MAKIN POPULAR...Randy kembali mendampingi Elfira menerusi Dalam Hati Ada Taman yang bakal ditayangkan di Astro Ria.
Bintang muda yang kian menyerlah kelahiran negara jiran, Randy Dionisius Pangalila mengakui, sebelum mengenal erti lakonan, dia sendiri pernah ditempelak dengan dakwaan lakonannya seperti kayu.
“Saya mulai berlakon ketika berusia 15 tahun dan hakikatnya saya tidak pernah impikan kerjaya ini kerana cita-cita saya mahu menjadi petugas marin atau atlet dalam seni mempertahankan diri taekwando (memiliki tali pinggang hitam) kerana mahu mengharumkan nama Indonesia.
“Bagaimanapun, takdir menemukan saya dengan Pak Teddy yang bertindak sebagai pengurus saya selama lima tahun sebelum meninggal dunia pada November tahun lalu. Beliaulah orang yang bertanggungjawab mengajak saya ke Jakarta dan memperkenalkan saya kepada industri hiburan.
“Siri pertama saya bintangi tidak begitu ‘boom’ mungkin kerana harus diterima hakikatnya, barisan pelakon termasuk saya semuanya wajah baru dan episod itu berakhir sampai empat episod saja. Selepas itu, saya ada terima watak pembantu yang kebanyakannya watak antagonis.
“Pada usia 16 tahun saya ditawarkan membintangi telefilem Gue Banget sebagai peranan utama. Sampai bilapun saya tidak mungkin lupa nama pengarahnya, Putri Rindung Bulan kerana hampir setiap hari saya diherdik dengan bahasa kesat di depan pelakon tambahan. Ketika itu saya tidak pandai berlakon dan tidak tahu pergerakan kamera.
“Hinggakan pernah saya merasakan saat ke set itu seperti berada di neraka.
Sepuluh hari bagaikan dua tahun penyeksaan. Namun, dua hari terakhir penggambaran, dia memanggil saya. Sangkaan saya, pasti kena marah lagi rupa-rupanya tidak. Dia kata kepada saya, ‘inilah baru dipanggil acting’.
“Namun, selepas itu saya dimarahi lagi tetapi saya tidak apa-apa kerana akhirnya saya terima pujian daripadanya. Bagaimanapun, sehingga kini kami masih bersahabat dan ketika kerja kami bersikap profesional,” katanya.
Daripada pelakon kayu, pemuda bakal meraikan ulang tahun ke-22 pada 19 Oktober itu, tiba-tiba menggegar persada lakonan dan menjadi kegilaan anak gadis apabila membintangi Cinta Fitri juga drama bersiri paling panjang pernah dijayakannya dengan tempoh penggambaran selama lima tahun.
Bagaimanapun di Malaysia, pemuda berdarah kacukan Belanda, Menado dan Jawa itu mula dikenali menerusi lakonan sebagai Galang dalam Cinta Kirana bersama Nia Ramadhani. Selepas itu, Cinta Melody sebagai Elang bersama Chelsea Olivia dan semakin popular menerusi sinetron Nada Cinta sebagai Ricky bersama Mikha Tembayong, Luna Maya dan Dewi Sandra.
Populariti dimiliki Randy membuka peluang buatnya berkarya di Malaysia apabila bertemu Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli di Jakarta, dua tahun lalu sewaktu mengadakan promo untuk Astro. Raqim juga individu yang memperkenalkannya kepada pengarah, Michael Ang.
“Raqim ingin mengadakan satu projek untuk mencari kelainan khusus buat tontonan pelanggan Astro dan Michael dipertanggungjawab merealisasikan hal itu.
Michael menghubungi pengurus saya, Pak Teddy dan kala itu saya sedang sibuk penggambaran Cinta Kirana.
“Tidak lama kemudian pengurus saya memaklumkan saya cuma punya cuti seminggu jadi mahu ‘shooting’ atau tidak. Lantas Michael terus bersetuju. Bekerja dengan Michael memang menyeronokkan kerana saya tidak pernah ketemu pengarah yang gila seperti dia. Kebanyakan pengarah drama atau filem di negara saya berperwatakan serius,” katanya yang suka menghabiskan masa di rumah sambil mencipta lagu.
Suasana penuh tawa dan keserasian bekerja di bawah arahan Michael antara sebab mengapa dia kembali beraksi dalam produksi, Cube Film Sdn Bhd milik pengarah itu untuk naskhah terbaru, Dalam Hati Ada Taman selepas membintangi Mimpi Sampai Ke Bintang.
Jujur pengakuannya terharu apabila dimaklumkan Mimpi Sampai Ke Bintang mencatat rating penonton paling tinggi dalam sejarah penyiaran drama siaran Astro dengan jumlah melebihi satu juta penonton.
Berbeza dengan drama pertamanya di Malaysia, Dalam Hati Ada Taman bukan saja kembali menggandingkannya dengan pelakon cantik, Elfira Loy tetapi juga dua lagu hasil ciptaan pemegang ijazah jurusan muzik dari Kolej MusikPlus, Indonesia itu digunakan sebagai runut bunyi drama itu.
“Tidak seperti pertama kali bertemu, Elfira agak malu-malu dan saya yang sering mulakan perbualan. Mungkin babak pertama kami jayakan adalah babak romantis.
Tapi sekarang apabila sudah kenal, dia asyik buli saya saja. Senang kerja sama Elfira kerana kita pernah berlakon sama dalam Mimpi Sampai Ke Bintang.
“Justeru, penyatuan kali kedua ini lebih mudah ekoran keserasian yang terbina dulu. Kita tidak perlu bergantung pada skrip dan penyampaian juga lebih bersahaja. Elfira adalah teman rapat saya di sini. Dia seorang yang berbakat, sahabat dan pendengar yang baik.
“Seronoknya bekerja dengan Elfira kerana dia membuatkan saya kelihatan lebih tinggi walaupun saya sebenarnya bertubuh kecil.
“Sekadar memperdengarkan kepada Michael koleksi lagu ciptaan saya masa ‘shooting’ yang pertama dulu, tanpa disangka dia menyukai lagu Selalu Milikmu.
Gara-gara lagu itu juga, Michael hadir dengan idea untuk menghasilkan drama Dalam Hati Ada Taman,” katanya yang menyanyikan lagu itu secara duet bersama Marsha Milan Londoh.
Mengulas wataknya menerusi drama bersiri 13 episod yang bakal bersiaran mulai 29 Oktober di Astro Ria, dia memegang watak menggunakan namanya sendiri iaitu Randy. Randy adalah anak orang kaya yang melarikan diri ke Paris dan bekerja di kedai roti tempat Bella (Elfira) bekerja.
Dia menyukai Bella namun Bella pula sebaliknya. Sehingga satu hari, ibu Bella merancang untuk menjodohkannya dengan Danial. Bella yang belum bersedia meminta bantuan Randy untuk mengaku sebagai tunangannya.
“Akhirnya Bella jatuh cinta kepada kedua-duanya. Saat dia harus membuat pilihan dan menyedari lebih mencintai Randy, lelaki itu hilang secara tiba-tiba,” katanya ditemui pada majlis pelancaran drama itu di Amp Walk, Ampang, Kuala Lumpur.
Satu pengalaman indah dapat menjalani penggambaran di kota Paris selama hampir dua minggu, namun dia berdepan dengan situasi cemas ketika di Dubai gara-gara masalah visa.
Bakal muncul dengan dua filem bersama Michael iaitu KL Meroyan dan Darah Daging, Randy akan mempamerkan kepakarannya dalam seni mempertahankan diri.
“Bilang orang sini, wajah saya ‘jambu’ dan kerana faktor itu juga saya sukar dapat watak yang saya inginkan sekalipun sekadar mahu menjadi rockers. Uji bakat untuk karakter sebegitu yang saya sertai sering gagal. Kata produser dan pengarah mukanya tidak sesuai.
“Berbeza di sini, Michael mahu berikan saya peluang dan ia sememangnya saat yang amat saya nanti-nantikan,” kata kekasih kepada pelakon remaja, Michella Putri, juga pelakon siri Nada Cinta.
Memandangkan dirinya diterima baik di negara ini, apakah Randy merancang untuk menimba pengalaman bekerja dengan produksi tempatan lain, nyata tawaran itu ada namun kesibukan yang membataskan dirinya.
“Penggambaran di Indonesia mengambil masa yang panjang lebih-lebih lagi drama bersiri. Pihak stesen televisyen akan melihat sejauh mana penerimaan penonton dan jika ia bagus, siri itu akan dipanjangkan episodnya sehingga mengambil bertahun-tahun tempoh penggambaran.
“Pokoknya, siapa yang mahu menawarkan saya harus berurusan dengan Michael,” seloroh pemuda yang sedang terikat dengan penggambaran drama bersiri, Raja & Aku sesudah membintangi drama Si Miskin Si Kaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: