Thursday, October 11, 2012

Idea remaja perbaiki persekitaran


PARA pelajar dan guru SMK Wangsa Melawati gembira kerana usaha yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu menerima pengiktirafan dalam program TrEES.


IDEA melaksanakan projek penanaman pokok buluh di sepanjang pagar sekolah yang menghadap Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) membawa tuah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wangsa Melawati, Kuala Lumpur apabila dinobatkan sebagai juara program Young Voices for Conservation (YV4C).
Kejayaan itu memberi makna besar kepada pasukan sekolah tersebut yang berjaya membawa pulang hadiah utama bernilai RM9,000.
Menurut wakil pelajar SMK Wangsa Melawati, Jie Xie, 16, mereka amat berbangga dengan kemenangan yang diperoleh dan ia menjadi bukti usaha gigih yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu mendapat pengiktirafan.
“Usaha menanam pokok buluh di sepanjang pagar sekolah merupakan idea pasukan yang terlibat dalam program pemuliharaan ini. Kami berharap dalam dua tahun akan datang, ia akan hidup subur sekali gus menjadi penghadang antara sekolah dan MRR2 yang sentiasa sibuk dengan kenderaan,” kata pelajar tingkatan empat itu sambil tersenyum.
Masalah alam sekitar
Program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Treat Every Environment Special (TrEES) itu merupakan inisiatif mereka untuk meningkatkan kesedaran kepada generasi muda dalam usaha mengurangkan masalah berkaitan alam sekitar yang semakin serius.
Dilaksanakan dengan kerjasama AffinBank, YV4C berjaya mengumpul lebih 500 orang pelajar dari 42 buah sekolah di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bertekad untuk mengatasi masalah alam sekitar di sekolah masing-masing.
Daripada 42 buah sekolah yang menyertai program tersebut, 12 pasukan dipilih untuk menerima bantuan kewangan pemula sebanyak RM300 bagi melaksanakan idea mereka. Bagaimanapun, hanya lapan sekolah berpeluang ke pusingan akhir yang diadakan di Dewan Komuniti DBKL, Bangsar pada Khamis lalu.
Ia terdiri daripada SMK Wangsa Melawati, SMK USJ 8, SMK Batu Lapan Puchong, SMK Seksyen 3 Bandar Kinrara, SMK Seri Serdang, SMK Agama Maahad Hamidiah, SMK Cheras Jaya dan SMK La Salle, Klang.
“YV4C boleh diumpama sebagai satu saluran yang membolehkan golongan belia mengungkap tenaga dan kreativiti muda mereka sambil mencuba idea dalam persekitaran yang tertumpu dan selamat. Melalui peluang ini, mereka mendapat hak bersuara dan semangat mengusahakan pemuliharaan.
“Mereka telah menempuh perjalanan yang jauh apabila mengubah idea menjadi realiti. Projek yang dilakukan amat berkesan kerana ia diusahakan oleh pelajar untuk pelajar,” kata Pengarah TrEES, Leela Panikkar ketika berucap semasa upacara penyampaian hadiah.

MEMANFAATKAN sumber air hujan menjadi teras projek warga SMK La Salle.


Melalui program tersebut, sekolah-sekolah yang terlibat berjaya mengumpulkan lebih daripada 80 tan bahan yang boleh dikitar semula seperti kertas, plastik, tin, kotak minuman dan minyak masak yang sudah digunakan. Untuk itu, lebih RM20,000 dapat dikutip untuk sekolah mereka.
Tempat kedua dimenangi SMK Cheras Jaya yang tampil dengan projek Membaik Pulih Taman Sumber Sains. Pasukan itu telah bekerja keras mengubah taman usang yang menjadi lokasi pembiakan nyamuk kepada sebuah taman yang subur dan menghijau.
Ia berjaya menyatukan komuniti sekolah dengan semangat untuk memulihara alam sekitar. Kemenangan itu membolehkan mereka menerima wang tunai bernilai RM6,000.
Tempat ketiga pula menjadi milik SMK La Salle melalui projek Kuasa Tukang Paip iaitu memasang sistem rintis tadahan air hujan di sekolah bagi mengurangkan penggunaan air dan meningkatkan kesedaran terhadap sumber air. Mereka memperoleh wang tunai bernilai RM3,500.
Merit khas
Selain itu, tiga buah sekolah turut dipilih menerima anugerah merit khas yang membawa hadiah wang tunai RM500. Sekolah-sekolah itu ialah SMK USJ 8 bagi aspek Laporan Kewangan Terbaik, SMK Batu Lapan Puchong (Penglibatan Komuniti) dan SMK Seksyen 3 Bandar Kinrara ( Informasi dan Teknologi Maklumat).

WARGA SMK Seksyen 3 Bandar Kinrara memilih daun pisang sebagai ganti pinggan plastik.


Program ini mengajar para pelajar menjadi matang melalui proses transformasi diri. Pembinaan sahsiah, kerja berpasukan, perancangan teliti dan pengurusan kewangan terbaik merupakan antara pengajaran yang telah diperoleh.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Operasi AffinBank, Sharifuddin Mohamad berkata, kebolehan menguruskan kewangan dengan baik merupakan kemahiran yang mengambil masa sepanjang hayat untuk dipelajari oleh sesetengah orang.
“Kami percaya bahawa cara terbaik untuk mengajar anak-anak adalah dengan menunjuk dan bukan sekadar memberitahu. Justeru, program TrEES mampu membuka mata pelajar sekolah ini agar menyedari nilai seringgit secara amali, jauh sebelum mereka bekerja dan memperoleh pendapatan sendiri,” ujar beliau.
YV4C dijalankan dengan kelulusan Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pendidikan yang berkaitan. Selain itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), yang menguruskan sumber air Selangor, turut bekerjasama dengan TrEES dalam program tersebut.
Untuk maklumat lanjut, layari laman facebook.com/YV4C.TrEES atau www.trees.org.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: