Thursday, October 25, 2012

Kempen Let's Take 5!

Lau Beng Long dan Nadiah Wan menunjukkan menu yang perlu diambil pesakit diabetes dalam Kempen Let's Take 5!.
MENURUT Kementerian Kesihatan, tahun ini rakyat Malaysia direkodkan sebagai jumlah yang paling tinggi menghidap diabetes iaitu sebanyak 2.6 juta.
Walaupun ramai yang menyedari tentang bahaya penyakit ini, tetapi sebahagian mereka masih mengabaikan kepentingan perlunya mengambil makanan yang berkhasiat dan gaya hidup sihat.
Pengambilan makanan yang sesuai dan sihat bagi pesakit diabetes bertujuan memastikan kesihatan pesakit sentiasa terkawal.
Sebagai langkah memberi kesedaran terhadap penjagaan kesihatan kepada pesakit diabetes, Pusat Perubatan Sunway (Sunway Medical Centre) telah melancarkan kempen Hari Diabetes Sedunia, Let's Take 5 !, selama lima tahun berturut-turut.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Lau Beng Long berkata, sebagai salah satu pusat penjagaan kesihatan terulung, pusat ini berhasrat mempelopori sambutan hari diabetes sedunia sebagai cara untuk menarik perhatian kepada kesan diabetes.
"Kempen Let's Take 5! akan memberi tumpuan kepada komplikasi diabetes tertentu setiap tahun iaitu, strok (otak), jantung, buah pinggang, mata dan kaki untuk pendekatan yang menyeluruh bagi memastikan pencapaian yang maksimum.
"Strok telah dipilih menjadi tumpuan utama untuk memulakan kempen Let's Take 5! kerana ia menjejaskan ramai kesihatan rakyat Malaysia dan merupakan salah satu penyebab utama rakyat di negara ini dimasukkan ke hospital," katanya.
Ujarnya lagi, kempen tersebut turut mendapat sokongan daripada pelbagai inisiatif yang bertujuan mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat Malaysia.
"Salah satu daripadanya adalah program Sunweight iaitu program yang diperkenalkan untuk menggalakkan warga kerja syarikat Kumpulan Sunway sebagai cara mempromosi dan menggalakkan gaya hidup yang sihat melalui berat badan yang sihat dan ideal," katanya.
Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat, Nadiah Wan berkata, satu lagi inisiatif di bawah kempen tersebut iaitu Kem Kesihatan Pusat Perubatan Sunway yang bertujuan mendekati masyarakat dalam meningkatkan kesedaran tentang diabetes.
"Kem tersebut akan di adakan di Sunway Carnival Mall Pulau Pinang, Sunway Giza Mall Kota Damansara dan juga Kem Kesihatan di SACC Mall Shah Alam, Selangor.
"Selain itu, bermula 13 hingga 16 November 2012, satu pengenalan program Sajian sihat diusahakan bersama Sunway Resort Hotel & Spa bagi menggalakkan pemakanan sihat kepada orang ramai dan pesakit diabetes," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: