Wan Rashidah
Wann atau Wan Rashidah kini
Wann Lamunan Hati
Wann Lamunan Hati
Pernah popular di sekitar era 80 an dengan lagu, Lamunan Hati dan Terlerai Kasih, nama Wan Rashidah, 42, atau lebih dikenali sebagai Wann sememangnya mendapat perhatian ramai.

Namun, selepas membuat keputusan  mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihan, Thazah Hamzah, 49, dunia seninya berubah dan utamakan keluarga.

Walaupun ketika itu namanya   berada di puncak, namun dia harus mengorbankan satu daripadanya untuk memenuhi tuntutan sebagai isteri.

Namun, kecintaan terhadap dunia seni tidak pernah pudar. Lama menyepi dalam dunia nyanyian, tidak bermakna Wann melupakan industri yang pernah menjadi periuk nasinya satu ketika dulu.

Malah, akui Wann, dia masih mengikuti perkembangan industri muzik yang lama ditinggalkan.

“Menyanyi adalah minat saya sejak dahulu lagi. Walaupun saya sudah lama menyepi, tidak bermaksud saya melupakan bidang ini, malah sering  ikuti perkembangan terkini dunia hiburan.

“Apa yang saya lihat sekarang, zaman sudah berubah dan industri sudah berkembang pesat dengan kehadiran muka-muka baru yang berbakat.

“Ia satu perkembangan yang baik kerana masing-masing bersaing secara sihat untuk mengukuhkan karier mereka. Cuma, mereka harus bekerja keras untuk mencipta kelainan dan berpegang pada identiti sendiri,” katanya yang memiliki lebih 10 album solo sepanjang penglibatannya.

Masih terima undangan

Dikurniakan sebuah keluarga bahagia dengan kehadiran sepasang cahaya mata, Mohamad Israfael, 17, dan Natasha, 15, Wann tidak pernah menyesali pilihannya walaupun kini dirinya jauh dari dunia glamor.

Malah, menurut Wann, dia kini mula memenuhi undangan nyanyian di sekitar Singapura dan Malaysia.

“Dulu, memang tidak terlibat langsung dunia nyanyian kerana fokus keluarga dan anak-anak. Namun, kini anak-anak besar dan boleh ditinggalkan.

“Ketika itu, saya masih mendapat tawaran pelbagai pihak untuk merakam album baru. Namun saya masih tidak yakin untuk kembali serius kerana untuk merakam album, memang memerlukan komitmen yang tinggi.

“Lagipun, saya sudah menetap di Singapura dan sukar berulang-alik ke ibu kota,” katanya yang pernah disenaraikan sebagai artis pilihan paling banyak mengadakan persembahan pentas.

Bukan sahaja dalam bidang nyanyian, malah Wann turut mencuba nasib dalam lakonan apabila muncul dalam filem, Jaket Biru dan penyanyi dalam Pelumba Malam.

Mula terlibat dalam industri seni sebagai artis rakaman pada tahun 1988, Wann mengakui minatnya dalam seni suara bermula sejak usia 10 tahun lagi.

“Ketika itu, saya amat meminati lagu-lagu dendangan Datuk Sharifah Aini, Datuk Khatijah Ibrahim dan Uji Rashid.

“Selepas itu, saya memberanikan diri menyertai persembahan nyanyian anjuran persatuan masyarakat Teluk Intan. Ketika itu, saya terpaksa bersaing dengan penyanyi, Jamal Abdillah dan adiknya Jamilul Hayat.

“Bermula dari itu, saya mendapat pendedahan menyanyi di studio. Orang yang naikkan saya sebagai artis rakaman ialah, Shidee dan abangnya Azmi,” katanya yang mula menandatangani kontrak bersama Suara Cipta Sempurna (SCS) pada 1988.

Wann pernah diundang menyanyi album lagu drama Cina bagi siaran televisyen yang dialih bahasakan bersama penyanyi SCS yang lain.

Rahsia keharmonian rumah tangga

Hampir dua dekad mendirikan rumah tangga, Wann turut disenaraikan sebagai selebriti yang berjaya mengekalkan keharmonian keluarga.

Berkongsi rahsia kebahagiaan itu, Wann memberitahu dalam hubungan kekeluargaan, perlu  sabar dan sentiasa beristighfar.

“Saya bangga kerana berjaya menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak.

“Saya tidak menyesal  meninggalkan nyanyian sebelum ini kerana pengalaman yang paling indah dapat melihat anak-anak membesar depan mata.

“Walaupun saya penyanyi,  tetap menggalakkan anak-anak beri tumpuan dalam  akademik yang menjamin masa depan mereka,” katanya yang amat mementingkan penjagaan makanan sejak kebelakangan ini.