Stacy
Stacy
NAMA gadis kelahiran Sabah ini bukanlah asing dalam industri seni suara tempatan. Malah, bintang kelahiran rancangan realiti popular Akademi Fantasia (AF) musim keenam ini dikenali ramai peminat muzik di sini.
Kelincahan menari serta keunikan suaranya menerusi irama yang rancak dan bertenaga pastinya memberi kelainan kepada penyanyi berusia 22 tahun ini untuk menempa nama dalam bidang yang diceburi.
Turut tercalon dalam Anugerah Industri Muzik Ke-19 (AIM19) merupakan satu penghargaan buat Stacie Angie Anam atau lebih dikenali sebagai Stacy setelah 5 tahun bergelar penyanyi.
Jelasnya, dia tidak menyangka tahun ini, dia tercalon dalam tiga kategori .
“Apabila mendapat tahu mengenai pencalonan ini, memang saya rasa bersyukur sangat.
“Apa pun, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana pencalonan lain serta saingan saya juga semuanya hebat,” katanya yang tercalon bagi kategori Album Terbaik (Stay-C), Video Muzik
Terbaik (Pelangi Senja arahan Ghaz Abu Bakar) dan Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu menerusi lagu Kasanova.
Berkongsi lanjut mengenai pencalonan itu, jelas Stacy, dia sebenarnya sangat teruja apabila video muzik Pelangi Cinta dicalonkan.
“Video muzik bagi lagu ini sangat unik, malah lagunya juga menyentuh emosi kerana melodinya yang mendayu,” katanya yang kini sedang dalam proses menghasilkan album mini.
Bercerita mengenai album mininya, Stacy memberitahu album tersebut bakal dimuatkan lagu-lagu yang berentak lebih santai dan juga rancak.
“Ini adalah projek khas saya untuk peminat semua. Bagaimana pun, saya masih dalam proses menyiapkannya dan belum mempunyai waktu yang tepat untuk melancarkannya,” katanya.
Bukan hanya lagu catchy
Diaju pertanyaan mengenai kecenderungannya menyanyikan lagu balada, kata Stacy, dia ingin membuktikan kemampuan vokalnya.
“Saya akui dikenali dengan lagu berentak rancak dan catchy, tetapi saya juga semakin selesa menyanyikan lagu-lagu balada.
“Lebih-lebih lagi, apabila lagu Kisah Dongeng dan Pelangi Senja mendapat sambutan, ia membuatkan saya bersemangat untuk terus tampil dengan lagu sebegini,” jelasnya yang turut memasang impian bergelar pelakon.
Menyentuh mengenai impiannya, ujar Stacy, dia bagaimana pun bukanlah seorang yang boleh melakukan pelbagai kerja dalam satu masa.
"Memang teringin berlakon, tetapi perlu juga lihat kepada keadaan, jika waktu itu saya sibuk dengan nyanyian, saya terpaksa menolaknya," katanya.
Menurutnya, untuk menjadi pelakon, dia juga harus memperbaiki loghat Sabah yang masih tebal dalam dirinya.
"Saya tinggal bersama ibu di sini, dan apabila dengan adik-beradik, saya menggunakan loghat Sabah, jadi sukar untuk saya buang loghat tersebut," katanya yang mahu fokus kepada bidang nyanyian buat masa sekarang.
Matang jadi ibu
Dalam pada itu, Stacy juga sempat berbicara mengenai kehidupan peribadinya.
Mempunyai seorang anak angkat diberi nama Bella Valentina, 9 bulan, dia mengakui semakin matang dalam menjalani kehidupan.
“Bella banyak mengajar saya menjadi lebih baik, walau pun saya masih muda dan dia masih bayi, tetapi kerana dia, saya mula berubah sedikit demi sedikit.
“Jika dulu kehidupan saya banyak dihabiskan di luar tetapi sekarang tidak lagi, habis kerja saya pasti akan pulang dan melayan dia sahaja,” katanya yang turut meminta bantuan ibunya menjaga
Bella apabila dia tiada di rumah.
Ditanya apakah dia sudah mempunyai teman istimewa, jelas Stacy buat masa sekarang, dia lebih senang bersama keluarga sahaja.
“Saya belum fikir untuk mencari teman istimewa lagi dan saya tidak kisah mengenai semua ini,” katanya.