Saturday, October 13, 2012

Magis keluarga Mahdi Moudini

ANAK lelaki Mahdi, Maddix menunjukkan minat yang sama terhadap silap mata seperti dirinya sewaktu kecil dulu.
SEWAKTU ahli silap mata terkenal, Mahdi Moudini menukar duit RM1 milik jurugambar Mingguan Malaysia, kepada AS$1 dengan beberapa lipatan, kami tergamam.
Tidak sangka kami tidak dapat menangkap muslihat lelaki kelahiran Iran itu walau berada dalam jarak tidak sampai semeter dan memerhatikan gerak-gerinya penuh hati-hati. Bagaikan dapat membaca apa yang bermain di dalam fikiran kami, Mahdi segera berkata, "tidak, saya tidak akan tukarkan wang RM100 kamu hari ini."
Jawapannya segera mengundang tawa. Ternyata perwatakan lelaki kelahiran Iran ini disenangi.
Terang Mahdi atau nama sebenarnya Mahdi Moammer, dia sudah biasa diminta berbuat sedemikian oleh penonton.
Malah ada juga meminta menghilangkan bos mereka selepas dia membuat silap mata menghilangkan sesuatu!
Sambil menunjukkan beberapa silap mata, dua orang anaknya, Marcheline, 3, dan Maddix, 2, turut mencuri perhatian dengan membuat silap mata.
Telatah anak Mahdi bersama isterinya, Michelle itu ternyata mengagumkan melihat kepada usia mereka yang masih kecil.
Jelas Mahdi, mereka berdua boleh dikatakan ahli silap mata termuda di Asia, malah berkemungkinan di dunia.
"Saya tidak pernah memaksa mereka mengikut jejak langkah saya, tetapi mereka berdua amat berminat terutamanya Maddix.
"Apabila saya pulang dari membuat persembahan, dia sering bertanya apa saya lakukan dan meminta menunjukkan kepadanya walau sudah lewat malam.
"Jadi, saya mula melatih mereka berdua sejak berusia satu setengah tahun dan merancang membawa kakaknya terlebih dahulu ke pentas magis tahun depan.
"Marcheline tidak kekok berdepan dengan orang ramai dan dia petah bercakap" ujarnya sambil dikelilingi oleh anak-anaknya.
Darah daging Menurut Mahdi, dia merupakan generasi ketiga di dalam keluarga yang mewarisi bakat melakukan silap mata.
Datuk dan bapanya merupakan ahli silap mata. Malah adik perempuannya juga kini semakin dikenali dan sekarang bakat itu turun kepada anak-anaknya pula.
Mula mendalami ilmu silap mata daripada bapa dan datuknya sewaktu berusia empat tahun, cerita Mahdi, dia masih teringat saat mengadakan persembahan silap mata berseorangan ketika berusia lima tahun di hadapan 200 orang penonton di tadikanya.
"Seperti anak-anak, saya berminat dengan silap mata apabila sering melihat persembahan bapa dan datuk saya.
"Ramai ahli keluarga saya merupakan ahli silap mata iaitu kira-kira 10 orang termasuk adik-beradik dan saudara mara," ujarnya sambil menambah isterinya juga seorang ahli silap mata merangkap pembantunya.
Anugerah MerlinKini, hampir 28 tahun berkecimpung dalam dunia silap mata, pelbagai anugerah dan pengiktirafan telah diperolehinya.
MAHDI menunjukkan Anugerah Merlin yang diterimanya baru-baru ini.
Terbaru, dia menerima anugerah dari International Magician Society (IMS) iaitu Anugerah Merlin bagi kategori Ahli Silap Mata Pentas Iran Terbaik 2012.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden IMS merangkap mentornya, Tony Hassini dan antara nama besar yang pernah mengungguli Anugerah Merlin ialah David Copperfield dan Cris Angel.
Selain itu, dia juga menerima ijazah kedoktoran dalam bidang silap mata dari IMS dan merupakan penerima termuda di Asia.
"Anugerah Merlin umpama anugerah Oscar bagi ahli silap mata kerana ia merupakan pengiktirafan antarabangsa. Untuk menerima anugerah tersebut, ahli silap mata itu perlu sekurang-kurangnya 15 tahun pengalaman membuat persembahan pentas.
"Pelbagai ujian yang perlu dilalui sebelum melayakkan diri menerima anugerah tersebut," ujarnya yang sudah mengadakan persembahan di sekeliling dunia terutama di Asia.
Senaman dan magisSilap mata bukan seperti yang dibayangkan sesetengah orang dengan mempelajarinya menerusi buku atau Internet.
Pelbagai persiapan perlu dilakukan untuk menjadi ahli silap mata yang mahir dan cekap.
Sejak kecil rutin utama yang tidak pernah ditinggalkan setiap hari ialah senaman selama dua jam. Seorang ahli silap mata yang bagus perlu memastikan diri mereka berada dalam keadaan sihat, cergas malah kuat.
"Tidak mudah jadi ahli silap mata. Kami perlu banyak tenaga ketika mengangkat sesuatu semasa menjayakan muslihat.
"Lagipun, fizikal ahli silap mata perlu berada dalam keadaan elok kerana kita membuat persembahan di pentas," ujarnya yang sering membuat persembahan korporat di hadapan VIP.
Selain itu, untuk menjadi ahli silap mata hebat, latihan minimum selama lapan jam sehari untuk sekurang-kurangnya tujuh tahun diperlukan.
Apa yang penting ialah minat mendalam serta kesungguhan memberi sepenuh hati terhadap bidang tersebut kerana ia menuntut masa, tenaga dan wang yang banyak.
Mahdi menasihatkan mereka yang berminat dalam dunia silap mata untuk melayari laman web IMS kerana di situ ada cara untuk mempelajarinya.
TerapungDavid Copperfield dan Cris Angel pernah melakukannya, kini tiba giliran Mahdi mengapungkan diri di khalayak ramai.
Cerita Mahdi, dia merancang mengadakan persembahan silap mata yang besar di Kuala Lumpur hujung tahun ini atau awal tahun depan dan aksi utama ialah mengapungkan dirinya tanpa sebarang bahan bantuan magis.
Dia telah lama merancang untuk mengadakan persembahan sedemikian dan banyak persediaan telah dilakukan.
"Rahsianya sebenar ada dalam minda kita. Ia bukan seperti persembahan biasa di atas pentas di mana pelbagai cara boleh mengaburi mata penonton.
"Apa yang pasti, ia bukanlah ilmu hitam, hanya sekadar silap mata yang amat susah," ujarnya yang juga merupakan pakar dalam magik mental.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: