Monday, October 22, 2012

Forum ibu bekerja

Parveen Yassin (dua dari kanan) bergambar selepas sidang media bersama wakil para penaja yang akan memeriahkan lagi Majlis Minum Petang Amal MWMF di Carcosa Seri Negara pada 3 November ini.
Ibu berkerjaya mempunyai isu tersendiri yang kadangkala memerlukan ruang khas dan mudah diakses untuk mereka saling berkongsi cerita dan bertukar-tukar pendapat.
Itu juga yang cuba ditawarkan oleh Forum Ibu-Ibu Bekerjaya Malaysia (MWMF), forum dalam talian (online) yang diwujudkan bagi menyokong wanita dalam kerjaya mahupun kehidupan berkeluarga.
Laman yang telah menjangkau usia setahun ini dilihat begitu matang dalam membincangkan isu-isu semasa yang menjadi permasalahan bagi kaum wanita masa kini.
MWMF merupakan peluang yang ideal kepada ibu-ibu bekerjaya berkongsi, belajar dan mendapat kepuasan dengan cara-cara yang akan membantu mereka mencipta keseimbangan dalam kehidupan.
Ditubuhkan pada 17 Februari 2011, MWMF telah berjaya meraih pengikut sendiri di kalangan wanita bekerjaya.
Pengarah Eksekutifnya, Parveen Yassin, berkata, sebagai ibu berkerjaya beliau sendiri dapat memahami bebanan yang ditanggung oleh golongan ini.
Katanya, golongan ini perlu sentiasa diberi sokongan bagi melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ibu, isteri dan wanita berkerja.
Melalui forum tersebut, pelbagai topik dibincangkan seperti kesihatan, keselamatan, cinta, pengurusan kewangan, fesyen, kecantikan, penjagaan anak-anak dan sebagainya.
"Forum ini juga turut memberi informasi terkini bagi menambah pengetahuan dan tip-tip menarik yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
"Kami turut membawa perbincangan ini menerusi laman Facebook MWMF yang mempunyai pengikut melebihi 3,000 pengguna," katanya.
Parveen berkata, disebabkan pengikut forum sering berkomunikasi hanya dalam talian, MWMF telah mengambil keputusan untuk mengumpul golongan ibu bekerjaya ini untuk bertemu secara berdepan dalam satu majlis minum petang sambil beramal.
Katanya, acara yang terhad kepada 100 peserta terawal itu akan mensasarkan kutipan sebanyak RM5,000 dan sebahagian kutipan akan disumbangkan kepada Yayasan Chow Kit.
"Antara topik menarik yang akan dibincangkan seperti bengkel keibubapaan, demonstrasi seni mempertahankan diri, pengurusan kewangan dan bengkel masakan," katanya sewaktu sidang media Majlis Minum Petang Amal MWMF di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beberapa penceramah hebat turut dijemput dalam sesi bengkel tersebut seperti penulis terkenal, Zaid Mohamad, Dr. Ramlan Ahmed dari Aikido Shudokan Malaysia, Pemenang Master Chef Malaysia dan pakar motivasi, Datuk Fazley Yaakob dan pasangan selebriti terkenal Sazzy Falak, dan suami, Nash Idrus.
Dengan tema Fab, Fit and Fresh, acara eksklusif ini bakal berlangsung pada 3 November ini di Carcosa Seri Negara.
"Acara ini tidak terhad kepada golongan wanita sahaja, bahkan kaum lelaki yang telah menjadi ayah atau bakal menjadi ayah turut dialu-alukan..
"Kami juga mahu membantu wanita Malaysia, terutamanya komuniti Facebook dan Forum kami," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: