Saturday, October 13, 2012

Taska SSM jadi contoh

Zahrah Abd Wahab Fenner bersama sebahagian kanak-kanak yang dihantar ke taska Raihan SSM.
SEBAGAI langkah untuk menjamin kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak, langkah menubuhkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) di tempat kerja olah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merupakan contoh terbaik kepada syarikat-syarikat swasta yang lain.
Penubuhan taska dalam premis SSM itu dilihat membawa banyak kebaikan bukan saja kepada ibu bapa dan kanak-kanak terbabit bahkan kepada majikan .
Taska SSM mula beroperasi pada 25 Jun 2010 iaitu pada tahun yang sama perpindahan warga kerja SSM ke ibu pejabat baru iaitu di Menara SSM @Sentral, KL Sentral.
Taska ini ditempatkan di tingkat dua dan diberi nama Taska Raihana yang bermaksud bunga-bungaan syurga dan didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan SSM, Zahrah Abd Wahab Fenner berkata, Taska Raihana SSM mempunyai keluasan 214 meter persegi dan boleh menempatkan seramai 33 kanak-kanak dalam satu masa yang berumur di antara 2 bulan hingga 4 tahun.
"Taska ini dilengkapi pelbagai kemudahan untuk kegunaan kanak-kanak dalam rutin harian seperti tempat tidur, tempat menyusu, tempat bermain dan ruangan pembelajaran.
Dengan pelbagai kemudahan yang disedikan kanak-kanak di Taska Raihan SSM dapat bermain sambil belajar dengan selesa.
"Pada masa yang sama terdapat kemudahan lain seperti bilik mandi, dapur, dan tempat menunggu serta ruangan mendapat rawatan.
"Setiap sudut juga dipasang litar tertutup untuk memastikan keselamatan kanak-kanak. Ada lebih sembilan orang tenaga pengajar yang berpengalaman dan setiap daripada mereka akan menjaga sekurang-kurangnya tiga orang kanak-kanak," katanya.
Menariknya kata Zahrah, Taska Raihana SSM ini boleh dijadikan model kepada penubuhan taska-taska lain di tempat kerja.
"Kebiasaan taska berfungsi sebagai tempat untuk menjaga kanak-kanak sahaja. Bagaimanapun, taska SSM mengambil inisiatif menyediakan modul-modul pembelajaran seperti modul pembelajaran ABC, mengaji al-Quran dan sebagainya.
"Saya menyatakan sedemikian kerana melalui usahasama dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 28 Januari 2009, SSM telah menerbitkan sebuah buku panduan yang dikenali sebagai Best Business Practice Circular (BPPC) bertajuk Establishment of a Child Care Centre at the Work Place by Corporate and Business Employers iaitu garis panduan umum berhubung penubuhan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja," katanya.
Ujarnya, ini juga adalah satu tanggungjawab korporat yang dijalankan organisasi-organisasi berkenaan.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut Taska Raihana SSM secara tidak langsung boleh dijadikan sebagai ikutan kepada mana-mana organisasi lain di Malaysia yang membuka taska di tempat kerja.
Penjagaan untuk bayi seawal usia dua bulan turut disediakan.
"Objektif penubuhan taska ini adalah memudahkan pekerja apabila mereka menghantar anak-anak ke tempat jagaan kanak-kanak yang dekat dengan mereka.
"Pada masa yang sama dari segi bayaran yuran yang dikenakan amat murah kerana SSM menanggung separuh yuran biasa yang dikenakan. Yuran yang dikenakan adalah mengikut umur iaitu bagi bayi berusia 12 bulan ke bawah sebanyak RM 190, kanak-kanak berusia 2 hingga 3 tahun yurannya RM 170 dan kanak-kanak berusia 4 tahun dikenakan yuran RM 150," kata Zahrah.
Beliau berkata, SSM akan terus berusaha memastikan dari segi kemudahan akan terus dijaga dan sentiasa ditingkatkan kualitinya.
"Dari segi tenaga pengajar juga akan dipastikan terus mempunyai kualiti. Pada masa sama, semua tenaga pengajar dan pengasuh mempunyai kemahiran yang tersendiri dan mengikut kursus mengasuh kanak-kanak sekurang-kurangnya di peringkat diploma terutamanya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
"SSM juga bercadang untuk memperbesarkan ruang taska berkenaan bagi tujuan keselesaan kanak-kanak. Lagipun pada masa ini, ramai ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke taska tetapi terpaksa menunggu giliran.
"Apabila ruang taska berkenan telah diperluaskan kelak, diharap dapat menampung lebih ramai kanak-kanak," katanya.
Zahrah mengakui, walaupun dasar mewujudkan taska tempat kerja telah lama diuar-uarkan tapi sehingga sekarang masih gagal menarik minat majikan.
"Ini mungkin disebabkan pelbagai kekangan. Banyak aspek perlu dikenalpasti sebelum sesebuah taska dibina terutamanya dalam premis syarikat.
"Pemilihan ruang dan tempat yang sesuai, pembinaan memerlukan kos yang tinggi dan memerlukan syarikat menyediakan tenaga pengajar dan pengasuh yang berkelayakan adalah punca perkara ini dilihat masih kurang mendapat sambutan dari majikan," katanya.

1 comment:

  1. Taska Raihana dari segi memang kelengkapan terbaik, tapi servis dia agak teruk. Banyak komplen dari ibubapa sehingga ke pihak pengurusan tertinggi ssm tapi tiada sebarang perubahan.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: