Saturday, April 19, 2014

Menyuburkan jiwa patriotik


SEBAHAGIAN daripada buku-buku mengenai ketenteraan milik Mohd. Ridhuan yang kerap diulang baca pada masa lapang.


HELAIAN muka surat buku Kanang: Kisah Seorang Pahlawan yang baru dibelinya selepas pulang dari sekolah diselak perlahan-lahan, manakala matanya pula tertancap pada baris-baris ayat yang tertulis.
Buku biografi tulisan Mejar (B) Maznan Noordin itu mengisahkan sejarah hidup pahlawan negara, mendiang Pegawai Waran 1 (B) Kanang Langkau menentang pengganas komunis semasa era Insurgensi.
Dengan gaya bahasa yang mudah dan ringkas, penceritaan Maznan, bekas pegawai perhubungan awam Tentera Darat itu cukup terkesan pada jiwa Mohd. Ridhuan Abdullah, yang ketika itu berusia 13 tahun.
Keberanian Kanang bertempur dengan pengganas komunis sehingga cedera parah setelah ditembusi peluru musuh cukup dikagumi.
Dia ingin menjadi seperti Kanang suatu hari nanti dan pada masa sama mencetuskan minatnya terhadap bahan bacaan bercorak ketenteraan.
Kanang yang diangkat sebagai wira negara merupakan satu-satunya penerima dua pingat keberanian tertinggi kerajaan Persekutuan iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Pingat Gagah Berani (PGB) kerana keberaniannya.
Bekas Pegawai Waren 1 berketurunan Iban ini terlibat dalam dua pertempuran dengan pengganas komunis iaitu dalam Gerakan Setia 1979 di kawasan Hutan Korbu dan Gerakan Khas Setia 1980 di Tanah Hitam, kedua-duanya di Perak.
MOHD. RIDHUAN


Kanang yang kemudian dianuerahkan gelaran Datuk Temenggong oleh kerajaan Sarawak meninggal dunia pada 3 Januari tahun lalu akibat serangan jantung pada usia 68 tahun.
Buku biografi yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1987 itu telah menemui kira-kira setengah juta pembaca dan menjadi buku terlaris ketika itu.
Kini, Mohd. Ridhuan, 39, yang merupakan pakar teknologi maklumat di sebuah firma swasta di ibu negara masih menebal dengan minatnya membaca buku-buku ketenteraan.
Tahu sejarah
Tidak kurang 150 buku pelbagai judul mula dikumpul sejak 17 tahun lalu, terutamanya bercorak sejarah menghiasi rak buku yang disimpan rapi di dalam sebuah bilik khas di rumahnya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
"Buku kedua saya juga karya Maznan berjudul Gonzales : Kenang-kenangan Seorang Jeneral yang mengisahkan biografi bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd. Ghazali Mohd. Seth.
"Saya amat menggemari buku-buku sejarah ketenteraan sama ada era Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua sehinggalah konflik antarabangsa selain biografi pemimpin-pemimpin tentera tersohor.
"Ia bukan sekadar kerana minat, tetapi banyak perkara yang boleh diketahui serta dipelajari menerusi sejarah peperangan, misalnya mengenai tamadun manusia.
"Percaturan strategi-strategi perang oleh jeneral terhebat juga boleh disesuaikan dengan keadaan semasa misalnya perniagaan atau menjadi sumber motivasi," ujarnya yang menilaikan koleksi buku-bukunya mencecah RM11,000.
Ada antara buku-buku ini dibeli secara atas talian menerusi laman web luar negara selain di karnival buku.
Perkembangan teknologi komunikasi semasa turut menyaksikan Ridhuan menjadikan laman sesawang berita, portal dan blog sebagai pelengkap menambahkan pembacaanya.
Akuinya, portal berita berbahasa Melayu atau bahasa Inggeris yang dikendalikan oleh blogger-blogger bebas ini pantas memaparkan maklumat-maklumat terkini berhubung hal ehwal ATM atau pertahanan serantau.
Terdapat kira-kira 12 laman portal berkaitan pertahanan di negara ini antaranya ialah Military of Malaysia, Malaysia Military Power, Malaysian Defence, Askar Setia dan Bekas Komando.
Namun begitu, minatnya membaca, membeli dan mengumpul buku-buku pertahanan tidak padam demi kepuasan tersendiri.

KANANG menunjukkan parut ditembak musuh.


Menabung gaji
Turut berkongsi minat yang sama ialah dua rakannya, Abdul Aziz Abas, 40, dan Ibrahim Azhar Ab. Wahab, 31.
Abdul Aziz misalnya, menyimpan 140 buku ketenteraan terutamanya mengenai pesawat udara dan teknologi aeroangkasa, manakala 120 buku teknologi pertahanan serta persenjataan dimiliki Ibrahim.
Koleksi ini tidak termasuk majalah dan jurnal ketenteraan yang dibeli setiap bulan.
"Setiap buku berharga antara RM70 hingga RM200. Jika dihitung semuanya koleksi buku-buku yang dikumpul sejak 15 tahun lalu mencecah kira-kira RM14,000," ujar Abdul Aziz yang berasal dari Ipoh, Perak.
Pegawai keselamatan pembinaan sebuah syarikat swasta ini turut mengakui minat membaca buku-buku ketenteraan itu menjadikan dirinya lebih peka terhadap isu keselamatan dan pertahanan serantau.
Beliau yang pernah bercita-cita menjadi anggota tentera menyifatkan pengorbanan pasukan keselamatan mempertaruhkan nyawa menjaga kedaulatan negara amat besar dan tidak ternilai.
"Buku paling mahal dibeli ialah Jane's All the World's Aircraft berharga kira-kira RM2,600 dalam talian beberapa tahun lalu.
"Saya menyimpan sedikit wang gaji untuk membeli bahan-bahan bacaan ini, dan kini minat yang sama turut dikongsi bersama keluarga sebagai menambah pengetahuan am mereka.
"Membaca buku-buku pesawat perang mendedahkan kita dengan teknologi aeroangkasa yang berkembang pantas.
"Penguasaan teknologi menjadikan sesebuah negara itu kuat untuk digeruni musuh berbanding negara yang lemah kuasa tenteranya," ujar beliau yang mencari buku kegemarannya di beberapa kedai buku terpakai sekitar Ipoh, Perak.

PERANG Vietnam mengorbankan 58,000 tentera Amerika Syarikat manakala 2,000 orang lagi hilang.


Berbeza dengan dua rakannya, Ibrahim Azhar yang merupakan penjawat awam di Putrajaya pula adalah bekas pegawai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Semasa bersekolah dahulu, beliau pernah menyembunyikan novel Kanang : Kisah Seorang Pahlawan agar tidak ditemui pelajar lain di perpustakaan sekolah semata-mata ingin meminjam buku tersebut.
"Saya menggemari buku-buku tentang taktik peperangan, ensiklopedia persenjataan termasuklah novel berlatarkan ketenteraan.
"Sebelum ini kebanyakan bahan bacaan terhad kepada buku terbitan luar negara, tetapi sejak kebelakangan ini ada penerbit tempatan tampil dengan karya sedemikian khususnya buku bercorak biografi.
"Antaranya buku Jottings X-Nuri Pilot oleh Mejar (B) Nor Ibrahim Sulaiman; Den Komando : Menjunjung Bere Hijau tulisan Mejar (B) Nazar Talib dan Komando 69 karya Muhammad Fuad Mat Noor," katanya. Beliau berpendapat, perlu lebih banyak penerbitan seumpamanya yang wajib dimiliki perpustakaan sekolah di bandar dan desa untuk memupuk semangat patriotik seawal usia kanak-kanak.
Malangnya, atas faktor perniagaan penerbit tempatan lebih gemar menerbitkan buku-buku yang boleh jual laris seperti novel cinta dan cerita-cerita remeh.
Apa yang menarik, Mohd. Ridhuan, Abdul Aziz dan Ibrahim mula bersahabat sejak sembilan tahun lalu sebagai rakan maya menerusi laman sosial Facebook dan sering berbincang mengenai hal ehwal pertahanan serantau.
Sejak itu, mereka bersama beberapa rakan lain menubuhkan sebuah laman sembang pertahanan tempatan dikenali sebagai Panggilan Pertiwi dengan kira-kira 120 ahli yang semuanya berkongsi minat serupa.
Bermula sebagai sebuah laman sembang, Panggilan Pertiwi kemudian didaftarkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Oktober 2012 dan menjadi satu-satunya NGO berkaitan pertahanan di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: