SAAT yang paling gembira di hati seorang wanita adalah apabila
bergelar isteri dan ibu. Terasa sempurna dilahirkan sebagai wanita
kerana telah berkorban untuk membahagiakan dan membesar sebuah keluarga
yang tercinta.
Amanah yang digalas amat besar dan berat, jika tersalah langkah akan
kecundang dan merana sepanjang hayat. Pun begitu ada kalanya manusia
terlupa akan amanah ini apabila telah dapat apa yang mereka mahu.
Tidak kira isteri atau suami, jika leka membahagiakan rumah tangga,
anak-anak akan menjadi mangsa. Bapa sibuk dengan dunianya sendiri,
mengejar mimpi yang tidak pasti. Isteri pula merajuk hati dan lari
membawa diri.
Bagaimana jika suami yang buat hal? Tentu isteri yang tertekan, namun
hidup mesti diteruskan dengan doa agar satu hari nanti suami akan
berubah fikiran dan kembali ke pangkuan keluarga.
Demikian inti pati kisah yang dikirim oleh Mas (bukan nama sebenar)
untuk dikongsi dengan pembaca. Nak tahu cerita Mas seterusnya, ikuti
pengakuannya ini.
"Saya, berusia lewat 30-an, bernikah dengan suami yang saya panggil
Asri (bukan nama sebenar) kira-kira 15 tahun lalu. Kami dikurniakan
sepasang cahaya mata berusia 13 dan 11 tahun. Kami suami isteri adalah
penjawat awam.
"Pada awal pernikahan, kami amat bahagia kerana tiada masalah
kewangan, jika ada pun masih boleh ditangani dengan baik. Perbelanjaan
kami sederhana dan itu sudah cukup, tidak perlu bermewah memandangkan
kedua-dua anak kami masih bersekolah.
"Di luar pengetahuan saya, suami telah melakukan kesalahan yang
serius sehingga dibuang kerja. Menurut laporan yang diterima kesalahan
tersebut tidak boleh dimaafkan kerana telah berulang kali berlaku.
"Berita tersebut tentu menghancurkan hati saya sebagai isteri,
terutama apabila mengenangkan suami seorang yang tegas dengan saya dan
anak-anak. Dalam tempoh beberapa bulan Asri menjadi penganggur.
"Perbelanjaan kami bertambah merosot sehingga anak-anak pun terpaksa
dicatu perbelanjaan sekolah mereka. Puas mencari pekerjaan yang sesuai,
namun kesemuanya mendukacitakan.
"Sehinggalah akhirnya mungkin rezeki anak-anak, Asri diterima bekerja
di sebuah syarikat swasta. Selepas tiga tahun bertugas, perangainya
yang lama berulang kembali. Dia jatuh cinta dengan seorang gadis bernama
Anita (bukan nama sebenar) yang bekerja sebumbung dengannya.
"Maklumat yang saya terima, suami saya hanya bertepuk sebelah tangan,
maksudnya cintanya terhadap Anita tidak berbalas. Tetapi ego lelaki
tinggi apabila ditanya saya akan dimarahi dan terus keluar dari rumah
dan pulang hampir subuh.
"Begitulah perangainya sehingga kini. Dia tidak mahu berubah dan
tidak mahu menerima hakikat yang gadis bernama Anita itu tidak menerima
cintanya.
"Pelbagai cara dilakukan oleh suami untuk mendekati gadis itu.
Perkara ini menjadi sebutan ramai. Ada dalam kalangan kawan-kawannya
menjadi penasihat tidak bertauliah dengan menyuntik semangat supaya dia
berusaha mendapatkan gadis tersebut dengan apa cara sekali pun.
"Hidup jika lupa asal usul memang sukar untuk mencapai sesuatu yang
dihajati. Kesalahan silam yang pernah meragut kerjayanya sepatutnya
menjadi peringatan untuk berubah sikap demi masa hadapan keluarga tetapi
sebaliknya pula yang berlaku.
"Saya cuba menasihatinya, namun umpama mencurah air di daun keladi.
Sia-sia sahaja. Di penghujungnya saya dipersalahkan kerana tidak
bersyukur dengan apa yang ada. Bagaimana harus bersyukur jika suami
masih mencari di luar, sedangkan saya harus berkorban untuk rumah
tangga?
"Perbelanjaan rumah, saya yang banyak keluar dan dahulukan. Pendek
kata segala-galanya saya yang harus dahulukan. Dia buat tidak tahu
sahaja dan sibuk dengan aktivitinya mengurat Anita yang tidak
berkesudahan.
"Apa muslihat lelaki yang menjadi suami saya ini? Apa yang ingin dia lakukan sedangkan dia tahu, hasilnya bagaimana?.
"Anak-anak pernah bertanya saya mengapa ayah selalu pulang lewat dan
hujung minggu tidak pernah ada di rumah. Saya malu dengan anak-anak,
bagaimana hendak saya jelaskan kepada mereka.
"Nak berbohong? Mereka sudah dewasa untuk memahami apa yang terjadi dalam hubungan saya dengan bapa mereka.
"Apa yang saya dengar daripada kenalannya, Asri memang sentiasa
mengganggu Anita. Dia mendera perasaan gadis itu, dicabarnya Anita
supaya melaporkan kepada pihak berkuasa jika benar ada bukti dia
diganggu. Memang susah nak dapatkan bukti sebab semua itu dibuatnya
dengan teliti sehingga sukar untuk dikesan.
"Sebagai isteri, saya malu pada masyarakat dan teramat malu kepada
diri sendiri seolah-olah saya tidak tahu menjaga suami yang menjadi liar
yang luar biasa. Saya juga pelik dengan sikapnya tidak sedar diri dan
tidak mahu cermin diri sendiri.
"Sepatutnya dia menjaga maruah dirinya sebagai lelaki. Dia juga harus
sedarkan diri, mesti faham bila orang tak mahu maknanya lebih baik
angkat kaki, jangan nak hadap lagi. Ini tidak, terhegeh-hegeh juga nak
ganggu orang. Jika saya di tempat Anita, saya juga akan melakukan
perkara yang sama.
"Saya tahu Anita bukan gadis yang suka merampas hak orang lain. Dia
mungkin beranggapan buat apa diganggu rumah tangga orang, sedangkan
ramai lagi yang masih bujang!!!. Biarlah menjadi andartu daripada
menjadi kutu malam yang sentiasa buat kacau sana sini. Di mata saya,
Anita seorang gadis yang bijak, sebab itu dia bertindak macam itu.
"Saya berasa masih belum terlambat untuk suami saya menoleh ke
belakang dan melihat saya dan anak-anaknya yang terabai selama ini. Beri
perhatian kepada anak-anak, sebab itu amanah daripada Allah. Bukan
mengejar Anita ke sana-sini.
"Saya pelik kenapa suami apabila buat hal tidak pernah langsung nak
ingat akan janji-janji di hadapan tok kadi tentang peranan dan
tanggungjawab suami terhadap isteri dan anak-anak. Ini bukan soal sehari
dua tetapi sepanjang hayat.
"Sekarang masanya untuk melunaskan segala yang belum terlaksana. Apa
yang kurang diperbetulkan, malah ditingkatkan segala-galanya agar hidup
isteri dan anak-anak terpelihara di dunia dan akhirat.
"Saya sudah letih menasihati dan menegur. Bukan didengarnya,
sebaliknya saya pula dipersalahkan. Saya tidak mahu lagi menambah dosa.
Saya hanya mampu berdoa agar suatu hari nanti suami akan sedar dan
kembali ke pangkal jalan.
"Jika dia terbaca ruangan ini, saya amat berharap dia lupakan
hasratnya untuk mendapatkan Anita kerana tidak semua perempuan suka hak
orang, malah mereka malu untuk dilabel sebagai perempuan perampas!
"Peliharalah maruah keluarga dan maruah orang lain kerana kita semua
adalah makhluk yang dikurniakan dengan akal yang sempurna untuk
berfikir. Fikir dengan waras sebab isteri, anak-anak dan keluarga adalah
amanah Allah.
"Jangan ikut hati dan perasaan. Jangan ikut perangai kawan-kawan yang
suka melihat orang lain hidup susah dan menderita. Mereka hanya
mencabar tapi kalau suruh buat, tentu mereka tak berani. Sebab lelaki
macam itu hanya pandai bercakap tetapi tidak ada keberanian. Mereka juga
takutkan isteri.
"Saya amat berharap, satu hari nanti Allah akan makbulkan doa saya
untuk melihat semula suami kembali menjadi Asri yang pertama kali saya
kenal dahulu. Asri yang bertanggungjawab dan penyayang. Mudah-mudahan
Allah akan makbulkan doa saya. Amin!'' begitu Mas menutup ceritanya.
Syabas Mas kerana menjadi seorang isteri yang tabah dan sabar melayan
kerenah suami. Apa yang Mas lakukan patut dicontohi isteri-isteri yang
menghadapi masalah yang sama seperti Mas. Elak daripada melatah dan
bertindak mengikut hati tetapi gunakan akal untuk berfikir dan utamakan
anak-anak dalam apa juga keputusan yang diambil.
Saya turut mendoakan kebahagiaan untuk Mas dan anak-anak.
Insya-Allah, kesabaran akan menghasilkan kebahagiaan. Ingatlah, Allah
sentiasa mendengar doa hamba-Nya.
Sebagai penamat catatan, sepatah pesanan daripada saya, dekatilah Allah dalam suka, insya-Allah Dia akan mengenalmu dalam susah.
Salam
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: