Thursday, October 11, 2012

Penyelesaian jimat ruang dan kos



BERTUGAS sebagai jururawat di sebuah klinik swasta di Ipoh, Perak memerlukan Nurul Hanis Sasakina Mastor menjadi serba boleh. Bukan sahaja wajib mengenali setiap jenis ubat-ubatan tetapi perlu menguruskan akaun klinik.
Wanita berusia 23 tahun itu harus menjadi versatil dan sentiasa terbuka dengan perkembangan teknologi. Begitulah juga resam yang perlu ditempuh oleh semua graduan baharu di Malaysia dalam dunia kerjaya.
Selain kerap menggunakan komputer untuk urusan kerja, dia juga memiliki akaun laman sosial Facebook sejak ia mula diperkenalkan di Malaysia kira-kira tujuh tahun lalu.
Segala data mengenai dirinya yang diisi dalam rangkaian sosial itu seperti nama, umur, alamat e-mel dan kronologi hidup adalah benar belaka manakala foto-foto yang dimuat naik diberi tetapan tahap privasi.
Selain itu, segala dokumen berkaitan dengan dirinya seperti resume pula disimpan dalam akaun mel Google kerana dakwanya, Gmail merupakan e-mel yang lebih selamat dan berkapasiti besar.
Memandangkan kini internet boleh dicapai setiap masa melalui telefon pintar, maka langkah menyimpan dalam mel elektronik dilihat sebagai cara terbaik. Begitupun, kegusaran tetap dirasai terutamanya apabila menerima e-mel yang mengandungi pautan laman web dihantar kepadanya.
Baginya, semuanya adalah pautan virus yang boleh menyebabkan aktiviti phishing walaupun ia barangkali ialah pautan untuk pengiriman fail menggunakan teknologi perkomputeran awan.
Tambah Nurul, bagi mereka yang mempunyai pengetahuan mengenai alamat itu mungkin memahami maksudnya, tetapi baginya, adalah lebih baik untuk tidak menekan klik pada sebarang pautan yang dihantar.
“Saya pernah dengar mengenai perkomputeran awan tetapi tidak pernah menggunakannya,” ujar Nurul ringkas apabila persoalan berkaitan teknologi itu dilontarkan kepadanya.
Muat naik
Sebenarnya, apabila Nurul dan pengguna-pengguna lain Facebook, kecuali 83 juta akaun yang disahkan palsu, memuat naik segala data persendirian ke dalam akaun Facebook atau e-mel, mereka sedang menggunakan teknologi perkomputeran awan.

PERKOMPUTERAN awan masih lagi mempunyai mesin dalam bentuk fizikal. - Gambar hiasan


Teknologi perkomputeran awan sudah lama wujud. Secara falsafah, ia berfungsi sama seperti perkhidmatan bekalan air dan elektrik yang disalurkan ke setiap rumah.
Perkomputeran awan juga membolehkan seorang pemilik syarikat memiliki laman web, sistem operasi pejabat tanpa perlu membeli dan membina perkakasan komputer yang mahal di lokasi masing-masing. Sebaliknya, data-data disimpan di tempat lain.
Keperluan teknologi itu ialah mesin yang bertindak sebagai pusat data dan perisian maya. Perisian tersebut yang membolehkan keperluan penyimpanan data pada perkakas diubah berdasarkan kepada keperluan pelanggan.
Terdapat banyak jenis perkhidmatan perkomputeran awam yang ada seperti infrastruktur, perisian, platform, penyimpanan dan banyak lagi.
Laman sosial seperti Facebook, iCloud, Google Apps merupakan perkomputeran awan perisian manakala perkhidmatan pengehosan web seperti MediaFire, Dropbox dan RapidShare termasuk dalam jenis penyimpanan.
Bagi perkomputeran awan infrastruktur pula, ia boleh bertindak sebagai pelayan, penyimpanan berkapasiti, rangkaian dan lain-lain.
Dilema syarikat
Dahulu, kaedah konvensional yang sering dilakukan oleh syarikat-syarikat perusahaan awam (enterprise) ialah membeli perkakasan unit pemprosesan pusat (CPU) yang mempunyai kapasiti tetap dan diletakkan di pejabat.
“Mesin yang dibeli tidak semestinya digunakan pada tahap yang optimum, lebihan kapasiti merupakan suatu pembaziran.
“Dalam tempoh lebih kurang dua tahun, perkakasan tersebut sudah mencapai tahap antara 80 hingga 90 peratus penggunaan menyebabkan sistem menjadi perlahan. Ini membuatkan pemilik syarikat perlu membeli tambahan unit,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Skali Group, Tengku Farith Rithauddeen, 41, ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur.
Tambah beliau, pengulangan pembelian perkakasan unit memori menjadikan pembaziran kapasiti berulang.
Skali Group melalui anak syarikatnya, Skalicloud, merupakan perintis perkhidmatan perkomputeran awan di Malaysia pada awal tahun 2011 dan bidang itu telah berkembang dengan pertumbuhan sebanyak 70 peratus.
Kejayaan itu dilakar walaupun syarikat penasihat dan penyelidikan teknologi maklumat dunia, Gartner Inc., meramalkan industri itu akan berkembang sebanyak 30 peratus sahaja.

RUANG pejabat kini boleh digunakan secara optimum melalui penggunaan teknologi perkomputeran awan. - Gambar hiasan


Seiring perkembangan tersebut, Skalicloud akan menerobos pasaran teknologi maklumat Asia Tenggara dengan membuka pusat data di Indonesia pada bulan Oktober 2012 dan Thailand yang dijangka dibuka pada akhir tahun ini.
Elak kesesakan
Dengan perkomputeran awan, pengguna hanya perlu membayar bilangan dan jumlah masa mengikut kapasiti yang diperlukan.
Tengku Farith memberi contoh, laman web dan sistem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) paling sibuk dikunjungi dan digunakan oleh orang ramai antara bulan Mac atau April setiap tahun.
Bagi mengelakkan kesesakan pengguna dalam laman web, pemilik boleh menambah jumlah kapasiti pada sistem mereka dan kembali ke kapasiti asal selepas tempoh pengisytiharan cukai berakhir.
“Pengguna hanya perlu membayar jumlah yang digunakan sama seperti perkhidmatan bekalan air dan elektrik,” ulas Tengku Farith ringkas.
Skalicloud menawarkan perkhidmatan awan awam pada peringkat permulaan dan kini ia memperkenalkan perkhidmatan perkomputeran awan persendirian dan hibrid (gabungan awam dan persendirian) secara beransur-ansur.
Selari dengan perkembangan dan permintaan semasa, Skalicloud juga memiliki kepakaran dalam membentuk infrastruktur perkomputeran awan.
Antara ciri-ciri perkomputeran awan ialah ia dapat menjimatkan kos operasi dan memastikan perkakasan tidak menjadi lapuk.
Biasanya, peralatan akan digunakan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun. Berbanding perkhidmatan lain yang banyak menggunakan kaedah pakej yang sudah menetapkan kapasiti, Skalicloud merupakan perkomputeran awan yang paling elastik mengikut kapasiti penggunaan para pelanggannya.
Dari segi tenaga kerja, ia menjimatkan masa dan ruang kerana perkomputeran awan tidak memerlukan pekerja untuk menjaga perkakasan komputer setiap masa dan tidak perlu pemasangan bilik komputer pelayan di pejabat.
Tetapan keperluan perkomputeran awan boleh diatur mengikut kehendak pelanggan. Di Skalicloud, rekod paling pantas pernah dicatatkan untuk perkhidmatan itu adalah dalam beberapa saat.
Sama seperti fleksibiliti pada penggunaan kapasiti, caj yang dikenakan Skalicloud juga mengikut kuantiti yang digunakan iaitu serendah RM0.27 sejam.
Infrastruktur
Pusat Data terbaharu Skalicloud yang berkeluasan 69,000 kilometer persegi dan mempunyai 24,000 rak terletak di Cyberjaya. Beroperasi 24 jam, suhu di pusat itu dikawal supaya kekal pada bacaan 20 darjah Celsius.
“Infrastruktur di Cyberjaya turut dilengkapi janakuasa dan internet jalur lebar berkelajuan tinggi.
Sebagai keselamatan, sistem akan terhenti sendiri apabila suhu mencapai 60 darjah Celsius,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd. Fazly Mohd. Yin, 39, kepada Kosmo!.
Data-data yang disimpan di Skalicloud berada pada tahap keselamatan dan privasi terbaik. Sebagai langkah keselamatan, setiap data dilindungi oleh firewall pada perkakasan dan pengaturcaraan dalaman yang bertindak sebagai sistem penghindar pencerobohan.
Sebagai tambahan, data dan alamat Internet Protokol (IP) dilindungi lapisan keselamatan seterusnya iaitu firewall maya.
“Sistem keselamatan yang ada ini memastikan data berada dalam keselamatan pada tahap maksimum,” kata Mohd. Fazly yang telah 15 tahun berada dalam bidang teknologi maklumat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: