Thursday, October 25, 2012

Zuridah sering disalah anggap

SEKALI pandang mungkin ramai yang akan menganggap gadis genit ini berketurunan Melayu dan beragama Islam.
Tambahan pula namanya Zuridah binti Merah dan secara tidak langsung seperti mengesahkan lagi tanggapan orang ramai mengenai anutan agamanya.
Maka tidak hairanlah sekiranya ucapan salam sering dilontarkan kepadanya oleh individu yang terserempak dengannya.
Tetapi benarlah bak kata pepatah, jangan menilai buku daripada kulitnya. Setelah mengenali Zuridah dan berbual lanjut, jangan terkejut sekiranya dikhabarkan bahawa gadis kelahiran Pekan, Pahang, ini sebenarnya bukanlah berketurunan Melayu dan beragama Islam.
Dia yang merupakan anak kepada pasangan Merah bin Kepot dan Rahmah a/p Awang adalah Orang Asli dari keturunan Jakun.
Tidak menganuti mana-mana agama, bagi Zuridah, dia lebih senang begitu malah bebas untuk melakukan apa sahaja tanpa sebarang sekatan.
Beberapa jam bersamanya ternyata memberi satu pengalaman baru apatah lagi Zuridah atau lebih senang disapa Zu ini sememangnya seorang yang berpegang kuat pada kumpulan etniknya.
Ini kerana anak gadis yang baru berusia 26 tahun ini ternyata ingin mengekalkan tradisi serta meneruskan kesinambungan keturunannya.
Katanya, disebabkan itu jugalah dia seboleh-bolehnya akan mencari pasangan yang sama kumpulan etnik dengannya.
"Buat masa sekarang saya tidak pernah terfikir untuk menganuti mana-mana agama malah selesa dengan situasi dan keadaan hari ini.
"Malah kedua orang tua pun kalau boleh ingin mengekalkan kumpulan etnik yang sedia ada ini hingga ke akhir hayat.
"Untuk itu juga saya seboleh-bolehnya akan mencari pasangan hidup yang sama keturunan dan suku kaum agar ada kesinambungannya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Begitupun, anak sulung daripada tiga beradik ini tidak menolak sekira jodohnya dengan lelaki yang berlainan bangsa ataupun agama.
Berbicara lanjut mengenai kehidupannya sebagai anak Orang Asli, jelas Zu, walaupun pada dasarnya golongan ini telah diberikan penempatan baru serta bantuan untuk merasai kehidupan lebih moden dan tidak ketinggalan, usaha tersebut masih belum banyak kejayaannya.
Ini kerana walaupun banyak usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak, golongan ini masih lagi di takuk lama terutama dari segi pemikiran.
Kerana itu jugalah Zu berazam untuk membantu masyarakatnya (Orang Asli) untuk keluar dari kepompong lama seterusnya memajukan diri masing-masing.
Ternyata apa yang diinginkan Zu selaras dengan pengalamannya apabila membuktikan menerusi semangat yang tinggi disusuli usaha yang bersungguh-sungguh dia kini mampu memiliki segulung ijazah dalam bidang Pengurusan Pelancongan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Begitupun katanya, dia tidak pernah menyangka dapat menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi memandangkan dahulu dia tinggal bersama keluarga yang suka berpindah- randah apatah lagi dia tidak pernah dihantar ke tadika sebelum memasuki sekolah rendah.
Yang penting, hari ini dengan adanya ijazah tersebut dia berharap dapat berbakti kepada keluarga selain masyarakatnya di mana-mana juga di perkampungan Orang Asli.
Walaupun memiliki kelulusan dalam bidang Pengurusan Pelancongan, Zu tidak pernah terfikir untuk bekerja di dalam sektor yang berkaitan malah dia amat berterima kasih kepada Asyik FM kerana memberinya peluang untuk menyertai stesen tersebut.
Sejak bergelar penyampai radio di stesen tersebut, ulas Zu, pun bukanlah glamor yang dicari-cari tetapi lebih kepada peluang untuk membantu masyarakat Orang Asli.
"Asyik FM merupakan stesen radio khusus untuk pendengar masyarakat Orang Asli dan disebabkan itu jugalah saya memilih untuk berkhidmat di sini.
"Melalui saluran ini saya boleh membantu masyarakat Orang Asli menyalurkan maklumat-maklumat terkini serta menyampaikan berita-berita semasa.
"Sekurang-kurangnya melalui Asyik FM saya dapat memulakan apa yang dicita-citakan selama ini," tambahnya lagi.
Katanya lagi, biarpun kerjayanya menyebabkan dia 'terkurung' seharian di konti, namun ada ketikanya dia juga 'turun padang' bersama-sama menjayakan pelbagai program yang melibatkan masyarakat Orang Asli.
Di sinilah dia berpeluang berjumpa dan beramah mesra dengan pelbagai suku kaum Orang Asli dan peluang tersebut tidak pernah dipersiakan begitu sahaja.
Ternyata apa yang dicita-citakan Zu amat tinggi dan sehingga kini dia masih lagi berfikir bagaimana hendak membantu masyarakatnya menikmati kehidupan yang lebih moden.
Mengulas lanjut mengenai kekeliruan masyarakat yang sering menganggapnya sebagai seorang Islam, Zu memberitahu dia sudah lali dengan situasi tersebut.
"Perkara ini boleh dikatakan selalu terjadi yang mana mereka sering memberi salam kepada saya tetapi saya tidak pernah marah malah memberitahu mereka bahawa saya bukanlah orang Islam seperti yang disangkakan.
"Malah ketika bulan puasa saya sering menjadi sasaran mereka yang berpuasa kerana mereka ingat saya tidak berpuasa tetapi saya masih menghormati orang Islam dengan tidak makan di khalayak ramai.
"Begitupun, sebenarnya saya gembira dengan apa yang dilalui malah akan meneruskan cita-cita untuk 'memodenkan' pemikiran masyarakat Orang Asli agar tidak terus ketinggalan," katanya sebelum menutup bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: