Thursday, October 25, 2012

Bercerai di usia tua

WALAUPUN rumah tangga yang dibina sudah memasuki separuh abad, tetapi itu bukan satu jaminan untuk perkahwinan itu kekal sehingga ke penghujung usia.
Tempoh tersebut bukanlah satu jangka masa yang pendek kerana pelbagai dugaan dan cabaran hidup perlu dilalui setiap pasangan suami isteri.
Begitulah yang berlaku kepada Azura (bukan nama sebenar), 56, apabila terpaksa bercerai pada usia perkahwinannya telah mencecah lebih 30 tahun.
Tambahan ketika itu, kesemua anak-anaknya telah berjaya memasuki universiti dan mendapat pekerjaan yang baik.
Azura dan suaminya juga telah dikurniakan lima orang cucu.
Jelas Azura, pada usia perkahwinan menjelang 25 tahun, dia dan suaminya pernah bercerai untuk beberapa bulan. Mereka mengambil keputusan untuk merujuk kembali kerana tidak ingin hubungan yang dibina berakhir begitu sahaja selain memikirkan usia perkahwinan mereka yang sudah lama.
Bercerita mengenai perjalanan hidupnya, sebagai seorang isteri, Azura telah banyak bersabar dengan perangai dan kerenah suami yang panas baran.
Azura berkata, mereka berkahwin atas pilihan keluarga. Ketika itu masing-masing masih muda. Dia menerima sahaja pilihan ibubapanya kerana yakin pilihan tersebut adalah terbaik untuknya.
"Hidup dalam rumah tangga pasti ada pasang surut. Kesabaran yang tinggi perlu ada untuk menghadapi semua dugaan yang mendatang.
"Mengenali suami sebagai anak ketiga dalam keluarganya, dia seorang yang bertanggungjawab, tetapi dalam pada masa yang sama mempunyai sikap panas baran," katanya.
Katanya, suaminya yang bertugas sebagai seorang tentera adalah seorang yang tegas dan garang sehinggakan perwatakannya itu terbawa-bawa dalam rumah tangga.
"Sikap mudah baran menyebabkan suami saya ini sering melenting apabila ada perkara yang dia rasa tidak puas hati.
"Pernah beberapa kali saya dipukul jika berlaku pertengkaran antara kami. Kadang-kadang anak yang tidak bersalah juga menjadi mangsa," katanya.
Ujarnya, selain garang, suaminya juga seorang kaki botol. Pernah beberapa kali dia pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan mulut berbau arak.
"Bukan tidak pernah saya mempersoalkan perangainya itu, tetapi setelah beberapa kali ditengking dan dimarahi menyebabkan saya takut untuk mempertikaikan perangainya itu.
"Bukan itu sahaja dugaan yang perlu saya terima, saya juga pernah dikhabarkan, suami saya pernah berkahwin lain dengan seorang wanita di utara tanah air.
"Pernah saya menyoalnya tentang berita tersebut, tetapi dia tidak mengakuinya," tambah Azura lagi.
Azura berkata, pada waktu itu ingin sekali dia meminta cerai dari suaminya, tetapi apabila memikirkan nasib anak-anak, dia terpaksa pendamkan sahaja perasaan itu.
"Segala masalah yang dihadapi saya pendamkan seorang diri demi melihat anak-anak berjaya dan membesar dengan baik.
" Bukan anak-anak tidak mengetahui tabiat ayah mereka itu, tetapi mereka sudah lali dan tidak mahu memperbesarkan lagi masalah yang sedang ditanggung," katanya.
Tambah Azura, dia pernah bersyukur apabila semakin meningkat usia, suaminya mula meninggalkan tabiat kaki botol.
"Selepas suami saya pencen, banyak juga masa kami habiskan bersama. Sifatnya juga semakin hari semakin berubah kecuali sifat barannya yang tidak pernah surut," katanya.
Harapkan langit cerah sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari, kata Azura. Segala-galanya berubah selepas sebulan keluarganya menyambut Syawal pada tahun lepas.
"Hubungan yang saya pertahankan lebih 30 tahun akhirnya terputus juga apabila suami telah menceraikan saya dengan talak satu.
"Dia tidak dapat mengawal marahnya ketika itu hanya kerana pertengkaran kecil dan dengan mudah dia melafazkan talak," katanya.
Azura menambah, perasaan sedih tidak dapat dibendung ketika itu.
"Sepatutnya dalam usia seperti ini, kami banyak masa habiskan masa bersama mendekatkan diri kepada Allah dan hidup gembira bersama keluarga.
"Namun sebaliknya berlaku. Saya pasrah dengan musibah ini kerana saya tahu mesti ada hikmah di sebalik setiap kejadian," katanya mengakhiri bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: