Thursday, October 25, 2012

Tarikan industri spa

MASYARAKAT sudah biasa dengan perkataan 'spa' tetapi masih ramai juga yang sebenarnya tidak begitu faham dan mengetahui apakah maksud sebenar di sebalik sebutan itu.
Spa atau 'Solus Per Aqua' (bahasa Latin) sebenarnya bermaksud terapi menggunakan air.
Rawatan spa adalah sesuatu yang unik dan eksklusif yang mana ia berkonsep 'penyembuhan dengan air' iaitu satu kaedah perawatan yang diperkenalkan sejak berkurun-kurun dahulu.
Ketika itu air dari kolam air panas semula jadi digunakan bagi penyembuhan luka dan meningkatkan kesihatan badan.
Masyarakat umum di Malaysia semakin menyedari pentingnya aspek 'hidroterapi' atau penyembuhan menggunakan air dalam meningkatkan tahap kesihatan.
Kini masyarakat mula menjadikan spa sebagai satu daripada tempat kunjungan utama bagi rawatan kesihatan.
Jika melancong ke Thailand mahupun Indonesia, pasti tidak akan melepaskan peluang mencuba sendiri rawatan dan urutan badan di spa-spa di sana.
Bagaikan pelengkap percutian, ia terapi yang sukar dilepaskan bagi menghilangkan lenguh-lenguh badan setelah puas berjalan atau membeli-belah.
Tarikan industri spa di Indonesia dan Thailand telah merancakkan industri pelancongannya dengan membantu menjana ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada ribuan penduduk.
Kesan industri itu juga mengangkat nama urutan Thai dan Bali yang cukup terkenal dalam kalangan pelancong asing.
Begitu juga dengan industri spa di Malaysia. Seperti di negara lain, pelancongan adalah penyumbang penting kepada ekonomi dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan memperluaskan jaringan perniagaan.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen telah menyatakan keyakinan beliau tentang industri spa negara akan menjadi daya tarikan utama pelancong serta mereka yang inginkan perkhidmatan spa berkualiti tinggi dan berpatutan.
Katanya, menyedari potensi besar industri itu, Kementerian Pelancongan turut menganjurkan Program Latihan Terapi Spa bagi membangunkan kemahiran juruterapi spa tempatan di samping mengatasi masalah kekurangan pekerja.
Menurut Yen Yen, program latihan tersebut diharap dapat mengurangkan kebergantungan terhadap juruterapi spa asing di mana daripada 1,650 jawatan terapi spa, hanya 1,300 dapat diisi.
Daripada jumlah itu 40 peratus atau 520 juruterapi spa terdiri daripada warga tempatan.
Sehingga Mei 2012 sebanyak 147 premis spa sudah dikelaskan dan daripada jumlah itu, 101 premis sudah diberikan penarafan tiga hingga lima bintang oleh kementerian.
Peningkatan
Menurut Penolong Setiausaha 2, Bahagian Pembangunan Industri, Kementerian Pelancongan Malaysia, Nadia Monira Mohamed Taib, peningkatan perniagaan rawatan spa yang begitu memberangsangkan sejak kebelakangan ini dikatakan mampu memberi pulangan pendapatan lumayan kepada negara melalui pakej pelancongan kesihatan.
Malaysia juga mempunyai potensi menjadi destinasi pelancongan kesihatan yang kompetitif.
Jumlah kedatangan pelancong dari Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura untuk rawatan spa di Malaysia pada tahun 2000 adalah sebanyak 175,000 orang, iaitu meningkat sebanyak 127 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut laporan berita, industri spa di Malaysia dijangka menyumbang RM666.2 juta kepada pendapatan tahunan negara selain mewujudkan kira-kira 6,000 peluang pekerjaan bagi pengamal terapi spa menjelang 2020.
Bagaimanapun persepsi negatif terutama dalam kalangan masyarakat Melayu terhadap kerjaya terapi spa menyebabkan industri spa di Malaysia lambat berkembang berbanding perkembangan industri tersebut di negara jiran seperti di Indonesia dan Thailand.
Menurut Penolong Setiausaha 2, Bahagian Pembangunan Industri, Kementerian Pelancongan Malaysia, Nadia Monira Mohamed Taib, sehingga kini Malaysia memerlukan 1,650 pengamal terapi spa tetapi hanya dapat diisi sebanyak 1,300 jawatan.
Malahan 60 peratus daripada pengamal terapi spa ini adalah warga asing.
Kerjaya
Menurut Nadia Monira, pihak kementerian mahu mengubah persepsi kerjaya juruterapi spa sebagai satu bidang profesional seperti mana penerimaan masyarakat dalam bidang kerjaya penjagaan kesihatan dan perubatan seperti jururawat.
"Bidang terapi spa ini juga sama seperti bidang jururawat, di mana mampu memberi rawatan kepada mereka yang memerlukan serta membantu memberi ketenangan minda dan menghilangkan tekanan.
"Persepsi negatif timbul dan berlegar apabila juruterapi spa perlu memberi rawatan kepada mereka yang berlainan jantina.
"Namun jika melihat kerja itu sebagai satu bidang profesional untuk memberi rawatan sepertimana yang dilakukan oleh seorang jururawat yang perlu merawat pesakit tanpa mengira jantina, persepsi itu akan berubah," jelas beliau.
Beliau sendiri pernah berhadapan dengan situasi ibu bapa yang datang 'menyerang' ke pusat latihan kerana tidak bersetuju dengan tindakan anaknya yang hadir untuk mengikuti program yang dijalankan.
Namun setelah dibawa melihat sendiri keadaan perjalanan kursus serta dijelaskan tugas dan peranan sebagai juruterapi spa, akhirnya mereka bersetuju.
"Ia memerlukan masa untuk memperjelaskan kepada masyarakat bagi menghilangkan persepsi negatif tersebut dan dalam masa yang sama kementerian meneruskan usaha secara serius bagi mengangkat industri spa ke tahap yang profesional," katanya.
Cara memohon
Tidak memerlukan sebarang kelulusan akademik, hanya dengan sedikit perwatakan dan penampilan yang bersesuaian, mereka yang berkelayakan terutama datang dari keluarga berpendapatan rendah di bawah RM3,000 sebulan layak memohon.
Ia terbuka kepada mereka yang berminat, berumur 18 hingga 40 tahun, lulus pemeriksaan kesihatan serta sanggup menandatangani perjanjian untuk bekerja selama dua tahun dengan bakal majikan.
"Mereka layak mendapat biasiswa penuh kerajaan yang membayar segala yuran dan pembiayaan sebanyak RM7,000 sepanjang kursus tersebut yang merangkumi yuran pembelajaran, pemeriksaan kesihatan, makan minum, penginapan dan pengangkutan," katanya.
Kementerian Pelancongan juga menyediakan biasiswa separuh kerajaan yang terbuka kepada mereka yang mempunyai pendapatan lebih RM3,000 sebulan yang mana kerajaan menyediakan RM4,000 manakala RM2,500 dibayar oleh bakal majikan yang memerlukan khidmat mereka.
Pelatih hanya perlu membayar RM500 sebagai yuran komitmen untuk mengikuti kursus tersebut.
Sama seperti syarat mereka yang mendapat biasiswa penuh, pelatih juga perlu menandatangani kontrak dengan bakal majikan selama dua tahun.
Sementara itu, bagi mereka yang tidak mahu menandatangani kontrak kerja dan hanya memerlukan sijil sebagai juruterapi spa, boleh membayar sendiri yuran kursus sebanyak RM7,000.
"Mereka yang membayar sendiri tidak dikenakan sebarang syarat kontrak pekerjaan. Hanya perlu berumur 18 tahun dan lulus pemeriksaan kesihatan," katanya.
Menurut Nadia, prospek sebagai juruterapi tidak hanya terhenti di situ sahaja, sebaliknya mereka boleh memajukan diri dengan mengikuti kursus lanjutan untuk menjadi juruterapi senior, penyelia spa, pengurus spa, pengarah spa serta pemilik spa.
Mereka yang berminat boleh memohon dengan mengisi borang di laman web www.motour.gov.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: