Wednesday, October 24, 2012

Satelit tingkat taraf hidup

Data-data daripada satelit berguna untuk meramal atau menganalis kejadian bencana.
PADA tahun 1945, seorang penulis sains fiksyen dan pereka berbangsa British, Arthur C. Clarke telah menerbitkan sebuah artikel yang menerangkan teori mengenai sistem komunikasi bumi menggunakan pemancar frekuensi radio yang diletakkan di sebuah stesen angkasa.
Menerusi artikel tersebut, beliau menerangkan sebuah stesen angkasa yang diletakkan di satu orbit yang mempunyai halaju yang sama dengan putaran bumi dipaksinya, akan membuatkan stesen tersebut berada pada satu lokasi tetap pada satu rujukan lokasi di bumi.
Fenomena ini akan membolehkan frekuensi radio bagi tujuan komunikasi dipancarkan melalui stesen tersebut dari satu lokasi ke lokasi lain di atas muka bumi tanpa memerlukan wayar fizikal.
Artikel tersebut merupakan rencana rasmi pertama yang mencadangkan penggunaan angkasa lepas sebagai medium bagi sistem komunikasi di bumi.
Dua belas tahun kemudiannya dengan kemajuan teknologi roket di negara-negara barat, satelit pertama dunia dilancarkan ke orbit oleh Russia.
Satelit tersebut yang dikenal sebagai Sputnik 1 yang membawa antena pemancar radio telah berjaya dikesan oleh pengguna radio amatur di bumi.
Hasil penemuan tersebut, bidang angkasa lepas berkembang dengan pesat dan kini merupakan salah sebuah industri yang membantu menjana pendapatan kepada keluaran kasar negara.
Industri angkasa lepas antarabangsa kini bernilai RM830 bilion (USD276 billion) dan diterajui lebih 80 buah syarikat antarabangsa yang menawarkan pelbagai perkhidmatan di dalam industri tersebut.
Perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah sektor mereka bentuk, pembuatan, pelancaran, pengoperasian, insurans dan pembiayaan kewangan.
Aktiviti hiliran hasil daripada penggunaan teknologi satelit memberi pelbagai manfaat yang membantu meningkatkan taraf hidup.
Industri angkasa lepas kini telah diperluaskan penggunaannya ke pelbagai cabang seperti telekomunikasi, cerapan astronomi, ramalan cuaca, pengurusan hasil bumi, penentuan lokasi, pendidikan dan ketenteraan.
Sebanyak 61 peratus daripada jumlah nilai industri angkasa lepas dunia adalah dipelopori oleh industri satelit.
Mengikut kajian yang dijalankan oleh Persatuan Industri Satelit (SIA 2011), pendapatan industri satelit dunia mengalami peningkatan purata tahunan sebanyak 11.2 peratus dari tahun 2005 hingga ke tahun 2010.
Industri satelit boleh dibahagikan kepada empat sektor utama iaitu pembuatan satelit, khidmat pelancaran, stesen pemancar dan perkhidmatan melalui satelit.
Antara empat sektor utama termasuklah sektor stesen pemancar bumi dan perkhidmatan melalui satelit yang telah mencatatkan peningkatan progresif sepanjang tahun 2005 hingga 2010.
Ini menunjukkan permintaan terhadap kualiti perkhidmatan satelit meningkat dengan pembinaan dan penaiktarafan infrastruktur stesen pemancar bumi.
Pada tahun 2010, pendapatan sektor perkhidmatan melalui satelit buat pertama kalinya melepasi kadar RM300 bilion (USD100 billion).
Peningkatan itu disebabkan kadar permintaan yang tinggi untuk perkhidmatan Direct To Home (DTH).
DTH merupakan perkhidmatan yang membolehkan pengguna menerima siaran televisyen secara terus ke rumah melalui penggunaan antena penerima isyarat satelit yang berdiameter besar (1.7 meter).
Berlainan pula untuk sektor pembuatan satelit yang mengalami penurunan kerana permintaan yang perlahan bagi pelancaran satelit kerajaan yang berkos tinggi kesan daripada kelembapan ekonomi dunia.
Negara maju kini mengalihkan perbelanjaan negara ke sektor yang dapat memberikan kesan jangka masa panjang.
Beberapa projek mega dalam industri angkasa lepas seperti kapal angkasa, Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan Teleskop Hubble kini mengalami sama ada pemberhentian ataupun pengurangan pembiayaan.
Menerima kesan yang sama seperti sektor pembuatan satelit adalah sektor pelancaran.
Pada tahun 2010, pendapatan sektor pelancaran mencatatkan penurunan sebanyak empat peratus berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan perkembangan sebanyak 18 peratus
Penurunan itu dicatatkan kerana pelancaran bagi satelit kerajaan, yang merupakan sumber pendapatan utama sektor terbabit, berkurangan.
Pada tahun 2010, sebanyak 49 pesanan di seluruh dunia bagi pelancaran satelit telah direkodkan.
Daripada jumlah tersebut, syarikat dari Amerika Syarikat menerima 20 pesanan, syarikat dari Eropah menerima 14 pesanan, syarikat Russia menerima 11 pesanan dan selebihnya dari China dan syarikat kerjasama antarabangsa.
Secara purata pesanan yang diterima oleh syarikat-syarikat terbabit mencatatkan penurunan jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.
Industri angkasa lepas dunia dikuasai oleh negara-negara barat yang rata-rata membelanjakan dan melabur jumlah wang yang besar setiap tahun bagi menampung industri tersebut di negara mereka.
Amerika Syarikat mengetuai senarai dari segi pembelanjaan bagi industri angkasa lepas.
Pada tahun 2009, negara itu telah membelanjakan sejumlah USD48.8 billion untuk industri angkasa lepas yang meliputi sektor awam dan pertahanan.
Angka perbelanjaan tersebut meliputi 72 peratus daripada perbelanjaan dunia untuk industri angkasa lepas pada tahun tersebut.
Gabungan negara-negara Eropah merupakan pihak kedua dalam senarai tersebut dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM22 bilion (USD7.9 billion) .
Jepun yang telah melakar posisi baru bagi industri angkasa lepas telah membelanjakan RM9 bilion (USD3billion) pada tahun tersebut dan diikuti pula dengan Russia yang telah membelanjakan sebanyak RM8 bilion (USD2.8 billion).
Mengikut rekod China dan India, masing-masing telah membelanjakan USD2 billion dan USD900 juta pada tahun tersebut.
Industri angkasa lepas merupakan bentuk pelaburan jangka panjang yang berterusan demi membina kapasiti pembangunan modal insan yang berpendapatan tinggi menerusi ekonomi berasaskan penghetahuan .
Justeru, setiap pelaburan seperti projek angkasawan yang turut membabitkan saintis dan penyelidik tempatan yang terlibat termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ada manfaatnya.
Sebagai contoh, penyelidikan melibatkan sel kanser yang dijalankan oleh Prof Datuk Dr. A. Rahman A. Jamal; bakteria oleh Prof. Dr. Ramelah Mohamed dan penghabluran protein oleh Prof. Dr. Raja Noor Zaliha Raja Abd. Rahman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) kini mendapat perhatian dunia.
Hasil penemuan daripada penyelidikan mampu memberikan faedah pada masa hadapan demi masa depan yang lebih sempurna sama ada dari segi kesihatan, kemudahan asas mahupun gaya hidup masyarakat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: