Sunday, October 21, 2012

Ikka Razman lamar Nash


IKKA mengimpikan penyanyi Nash.


IKKA RAZMAN bukanlah orang baharu dalam dunia nyanyian. Pengalaman selama 15 tahun dalam bidang muzik jika dihitung sudah cukup untuk meletakkan dirinya sebaris nama penghibur lain.
Namun, dia yang tujuh tahun menjadi penyanyi utama bersama kumpulan Gelombang Biru, Kombo Tentera Laut Diraja Malaysia itu masih mencari-cari tapak.
Anak kedua daripada enam beradik yang baru sahaja tampil dengan sebuah album mini berjudul Ikka Razman itu bagaimanapun enggan kesal kerana tidak dikenali.
"Benar, nama saya masih samar di kalangan peminat. Saya agak pelik juga kerana ramai yang mengenali lagu-lagu saya seperti Aku Pelik dan Hawa yang sering diputarkan di radio, tetapi mereka sering tertanya-tanya siapakah Ikka Razman," katanya yang mengakui payah untuk menjenamakan dirinya.
Dalam perkembangan sama, Ikka kini dalam usaha melamar penyanyi Nash untuk terlibat berduet dalam lagu terbaharunya.
"Itu untuk projek seterusnya. Lagu pun sudah disiapkan, tetapi sehingga kini kami masih lagi dalam proses perbincangan.
"Jika tiada aral, Insya-Allah impian saya (untuk berduet dengan Nash) akan menjadi kenyataan," kata pemilik nama penuh Fatimah Rani itu.
Selain sibuk menerima undangan nyanyian di serata Malaysia, Ikka juga mendapat jemputan mengadakan persembahan di negara jiran, Brunei.
"Walaupun sudah lama bertapak dalam dunia nyanyian, tetapi rezeki untuk keluar negara akhirnya tercapai apabila orang Brunei menerima lagu-lagu saya," kata anak kelahiran Lumut, Perak itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: