BURGER dibakar di atas arang.
Namun ada sesuatu yang menarik perhatian penulis serta pelanggan-pelanggan yang sanggup datang dari jauh terhadap Rawang Burger Bakar yang beroperasi di Seksyen 5, Pusat Bandar Wangsa Maju ini.
Aroma daging kisar yang dibuat sendiri oleh pemilik gerai lalu dibakar menggunakan kayu arang membuatkan penulis tidak sabar menikmatinya.
Sekali gigitan pada daging lembu berserta daging salai yang diberi nama Ombak Rindu, terasa kepadatan daging tersebut yang kurang tepung berbanding sesetengah daging burger lain.
Teksturnya yang tidak kering membuatkan rasa daging itu masih kuat, umpama menikmati potongan stik lembu, berbaloi dengan harganya.
Cerita pengasas serta pengusaha Rawang Burger Bakar, Fadzil Mohd Halime, antara rahsia keenakan daging burger di tempatnya ia dibakar menggunakan bara kayu arang.
"Majoriti penjual burger menggunakan dapur gas iaitu 'hot plate' atau 'larva stone' yang membuatkan ia sedikit kering.
"Penggunaan kayu arang membuatkan jus daging masih banyak sekali gus mengeluarkan aroma berbeza yang menyelerakan.
"Sama seperti konsep ikan bakar, ia lebih enak dibakar menggunakan kayu arang berbanding dapur gas," ujarnya yang bakal mempunyai 30 francais Rawang Burger Bakar di serata Malaysia tidak lama lagi termasuk di Melaka, Kuantan dan Terengganu.
Selain itu, keistimewaannya turut terletak pada daging import berkualiti yang dikisar sendiri setiap hari menggunakan resipi sendiri.
Kesemua pengusaha francais Rawang Burger Bakar yang disertai dengan bayaran hanya RM1,500 akan mengambil ramuan daging kisar yang segar ini daripadanya.
Kesemua 10 jenis burger bakar tersebut dijual pada harga dari RM7 hingga RM20 iaitu burger bakar KLCC yang merupakan tiga lapis daging burger bakar.
Antara yang istimewa di Rawang Burger Bakar, Madu Tiga iaitu burger yang mengandungi ayam, daging serta udang yang memberikan rasa unik pada campuran tersebut.
Gabungan rasa daging ayam dan udang menerusi burger Isabella turut bakal membuatkan anda ketagih dengan rasa hidupan laut dan darat dalam bentuk burger itu.
KLCC turut menarik perhatian melihat kepada ketinggian burger yang dilapisi dengan tiga lapis daging burger. Jangan lupa menggembirakan perut anda dengan kehangatan rasa Burgembira yang disaluti sos lada hitam.
dah rase RAWANG BURGER BAKAR, tp rase muak n x abis pon makan.. sori lah bro, tetap xdapat challenge kaw kaw
ReplyDelete