SELAMA ini saya hanya membaca kisah yang
dipaparkan di ruangan ini, langsung tak terfikir akan turut menyumbang.
Tetapi apabila diri sendiri terkena baru saya sedar betapa tenteramnya
jiwa setelah mencurahkan isi hati di sini.'' Cerita Fikri yang
berkhidmat di bahagian teknikal dengan sebuah kementerian di KL.
''Berusia dekat 40 tahun, 18 tahun berkahwin dan ada tiga anak, saya
ingin berkongsi pengalaman pahit agar rakyat Malaysia khususnya lelaki
tidak mudah tertipu dengan cinta plastik wanita warga asing. Sebab kisah
30 September lalu ada menyebut 'Trend lelaki sekarang suka kahwin
dengan wanita asing.' Jadi di sini saya ingin nasihatkan jangan mudah
tertipu akhirnya jadi mangsa seperti saya.
''Kisah percintaan saya bermula apabila kerap dihantar bertugas ke
Tawau, Sabah. Di sana pasti bertemu ramai wanita Filipina, orangnya
cantik, peramah dan senang didampingi. Pertemuan pertama dengan Bella
pertengahan tahun lepas berakhir dengan perjumpaan berulang-ulang kali.
''Dari mula berkenalan akhirnya beberapa kali kami terlanjur hingga
Bella ditangkap oleh Imigresen Sabah kerana tiada pasport dan dihantar
balik. Dua bulan selepas itu dia datang semula, kami berjumpa dan saya
jatuh cinta dengan kelembutan dan keramahannya.
''Bermula dengan berkenalan akhirnya timbul niat baik saya hendak
menyelamatkan Bella dengan berkahwin dengannya. Walaupun dia baru
berusia 24 tahun tapi sudah mempunyai seorang anak kerana dipermainkan
kekasihnya. Kerana kecewa dia lari ke Tawau mencari pekerjaan menyara
hidupnya dua beranak.
''Atas dasar simpati saya hulurkan bantuan ribuan ringgit supaya dia
balik ke kampungnya di Molave, Zamboanga Del Sur. Dia balik secara haram
dengan bot. Demi cinta saya berjanji akan ambil anaknya sebagai anak
sendiri. Beribu ringgit duit saya terbang untuk membiayainya kerana dia
setuju nak masuk Islam.
''Walaupun berjauhan, kami sentiasa berhubung melalui telefon.
Kegilaan saya membuat isteri dan anak-anak curiga. Saya terus-terang
pada isteri, saya nak kahwin dengan wanita Filipina. Hanya Allah sahaja
tahu perasaan isteri saya, walaupun dia bekerja, tapi dia sabar dengan
kerenah saya, tak melawan, tak mengamuk, apa lagi memarahi saya, hanya
air mata jadi teman setia.
''Kerana cinta, saya ke Cebu City bertemu Bella. Tapi dia tak tinggal
di sana, dia tinggal dengan datuknya di Molave. Akhirnya kami berjumpa
di Mactan International Airport, Cebu. Saya berjumpa dengan ibu bapa dan
anaknya. Empat hari saya di sana.
''Keluarga Bella dan kehidupan penduduk di sana amat daif dan miskin.
Itu membuatkan saya berjanji akan pelihara Bella dan anaknya. Saya
sempat solat di rumahnya! Di rumah orang Kristian. Mereka hairan, tapi
niat saya semoga satu hari nanti Allah bukakan pintu hati mereka. Amin!
''Banyak saya berbelanja untuk keperluan mereka, beribu ringgit saya
habiskan sebelum kembali ke KL. Semuanya demi cinta. Tak lama kemudian
Bella beritahu dia jatuh sakit, saya hantar duit untuk dia berubat.
''Ketika itu saya langsung tak peduli perasaan isteri saya. Pertama
kerana tengah mabuk cinta, kedua, hati saya ikhlas nak bawa Bella masuk
Islam.
''Tak lama lepas itu datuk Bella mati, saya korban duit ringgit untuk
terbangkan keluarganya dari Cebu ke Molave. Untuk pengetahuan,
sepanjang hidup mereka tak pernah naik kapal terbang.
''Saya baiki rumah buruk mereka supaya hidup mereka lebih selesa,
saya pasangkan Internet. Saya carikan kerja untuk Bella dan sediakan
rumah di KL.
''Diri saya juga turut berubah, kalau dulu gila motor besar, sejak
bercinta saya jual motor besar, sebab saya fikir tak ada masa untuk itu
semua. Saya turun naik pejabat imigresen dan kedutaan Filipina di KL
bertanya cara membawa Bella. Pendek kata semua sudah sedia kecuali restu
isteri.
''Untuk urusan perkahwinan, saya ke Clark City memujuknya segera
nikah, lepas tu kami makan angin ke Manila. Akhirnya Bella setuju nikah
dan masuk Islam. Tapi syaratnya saya tidak boleh ceraikan isteri saya.
Dalam masa sama, saya siapkan tempahan baju dan hotel untuk resepsi
perkahwinan kami.
''Tetapi manusia hanya merancang, Allah maha mengetahui, mungkin
Allah makbulkan doa saya di depan Baitullah sewaktu menunaikan umrah
bersama isteri saya. Dalam doa saya memohan agar Allah bukakan pintu
hati Bella menerima Islam.
''Entah macam mana tiba-tiba saya rasa curiga. Belek punya belek
gambarnya dalam facebook, akhirnya saya terjumpa gambar terbaru Bella
dengan bekas teman lelakinya. Terkejut saya. Saya tanya Bella. Dia cuba
berbohong, tapi dia tidak berjaya menipu saya.
''Tak sangka dia sanggup tipu saya, sedangkan saya korbankan
segalanya. Akhirnya dia mengaku, dia belum bersedia masuk Islam dan tak
cintakan saya. Dia mengaku gunakan saya untuk kikis duit demi kesenangan
hidupnya. Sakitnya hati!
''Saya rasa diperbodohkan. Alasannya dia boring dan sepi sebab saya
jauh di Malaysia, sedangkan dia di sana. Punyalah hangin saya, inikah
kesetiaan? Memang dasar perempuan penipu! Jerit saya.
''Saya kesal. Nasib baik isteri saya penyabar dan setia, walaupun
saya hancurkan hatinya, hanya Allah tahu betapa remuknya perasaannya
selama ini. Saya tak salahkan sesiapa, hanya Allah yang tahu. Pengalaman
pahit ini sukar saya terima. Duit habis lebih RM30,000 tapi itu saya
tak kisah, namun masalah kena tipu paling sakit!
''Buat semua lelaki warga Malaysia yang berhasrat berkahwin dengan
warga Filipina atau warga seberang, fikir masak-masak. Cantik memang
cantik, menarik dan menawan, tetapi racun di dalamnya sangat berbisa...they just a liar!!! Jangan percaya bulat-bulat, selidik dan periksa dulu, kalau perlu buat serbuan mengejut.
''Saya rasa mungkin bukan saya seorang terkena, ramai lagi lelaki
lain sudah terkena, terutama yang sering ke Princess, Tawau, cuma mereka
tak mengaku. Tawau ada ramai gadis Filipina bekerja di sarang
pelacuran, kerana itu sumber hidup, sebab mudah cari duit.
''Jabatan Imigresen Sabah lebih faham, sebab mereka buat operasi,
namun saya harap operasi lebih keras dan kerap. Sebab kalau dihantar
balik dua tiga bulan kemudian mereka datang lagi.'' Itu pengakuan Fikri
panjang lebar tentang pengalaman pahit bercinta dengan warga asing,
bukan murah tapi mahal, bukan mudah tetapi susah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: