Sunday, October 7, 2012
Budak otak geliga
SEORANG remaja perempuan Britain, Olivia Manning, 12, berjaya diterima menganggotai komuniti darjah kecerdasan otak (IQ) tinggi tertua di dunia, Mensa, selepas dia didapati lebih bijak daripada saintis legenda, Albert Einstein dan pakar fizik dan matematik terkenal, Stephen Hawking.
Dia yang berasal dari Liverpool itu memperoleh 162 mata dalam ujian IQ, iaitu di atas purata 100 mata.
Pencapaian yang diperolehnya itu bukan sahaja dua mata lebih tinggi daripada Einstein dan Hawking, tetapi juga meletakkannya dalam kalangan satu peratus manusia yang paling bijak di dunia.
Einstein pernah menggoncang dunia dengan penemuan teori Relativiti manakala Hawking menghasilkan teori Lubang Hitam.
Dalam ujian kecerdasan yang dijalaninya, Olivia menewaskan pencabar terdekatnya, Lauren Gannon, 12, yang turut diterima masuk ke Mensa dengan skor 151.
Selepas disahkan sebagai genius, Olivia kini menjadi terkenal persis seorang selebriti di sekolahnya, Akademi Liverpool Utara di Everton.
“Ramai orang datang menemui saya untuk meminta bantuan menyelesaikan kerja sekolah mereka dan saya juga sememangnya sukakan cabaran yang boleh membuatkan otak saya terus berfikir.
“Saya akui mempunyai cara untuk cepat memahami dan mengingati sesuatu maklumat baharu.
“Saya juga terkejut melihat keputusan ujian IQ itu,” ujarnya yang menetap di Norris Green.
Seorang guru, Stacey Meighen dengan nada bergurau berkata, mereka kini diberi kerja tambahan yang perlu dilakukan.
Pengetua Mensa, Kay Askew memberitahu, kejayaan Mensa menunjukkan pelajar yang mendapat sokongan betul boleh menjadi cemerlang dan terbaik di dunia.
Sebelum ini, seorang kanak-kanak, Heidi Hankins, 4, juga diterima masuk ke Mensa kerana mencatatkan IQ tinggi seperti Hawking.
Pada usia dua tahun, Heidi boleh mengira sehingga nombor 40, melukis gambar, membaca puisi dan membaca buku-buku yang biasanya dibaca oleh seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun.
Dalam tempoh setahun, Heidi telah mengetahui operasi tambah dan tolak dalam matematik. Dia menjadi ahli termuda Mensa.
Heidi menjalani ujian IQ Wechsler yang menggunakan kaedah teka-teki dalam mengukur potensi intelek kanak-kanak.
Seorang pakar, Dr. Hankins berpendapat, IQ yang dimiliki Heidi sangat luar biasa.
“Saya mendapatkan set lengkap Oxford dan dia membaca keseluruhan set dalam masa sejam.
“Heidi benar-benar telah berkembang lebih cepat daripada kanak-kanak lain.
“Dia tidak cepat matang kerana dia juga seperti kanak-kanak lain sebayanya yang menggemari patung Barbie tetapi jika diperhatikan, pasti anda akan perasan dia duduk dan membaca buku,” ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: