Thursday, October 11, 2012

Usaha Nokia kembalikan kegemilangan



LUMIA 920 diperkenalkan Nokia untuk menyaingi fungsi telefon pintar lain yang terdapat di pasaran.



NOKIA merupakan sebuah nama yang begitu sinonim dalam industri telekomunikasi bergerak. Mula menempa nama sekitar tahun 90-an, ia merupakan antara jenama telefon bimbit terawal yang dipasarkan di Malaysia selain Motorola dan Ericsson.
Nokia sebenarnya telah bertapak di Malaysia seawal tahun 80-an menerusi jenama Nokia-Mobira, hasil gabungan syarikat Nokia dan Salora OY, tetapi kemudiannya menukar nama kepada Nokia.
Penghujung tahun 90-an memperlihatkan Nokia memenangi hati pengguna telefon bimbit bukan sahaja di negara ini malah di segenap pelosok dunia.
Pelbagai model diperkenalkan dan antara yang berjaya meraih populariti ialah Nokia 3310, antara model pertama bersaiz kecil dan boleh dimuatkan dengan selesa di dalam poket seluar.
Inovasi yang berterusan menjadi teras kejayaan syarikat yang berpengkalan di Finland ini untuk terus kekal sebagai pengeluar telefon bimbit nombor satu di dunia.
Begitupun, menjelang tahun 2005, penggunaan telefon bimbit telah memperlihatkan perubahan ketara. Daripada sekadar sebuah peranti untuk membuat panggilan telefon dan menghantar teks khidmat pesanan ringkas (SMS), pengguna mula diperkenalkan dengan istilah smartphone atau telefon pintar yang menggabungkan fungsi organizer elektronik dan telefon.
Evolusi internet juga menjadi pemangkin kepada perkembangan telefon bimbit yang dapat dilihat pada hari ini. Pelbagai jenama baharu juga muncul secara tiba-tiba seperti O2, HTC, Samsung dan iPhone yang merupakan antara ‘muka baharu’ di dalam industri. Ia secara tidak langsung merampas kejayaan Nokia yang selama ini mendominasi pasaran telefon bimbit.
Jalur lebar
Pengenalan kepada capaian internet jalur lebar tanpa wayar seperti HSDPA (High-Speed Downlink Packet Access) dan yang terkini LTE (Long Term Evolution) membolehkan pengguna telefon mengakses aplikasi web yang dahulunya mustahil untuk dilakukan dengan pantas.
Keupayaan sistem operasi seperti Android, Windows Mobile dan iOS untuk mengadaptasi teknologi ini membolehkan pengguna mengakses pelbagai aplikasi rangkaian media sosial seperti Facebook dan Twitter hampir di mana-mana sahaja.

NOKIA masih belum mengaku kalah dalam persaingan pasaran konsumer.


Urusan perbankan elektronik juga menjadi lebih mudah kerana pelanggan tidak perlu ke bank atau ke mesin ATM untuk melakukan pelbagai jenis transaksi.
Nokia yang selama ini bertahan dengan sistem operasi milik mereka, Symbian, akhirnya terpaksa akur dengan kenyataan bahawa teknologi bukanlah sesuatu yang kekal, sebaliknya ia bersifat dinamik. Sebaik mana sekalipun sesuatu teknologi itu, ia perlu sentiasa diperbaiki atau diubah selari dengan permintaan pasaran.
Kini, Nokia kembali dengan Lumia 920 yang diharapkan dapat mengembalikan kegemilangan mereka. Menggunakan platform Windows 8 sebagai sistem operasi, telefon ini digerakkan oleh unit pemproses Snapdragon S4 dwiteras dengan kelajuan 1.5GHz bagi melancarkan lagi ciri pelbagai tugasan (multi-tasking).
Ciri-ciri standard yang terdapat pada kebanyakan telefon pintar hari ini juga terdapat pada Lumia 920. Nokia juga mengambil langkah bijak dengan memperkenalkan ciri NFC atau Near Field Communication yang boleh diaplikasikan untuk membuat pembayaran tanpa wang tunai.
Ia turut mengadaptasi teknologi jalur lebar LTE yang membolehkan ia mencapai rangkaian tanpa wayar yang saban hari memperlihatkan peningkatan kelajuannya.
Ciri kamera
Satu lagi ciri signifikan Lumia 920 ialah kameranya yang mempunyai 8.7 megapiksel dengan teknologi PureView. Teknologi ini menggandingkan Penstabil Imej Optikal dengan lensa Carl Zeiss yang mampu menghasilkan gambar dan video yang lebih terperinci, tidak kabur dan lebih terang walaupun di dalam persekitaran malap.
Kamera yang canggih tidak akan bermakna tanpa paparan yang menarik. Lantaran itu, telefon ini turut dilengkapkan dengan skrin PureMotion HD+ berukuran 4.5-inci yang bukan sahaja lebih terang berbanding model-model terdahulu, tetapi juga dinobatkan sebagai skrin yang mempunyai kadar responsif yang paling tinggi dan skrin sesentuh yang paling sensitif.
Dengan masa bercakap sehingga 10 jam dan 400 jam siap sedia, Lumia 920 tentunya dapat memberikan persaingan kepada iPhone 5 yang menawarkan waktu bercakap sekitar 8 jam sahaja.
Begitupun, ia perlu meningkatkan prestasi baterinya sekiranya ingin bersaing dengan Samsung Galaxy S3 yang menawarkan masa bercakap yang lebih lama.
Walau apapun, hanya pengguna yang dapat menilai kesemua ciri-ciri yang terdapat pada Lumia.
Persoalan sama ada Nokia dapat merampas kembali kedudukan teratas di dalam segmen telefon bimbit hanya dapat dijawab oleh pengguna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: