaik bagi menghiburkan para penonton.
"Semangat yang ada pada kumpulan yang berasal dari Taiwan itu menjadi inspirasi kepada saya untuk membuktikan kemampuan yang ada kepada para pengunjung," jelasnya.
Dalam pada itu, seorang lagi penonton, Trace Loo, 25, memberitahu, kumpulan U-Theatre yang menggabungkan gendang, tarian dan Wushu dalam teater berjaya 'membuka mata' warga asing selain mengujakan masyarakat Tionghua sendiri.

SEBAHAGIAN daripada 40 peserta yang terlibat dalam teater Meeting with Bodhisattva.


"Siapa sangka aktiviti tradisional masyarakat Cina tersebut boleh digabung menjadi satu teater yang mampu menyampaikan mesej yang begitu mendalam dan kreatif.
"Memang biasa apabila kita melihat orang bermain gendang, Wushu atau tarian tradisional, namun saya tidak pernah menyaksikan persembahan yang menggabungkan ketiga-tiga aktiviti tersebut.
"U-Theatre merupakan kebanggaan masyarakat Cina, saya berharap usaha mereka dapat diteruskan dengan menghasilkan lebih banyak teater baharu dan dibawa ke seluruh dunia," tambahnya yang tinggal di Puchong, Selangor.
Para peminat dari Malaysia mengenali asal usul dan latar belakang kumpulan bertaraf antarabangsa itu, namun tidak ramai yang mengetahui bahawa pengarah muziknya, Chih-Chun Huang, 49, sebenarnya anak kelahiran Ipoh, Perak.
Mula melibatkan diri dalam aktiviti bermain gendang ketika berusia enam tahun dan Wushu pada usia 10 tahun, Chih-Chun mempraktikkan konsep meditasi sebelum bermain gendang.
Meditasi
"Menerusi meditasi, seseorang individu itu akan lebih mengenali dan memahami diri sendiri dan dalam keadaan yang tenang dan sunyi, kita akan mengetahui dan fokus terhadap apa yang dilakukan.
"Memang wajib bagi setiap ahli kumpulan, termasuk diri saya untuk meluangkan masa beberapa jam untuk menjalankan aktiviti meditasi sebelum memulakan latihan," jelas bapa kepada dua orang anak itu.
Beliau yang berkahwin pada tahun 1994 bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sam Tet dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet di Ipoh sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Tinggi Persendirian Cina Yuk Choy, Ipoh.
Selepas tamat pengajian, anak keempat daripada lima beradik ini kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Pendidikan Jasmani Nasional Taiwan dan menetap di negara tersebut.

AKSI Chih-Chun (tengah) berjaya memukau penonton.


Menceritakan pembabitan beliau dalam aktiviti meditasi, tambah Chih-Chun, segala-galanya bermula ketika dia melancong ke India sekitar tahun 90-an iaitu sebelum menyertai kumpulan U-Theatre.
"Ketika berada di India, saya bertemu dengan seorang guru. Beliau memberi banyak tunjuk ajar seperti asas hidup seorang manusia dan antaranya ialah meditasi.
"Dalam tempoh enam bulan berada di sana, saya memahami banyak perkara menerusi meditasi dan belajar untuk 'hidup semula' sebagai seorang manusia.
"Menerusi proses itu, saya berjaya mengubah diri dan mengambil keputusan untuk berkongsi pengalaman berkenaan dengan ahli kumpulan U-Theatre bagi menghasilkan naskhah teater yang lebih sempurna," ujarnya.
Chih-Chun merupakan ahli kumpulan Taipei Folk Dance Theatre dan Cloud Gate Dance Company sebelum menyertai U-Theatre yang ditubuhkan oleh Pengarah Artistik U-Theatre, Ruo-Yu Liu pada tahun 1993 sebagai Drumming Master.
Tambahnya, persembahan pertama di tanah air amat bermakna baginya kerana hasrat untuk berkongsi pencapaiannya dengan rakyat Malaysia tercapai.
"Sebelum ini saya memang mahu membuat persembahan di negara kelahiran saya, namun disebabkan kekangan dari segi dana, rancangan tersebut terpaksa dibatalkan.
"Saya amat berterima kasih kepada penganjur dan semua pihak yang menjayakan persembahan ini dan berharap dapat pulang dengan lebih banyak hasil teater pada masa hadapan," tambahnya.
Penubuhan
Bercerita mengenai sejarah penubuhan kumpulan U-Theatre, isteri kepada Chih-Chun, Ruo-Yu, 58, memberitahu idea untuk menubuhkan kumpulan itu terlintas dalam fikiran apabila beliau kembali ke Taiwan selepas mengikuti kursus Pengarah Teater dari Poland, Jerzy Grotowski.
"Saya mengambil jurusan Kesenian Teater di Universiti New York pada tahun 1983 dan amat bertuah kerana terpilih untuk mengikuti kelas Jerzy yang terkenal dalam bidang teater pada tahun 1984.

KUMPULAN U-Theatre menggabungkan tarian tradisional, gendang dan Wushu dalam satu persembahan.


"Ketika itu saya mengikut Jerzy untuk menjalani latihan dan bekerja di California selama setahun.
"Dalam tempoh tersebut, saya mempelajari kepentingan penguasaan mentaliti untuk menyampaikan persembahan dan mengenali kemampuan diri yang sebenar selain menyedari tentang kepentingan kebudayaan sendiri.
"Justeru, apabila kembali ke tanah air, saya nekad mahu membangunkan tradisi dan budaya tempatan dengan mempelajari aktiviti berkenaan dan selepas tiga tahun berusaha, akhirnya kumpulan U-Theatre ditubuhkan," katanya yang menubuhkan kumpulan itu pada 1988.
Ruo-Yu yang berasal dari Hsin-chu, Taiwan memegang watak utama dalam persembahan teater ketika menyertai kumpulan Lan Ling Theatre Workshop pada tahun 80-an.
Pada tahun 2008, beliau memenangi anugerah Penghibur Seni Terbaik dalam Anugerah Kesenian Tahunan Kebangsaan Taiwan Ke-12.
Kumpulan U-Theatre yang kini mempunyai lebih 100 ahli termasuk pelajar pernah mengadakan persembahan di Brazil, Amerika Syarikat, Rusia, New Zealand dan Perancis dan bakal mengadakan persembahan bertajuk Lover yang dihasilkan tahun ini di Berlin, Jerman pada April 2014.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: