Saturday, October 13, 2012

Bayi paling comel

Keletah Tan Ywi Zher memikat juri sehingga meraih gelaran Johnson Baby
Wajahnya saja sudah cukup membuatkan hati mereka yang memandang ‘cair’ apatah lagi apabila menyaksikan keletahnya yang riang dan bersahaja.
Kulit yang putih mulus, pipi yang gebu dan gaya rambut tersendiri menambah kecomelan pada Tan Ywi Zher sehingga melayakkannya dinobatkan sebagai bayi paling comel pada pertandingan Johnson Baby of the Year 2012 baru-baru ini.
Keletah bayi lelaki berusia 18 bulan milik pasangan suami isteri, Hoh Mui Keow, 36, dan Tan Kok Peng, 41, dari Johor Bharu ini, bukan setakat memikat barisan juri malah setiap tetamu yang berada di dalam dewan ketika itu.
Menurut Mui Keow, pada mulanya beliau dan suami agak risau kerana mereka tidak mengetahui perlu membawa alat mainan anak-anak di atas pentas.
“Ketika itu, suami saya kata biarkan saja apa yang bayi kami ingin lakukan di atas pentas memandangkan kami tidak membawa sebarang alat mainan.
“Memandangkan pihak penganjur telah menyediakan lagu untuk persembahan bayi, suami saya kata biarkan bayi kami membuat persembahan mengikut muzik tersebut memandangkan anak kami sangat gemarkan muzik," kata Mui Keow.
Ketika di atas pentas, bayi yang manja dipanggil Zher Zher oleh Mui Keow dan suami, telah membuatkan penonton tidak berganjak menyaksikan telatahnya.
Zher Zher yang pandai menari sambil mengikut alunan muzik tiba-tiba jatuh seolah-olah pengsan sambil tangan di atas kepala lalu bangun semula sambil melambai-lambai ke arah ibunya, juri dan penonton.
Kelurarga Tan Ywi Zher (tengah) diapit keluarga bayi Muhammad Haziq Muhd. Daniel (kanan) dan bayi Ellisya Sofea Faiz (kiri) setelah diumumkan sebagai pemenang utama dalam pertandingan Johnson Baby of The Year 2012 baru-baru ini.
“Kami tidak menyangka bayi kami lakukan sebegitu tetapi kami dah sedia maklum Zher Zher memang suka berlakon di depan kami," tambah beliau.
Beliau dan suami mempunyai perancangan tersendiri untuk masa depan anak mereka di mana mereka bakal menghantar anak mereka untuk mengikuti kelas lakonan pada usianya lima tahun nanti.
Mengenai perasaan yang begitu tidak menyangka untuk menang dalam pertandingan ini memandangkan mereka tidak membuat sebarang persediaan, Mui Keow begitu terkejut atas kemenangan itu memandangkan kesemua bayi yang menyertai adalah bayi yang bukan sahaja comel tetapi bijak dan lincah.
Tempat kedua bagi pertandingan Johnson Baby of The Year dimenangi oleh bayi Muhammad Haziq Muhd. Daniel dan tempat ketiga, Ellisya Sofea Faiz.
Juara memenangi hadiah RM20,000 tunai, hamper barangan Johnson & Johnson bernilai RM1,000, dan akan muncul sebagai muka hadapan bagi majalah ibu bapa. Tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai RM8,000 dan RM5,000 tunai serta hamper.
Pertandingan bayi comel anjuran Johnson & Johnson ini, bukan sahaja dinilai berdasarkan wajah bayi tetapi juga mengambil kira tahap kesihatan fizikal dan kecerdasan bayi tersebut.
Comel...Si ibu berusaha memujuk anak melakukan pelbagai aksi ketika di pentas.
Juri terdiri daripada tiga doktor pediatrik iaitu Dr. Mimita Adchalingam dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Pakar Perunding Pediatrik Klinik Kanak-kanak Pauline, Dr. Ong Poh Lan dan Dr. Anna Padmavathy dari Pusat Perubatan Prince Court.
Sementara itu Pengarah Kumpulan Komersial Bahagian Pengguna Johnson & Johnson Malaysia dan Singapura, Eunice Tan, berkata, pertandingan yang bermula pada Jun lalu mendapat penyertaan yang sangat menggalakkan.
Katanya, seramai 23 bayi comel seluruh negara telah terpilih dalam pusingan akhir bagi pemilihan Johnson Baby of The Year 2012.
“Pertandingan yang masuk kali ke 20 ini bertujuan meraikan ibu bapa yang menggunakan produk kami untuk bayi mereka.
“Produk kami yang begitu sinonim dengan produk penjagaan bayi yang menjadi pilihan ibu-ibu yang bukan sahaja merapatkan hubungan ibu dan bayi mereka malah juga sesuai untuk seisi keluarga," katanya.
Menurut Eunice lagi, pertandingan bagi kali ini mempunyai kelainan berbanding sebelum ini kerana kesemua bayi yang bertanding mendapat gelaran masing-masing dan membawa pulang hadiah.
Pertandingan yang dibuka untuk bayi sehingga usia 36 bulan itu, bukan sahaja mengambil kira kriteria persembahan yang menarik dan bayi yang comel, tetapi juga keadaan kesihatan dan kadar perkembangan minda bayi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: