Monday, October 15, 2012

Batik gaya kasual


KARYANEKA menggalas tanggungjawab untuk terus memartabatkan batik di persada fesyen negara dan dunia.


BATIK merupakan salah satu fabrik yang menjadi kebanggaan negara kita. Ia banyak dihasilkan di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang. Setiap lukisan yang dicanting mempunyai keistimewaan tersendiri kerana motif dan coraknya berbeza mengikut negeri-negeri.
Sebelum ini, pemakaian baju itu terhad pada majlis-majlis tertentu atau acara-acara formal sahaja dan sering dipakai oleh golongan berusia. Persepsi tersebut bagaikan membunuh warisan nenek moyang kita itu.
Mujur atas inisiatif syarikat pemasaran Karyaneka (Karyaneka), busana batik tempatan yang dicetuskan bukan sahaja lebih santai, malah sesuai untuk setiap golongan dan pelbagai acara.
Batik keluaran Karyaneka cuba lari daripada skeptikal dengan memilih warna-warna segar dan corak abstrak dengan motif bunga-bungaan yang tidak berlebihan.
Karyaneka memberi kesegaran kepada khazanah negara itu melalui koleksi terbaharu seperti blaus kain kapas, blaus sifon, kemeja lelaki, kebaya nyonya, seluar Bermuda, pareo dan kaftan dengan corak motif yang moden.
Koleksi terbaharu itu digayakan sewaktu acara Malaysia SME Pillars Lifestyle Event 2012 di Hotel Novotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebanyak 32 koleksi ditampilkan kepada khalayak dengan mengambil tema kasual dengan suntikan glamor, tetapi ringkas. Bagi melengkapkan gaya, pelbagai pilihan aksesori wanita yang diperbuat daripada logam dan mutiara serta tas tangan batik eksklusif turut disertakan.
Padanan sempurna
Buat si gadis yang ingin tampil menonjol, rekaan dengan nuansa rona merah dan kuning terang memberi impak ceria kepada pemakai. Ia tambah menyerlah apabila dipadankan dengan sepatu warna senada.
Busana itu sesuai digayakan ketika untuk bersiar-siar pada hujung minggu bersama teman istimewa.
Usah terperangkap dengan gaya yang mendatar setiap kali ingin bergaya, tukar pilihan baju yang klise dengan memakai blaus batik warna biru disuai dengan padanan seluar panjang biru terang.
Khas kepada jejaka yang ingin keselesaan, namun masih mahu tampil menarik, sarungkan baju batik kasual bersama seluar paras lutut. Lengkapkan penampilan dengan memakai kasut kanvas kegemaran.
Luaskan tatacara pemakaian batik dengan memadankan ia bersama seluar jean untuk tampak lebih muda dan berani.
Apa yang penting adalah keyakinan ketika memperagakannya ke masjlis-majlis keraian.
Tas tangan corak batik yang dijinjing ketika menghadiri acara santai bersama rakan-rakan memberi sisi istimewa dan unik kepada anda. Pasti lirikan mata teman-teman tertumpu kepada beg itu kerana keunikan motif batik yang melingkari setiap sudut rekaannya.
Selain daripada butik utama Karyaneka di Kompleks Kraf Jalan Conlay, produk-produk mereka juga terdapat di 11 cawangan seluruh Malaysia.
Antaranya BB Plaza, kios MidValley, KL CityWalk, Bangunan Kraftangan Jalan Tun Perak dan Kompleks Kraftangan Langkawi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: