Thursday, October 25, 2012

Idea pereka muda

LIMA pereka muda berbakat (dari kiri) Jason Yek, Pearly Wong, Zakwan Anuar, Yasmin Ramli dan Yiing yang menunjukkan rekaan fesyen masing-masing di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
TERDIRI daripada Jason Yek, Pearly Wong, Yasmin Ramli, Zakwan Anuar dan Yiing, ini sekali gus menambahkan lagi kekuatan bagi menyemarakkan dunia fesyen tanah air.
Mereka merupakan antara pereka muda yang semakin meningkat naik dewasa ini.
Baru-baru ini, hasil kreativiti anak-anak muda ini telah dipamerkan dalam satu pertunjukan fesyen yang diadakan di Seethrough Concept Store, Bangsar, Kuala Lumpur.
Bukan sahaja menyajikan koleksi-koleksi yang ideal buat golongan muda malah turut menyediakan seleksi busana kasual dan dres yang dimodenkan mengikut peredaran zaman.
Tidak terlalu bermain dengan warna, koleksi daripada pereka-pereka muda ini dilihat mampu memenuhi cita rasa si pemakai bahkan rekaan yang digarap daripada idea masing-masing mampu menampilkan busana yang cukup elegan dan moden.
Sudah pasti setiap rekaan mempunyai sentuhan yang istimewa dan kreatif, secara tidak langsung menunjukkan identiti masing-masing.
Menampilkan busana yang mampu menceriakan hari-hari anda, mereka juga dilihat sepakat menggunakan fabrik polos dengan warna-warna asas seperti hitam dan putih.
Begitupun pemilihan warna seperti merah, coklat dan juga merah pulasan tidak ketinggalan untuk menaikkan lagi seri rekaan yang dihasilkan.
Koleksi yang mempesonakan ini boleh digayakan dalam apa jua majlis dan juga sesuai digayakan oleh anak-anak muda.
Jason Yek, seorang anak muda yang tidak lagi perlu diperkenalkan dalam industri fesyen tanah air kerana individu ini sememangnya cukup terkenal di kalangan pencinta-pencinta fesyen hari ini.
Cukup sinonim dengan pakaian pengantin dan juga gaun petang, Jason telah dilatih oleh ibu tersayang yang juga merupakan seorang tukang jahit.
Setiap rekaan yang dihasilkan Jason pastinya memikat sesiapa sahaja malah rekaan-rekaanya cukup feminin, kontemporari dan elegan.
Pearly Wong, satu lagi nama yang tidak asing dan sering menghasilkan rekaan yang boleh digayakan baik lelaki mahupun wanita.
Sememangnya sukakan sesuatu yang cantik dan kelihatan cantik apabila digayakan, kesemua rekaannya dilihat boleh digayakan ke mana jua kerana rekaannya dilihat cukup moden dan terkini.
Bagi Yasmin Ramli pula, rekaan yang ditampilkan kali ini bertemakan 'When Our Eyes Met'.
Mengetengahkan warna-warna gelap, konsep yang diketengahkan kali ini lebih dipengaruhi gaya punk.
Begitupun, rekaan Yasmin dilihat ringkas, moden dan menawan bagi sesiapa sahaja yang menggayakannya.
Cukup terkenal dengan penghasilan fesyen yang ringkas, moden dan elegan, Zakwan Anuar merupakan antara pereka muda tempatan yang namanya semakin meningkat.
Mengilhamkan rekaannya melalui kecantikan yang diwarisi setiap wanita, Zakwan dilihat begitu teruja untuk menjadikan si pemakai kelihatan begitu bergaya dan canggih.
Yang pasti, rekaan yang dihasilkan Zakwan adalah rekaan yang segar dan menarik untuk digayakan setiap masa.
Yiing merupakan seorang pereka yang dikesan bakatnya melalui persembahan Konvokesyen Raffles pada tahun 2009.
Sememangnya kaya dengan idea-idea segar dan terkini, Yiing cukup terkenal dengan rekaan yang menampilkan kemahiran serta teknik menganyam.
Hari ini sebaris dengan pereka-pereka muda tanah air, Yiing dilihat mampu pergi jauh dengan rekaan yang dihasilnya dan yang terbaharu Yiing tampil dengan rekaan yang diolah bersama potongan kelelakian ke dalam reka bentuk feminin.
Sudah pasti rekaan Yiing ini kelihatan anggun apabila digayakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: