Monday, October 15, 2012

Rawatan spa kulit wajah jejaka



SETIAP kali ada waktu senggang, Saiful Anuar Sabri, 25, tidak teragak-agak memperuntukkan sebahagian masanya bagi memanjakan diri di spa. Dalam setahun, Saiful berkunjung ke spa kira-kira empat hingga lima kali, itupun akibat jadual kerja yang tidak menentu.
Pelik, bukan lagi perspektif yang harus dilemparkan untuk lelaki pencinta spa. Keinginan kaum Adam tampil bersih dan bergaya dari segi penampilan luar serta dalam wajar disokong secara menyeluruh.
Saiful yang berkhidmat selaku jurutera di sebuah syarikat ternama tempatan juga tidak dapat mengelak daripada skeptikal normal masyarakat Malaysia yang agak negatif.
Kikis stigma
Namun, teguran atau usikan nakal tersebut bukanlah alasan untuknya berhenti melakukan apa yang dirasakan perlu bagi menjaga penampilannya.
“Persepsi negatif sekeliling membuatkan ramai lelaki di negara ini segan untuk mengunjungi spa. Bagi mereka, lelaki tidak seharusnya kelihatan cantik dan perkara tentang spa bukan terletak dalam konteks hidup lelaki maskulin.
“Secara jujur, rawatan di spa perlu dirasai semua lelaki. Manusia yang waras sudah tentu mahu menjaga penampilan dan kebersihan diri. Menerusi cara ini, matlamat itu mampu dicapai dengan mudah dan terurus.
“Jadi, berhentilah menjadi skeptikal. Spa bukan sahaja untuk wanita kerana di sana, teknik penjagaan diri atau tip-tip berguna dapat diperoleh. Cuba pergi sekali, pandangan anda tentang lelaki dan spa pasti berubah secara total,” kongsi Saiful ketika kami masih dalam perjalanan menuju ke sebuah spa di Petaling Jaya, Selangor.
Mula berkunjung ke spa beberapa tahun yang lalu bagi menemani sahabatnya yang bakal berkahwin, Saiful terus tertarik dengan servis dan aura positif yang diterima daripada rawatan kecantikan tersebut. Dia berpendapat, sesiapa sahaja boleh ke spa dan tidak perlu menanti saat untuk mendirikan rumah tangga.
Ia juga menjadi sebahagian daripada ganjaran untuk diri sendiri terutamanya selepas seharian bekerja keras. Tambah Saiful, sebagai lelaki, pengetahuannya tentang pengurusan kecantikan tidaklah sehebat mana dan disebabkan itu, pembimbing amat diperlukan.
“Apabila berada di spa, mereka menjalankan rawatan yang bersesuaian dengan kehendak kita dan memberi nasihat berguna tentang penjagaan diri.
“Selepas sesi rawatan, saya berasa lebih segar. Sebagai manusia, kita bukan sahaja perlu berada dalam keadaan sihat secara fizikal dan mental, malah aspek rohani juga penting.
“Di spa, anda akan dapat mengecapi ketenangan ketiga-tiga peringkat tersebut,” ujarnya yang kerap bertugas di luar negara berbulan-bulan lamanya atas tuntutan kerja.

PENGGUNAAN garam laut dan air suam untuk sesi mandian kaki mampu menenangkan pengunjung sebelum sesi rawatan wajah dijalankan.


Sesi rawatan
Perbualan kami terhenti seketika selepas destinasi yang dicari akhirnya ditemui.
Ketibaan kami di Spa HerbaLine, Taman Sea, Petaling Jaya, Selangor yang dibangunkan di sebuah unit banglo itu disambut mesra penyambut tetamu.
Penyelia spa berkenaan, Irene Wong kemudiannya menjalankan pemeriksaan ke atas kulit wajah Saiful. Dengan menggunakan peralatan khas yang berfungsi seperti kanta pembesar, struktur dan jenis kulit Saiful dapat dikenal pasti.
Berdasarkan pemeriksaan awal tersebut, Irene menjelaskan kepada Saiful masalah kulit yang dihadapinya dan rawatan yang bersesuaian.
Terdapat banyak pilihan rawatan disediakan seperti penyingkiran sel mati dan pembersihan dalaman, pelembapan wajah, kulit kering berjerawat, penegangan kulit wajah serta pengelupasan mikro.
Rawatan wajah
Selepas memilih pakej rawatan, Saiful dibawa ke bahagian mandian kaki. Sesi tersebut adalah pilihan tambahan yang disediakan pihak spa bagi keselesaan pengunjung. Saiful memperuntukkan lima minit memberus kakinya menggunakan air suam berserta satu sudu garam laut.
“Rawatan asas ini membantu pelanggan menenangkan diri sebelum rawatan sebenar dijalankan. Selain mandian kaki, pelanggan kami juga boleh melakukan rawatan spa ikan (fish spa). Ia juga tidak termasuk dalam caj pakej rawatan dan lebih kepada servis tambahan,” ujar Irene.
Sebelum masuk ke bilik rawatan, Saiful diminta menekup mukanya di hadapan sebuah bekas yang berisi cecair ekstrak biji lavender. Ibarat efek aroma terapi, wap yang terbentuk di mukanya juga membantu Saiful untuk berasa lebih rileks.
Keselesaan dan kebersihan amat diutamakan di kebanyakan spa. Tuala, penutup kepala dan selipar khas dibekalkan kepada setiap pelanggan dan ia perlu dipakai sebelum rawatan dimulakan.
Lengkap dengan persalinan spa yang ditetapkan, Saiful sudah bersiap-sedia menjalani rawatan wajah. Peringkat pertama, wajahnya diurut perlahan diikuti dengan pembersihan ringkas menggunakan kapas. Wajahnya kemudian dioles dengan krim campuran susu dan avokado. Proses pembersihan berganda itu perlu dijalankan untuk tempoh 15 minit.
Peringkat seterusnya adalah pengewapan wajah kira-kira 5 hingga 10 minit. Ketika itu, kulit wajah dapat dilembutkan sekali gus memudahkan pembukaan pori-pori. Teknik ultrasonik kemudiannya dijalankan untuk membuang sel-sel kulit mati.
“Liang pori yang telah terbuka luas mempercepatkan proses penghapusan bintik-bintik hitam. Jangka masanya pula bergantung kepada kulit individu tersebut.
“Urutan menggunakan hujung jari (point massage) kemudiannya dilakukan di sekitar wajah pelanggan sebelum topeng (masker) berherba disapukan dan dibiarkan selama 20 hingga 25 minit.

SPA ikan antara servis tambahan yang ditawarkan di HerbaLine.


“Rawatan diakhiri dengan urutan ringan di bahu dan selepas itu pelanggan boleh memilih untuk berehat di ruangan bawah spa sambil minum teh panas atau pulang ke rumah,” jelas Irene yang bertanggungjawab menjalankan kesemua rawatan ke atas Saiful pada hari tersebut.
Perbezaan wajah Saiful dilihat ketara selepas menjalani rawatan di spa tersebut. Dia juga gembira dengan perkhidmatan yang ditawarkan HerbaLine.
“Rawatannya menyeluruh dan terdapat servis tambahan yang amat menarik. Harga pula sangat berpatutan dan pada awalnya saya terkejut dengan pakej harga yang ditawarkan.
“Untuk spa yang dibangunkan di sebuah banglo dan diubah suai secara total bagi menghidupkan suasana menenangkan, harga yang ditetapkan jauh lebih baik berbanding spa-spa yang diletakkan di dalam pusat beli-belah,” kata Saiful yang bercadang untuk terus menjadi pengunjung tetap Spa HerbaLine.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: