Monday, October 1, 2012

Rekaan penghapus skeptikal batik


GAYA bersahaja namun unik cuba diterapkan pereka tempatan agar anak-anak muda tertarik dengan persalinan berkonsep batik.


WASWAS dan ketinggalan zaman barangkali perkataan terbaik bagi menggambarkan persepsi anak-anak muda terhadap persalinan bercirikan batik.
Kerapkali kelompok belia menolak penggunaan pakaian yang menggunakan tekstil tradisional tersebut gara-gara enggan dilabel sebagai kolot atau terlalu konservatif.
Ironinya, seluas mana sekalipun promosi atau usaha badan-badan tertentu mengangkat batik ke peringkat global, ia masih gagal menarik minat remaja tempatan yang sepatutnya menjadi penyambung legasi agung tersebut.
Bertempat di Kolej Universiti SEGi, Kota Damansara, Selangor, pelajar tahun akhir jurusan Fesyen dan Tekstil dengan kerjasama fakulti Pengajian Komunikasi telah menganjurkan kempen I Heart Batik baru-baru ini.
Kempen yang bermula pada penghujung Jun sehingga awal Julai lalu itu bertujuan menukar perspektif anak-anak muda terhadap pemakaian batik. Mereka cuba menggalakkan generasi muda menerima batik sebagai pakaian tradisi yang wajar dibanggakan.
Kempen peringkat universiti tersebut dilihat sebagai permulaan positif dalam membina kecintaan kelompok remaja terhadap batik khususnya batik yang melalui aspek pemodenan dari segi rekaan.
Devaraj Balakrishnan, 21, mengakui kesukaran golongan muda mengadaptasi batik sebagai persalinan kasual. Pelajar tahun dua jurusan ijazah sarjana muda komunikasi massa (penyiaran), Kolej Universiti SEGi itu sendiri melihat kelemahan transformasi fabrik itu menjadi persalinan moden.
Tidak rasa malu
“Generasi muda tidak mahu memakai batik tradisional yang sedia ada kerana ia tidak menepati cita rasa zaman sekarang. Kami sebenarnya bangga dengan batik kerana ia antara lambang warisan negara yang tidak ternilai.
“Maka, menerusi pemodenan batik dengan rekaan-rekaan yang segar dan trendy mampu menarik minat kami sekali gus menghilangkan rasa malu apabila menyarungkannya ke acara santai,” ujarnya.
Menyarungkan kemeja formal yang digabungkan dengan perca batik di bahagian lengan dan tali leher batik, penampilan Devaraj boleh diklasifikasikan sebagai pemecah stereotaip. Digandingkan pula bersama seluar pendek rona merah dan gaya rambut unik mencipta gaya moden yang mampu menjadi kegilaan jejaka muda.
Persalinan hasil kreativiti pereka meningkat naik, Fairuz Ramdan itu mengubah komposisi fikiran Devaraj terhadap batik. Pembentukan batik moden tersebut dirasakan bersesuaian dengan peredaran zaman masa kini.
“Pertama kali melihat kemeja ini, saya tidak sangka batik boleh diolah menjadi pakaian moden dan memenuhi cita rasa anak muda,” tambah Devaraj yang dipilih sebagai salah seorang model bagi memperagakan pakaian-pakaian berkonsep batik sentuhan sekumpulan pereka Bumiputra Designers Association (BDA).
Inspirasi besbol
Fairuz mendedahkan, penghasilan kemeja tersebut tidak sukar jika ia digabungkan dengan material yang tepat. Dapat dilihat bahagian tengah dan kolar kemeja itu diperbuat menggunakan kain kemeja biasa dan diadunkan bersama kain batik cop bagi membentuk bahagian lengan.
“Kedua-dua kain tersebut daripada fabrik kapas dan saya menggunakan teknik patchwork bagi menggabungkan empat jenis kain batik untuk membentuk lengan kemeja dan tali leher tersebut.
“Inspirasi kemeja itu saya peroleh berdasarkan potongan lengan baju pemain besbol. Disebabkan itu, ia dipotong serong dari kolar ke bahagian ketiak,” jelas Fairuz yang sedang sibuk menyediakan rekaan baharu untuk dipentaskan pada Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFW) 2012 yang dijangka berlangsung menjelang November depan.
Memahami jiwa anak muda yang tidak menggemari batik tradisional, Fairuz menyatakan elemen-elemen menarik dari segi potongan, warna dan adunan material yang sempurna berupaya menarik kelompok tersebut.
Mungkin perkembangan trend sebegitu masih belum wujud namun ia bukan sesuatu mustahil untuk dilakukan.
Katanya: “Budak-budak tidak akan sekali-kali keluar berjalan-jalan ke KLCC, Bukit Bintang atau mana-mana kawasan tumpuan ramai dengan berpakaian baju batik formal. Gaya itu tidak kena dengan umur dan pemikiran mereka.
“Jadi, menjadi tanggungjawab kami sebagai pereka tempatan menggunakan kreativiti yang ada bagi menghasilkan batik moden yang dapat mengisi keinginan mereka.”
Skirt pendek batik
Bagi seorang lagi pereka yang terlibat dalam acara tersebut, Hasfitri Yusof, 25, rekaan dres mini dengan skirt pendek batik nyata mencuri tumpuan awam. Menggunakan warna kegemarannya, merah sebagai penata utama, hasil kerja Hasfitri sangat molek membaluti tubuh model remaja yang memperagakan pakaiannya.
Paduan renda bersulam bersama batik adalah langkah bijak yang dilakukan Hasfitri. Ia mewujudkan sehelai busana yang mewakili personaliti remaja. Batik yang seringkali menjadi pilihan mereka yang berusia kini tampak segar apabila dijadikan skirt pendek yang dijahit menerusi teknik draping.
Sehelai lagi persalinan kreatifnya menggunakan gabungan fabrik denim dan batik. Dominasi warna biru mungkin memberi sedikit masalah kepada Hasfitri bagi menyesuaikan material. Namun, pemilihan corak dan potongan tepat menghasilkan busana yang di luar jangkaan ramai.
Jelas Hasfitri, sebanyak dua helai kain batik cop atau kira-kira empat meter kain tersebut digunakan bagi menghasilkan dua persalinan berkonsep batik moden itu. Hasilnya amat mengagumkan dan sempurna digayakan si gadis untuk ke acara santai atau minum petang bersama sahabat.
“Penggunaan warna penting dalam mencorakkan gaya batik moden. Orang muda sukakan warna terang dan garang kerana ia menyerlahkan sisi ranggi mereka. Mereka tidak suka batik yang terlalu sarat dan batik yang sering dipakai golongan berusia.
“Tambahan pula kain batik yang digunakan adalah daripada material kapas dan mampu memberikan keselesaan berpanjangan. Corak-corak menarik seperti bunga tidak sekata pada kain tersebut menambahkan lagi seri persalinan ringkas tersebut,” katanya.
Pakaian harian
Jelas Hasfitri, kita perlu memperbanyakkan rekaan batik moden sebegini agar golongan remaja lebih menghargai warisan negara dan bangga memakainya sebagai pakaian harian,” kongsi Hasfitri yang telah mula menerima tempahan bagi menghasilkan dres batik kapas.
Disebabkan kekangan gaya, remaja perempuan hanya memilih batik ketika melaram bersama kebaya. Akibatnya, skop penggunaan batik dirasakan terhad dan seperti tidak boleh diperluaskan membentuk busana lain.
Tambah Hasfitri, batik mempunyai jaminan masa depan yang cerah dalam industri fesyen tanah air sekiranya pemodenan dilaksanakan dengan hebat. Setakat ini, rekaan batik moden ciptaan pereka prolifik, Tom Abang Saufi antara yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat tempatan.
Dalam pertunjukan fesyen I Heart Batik tersebut. Pereka-pereka tempatan lain seperti Amir Luqman, Azmir Gafar, Hazree Wahid, Melvin Shah, Ramond Zack, Wanpa, Zattera Apparel dan Nabella turut mengambil bahagian dalam pertunjukan fesyen I Heart Batik tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: