Sunday, October 21, 2012

Randy pendatang berlesen



KEDEWASAANNYA terserlah, bukan sahaja daripada sudut lakonan tetapi penampilan fizikalnya. Ketampanan Randy yang dilihat semakin matang menyebabkan dia menjadi perhatian ramai. Ramai mulai jatuh cinta dan semakin ramai juga yang mula suka melihat penampilannya kini yang sudah meninggalkan sisi cilik.
Kini, Randy Pangalila kembali menerjah mata khalayak. Usai dia berdampingan dengan Elfira Roy untuk Mimpi Sampai Ke Bintang, gandingan yang direstui peminat ini kembali untuk drama dengan tajuk Dalam Hati Ada Taman. Drama arahan Michael Ang dan Amor Rizan ini bakal ditayangkan pada 29 Oktober ini pada pukul 9.30 malam di saluran Astro Ria (104).
Selain daripada Randy dan Elfira, drama 13 episod terbitan Cube Film Sdn. Bhd. ini turut menampilkan barisan artis terkemuka seperti Amy Mastura, Riezman Khuzaimi, Amar Asyraf, Hanez Suraya, Sharifah Sakinah dan Didie Alias.
Menurut Randy, faktor keselesaan membuatkan dia gembira bekerja dengan tenaga produksi Cube Films di bawah pimpinan Michael.
“Saya rasa lebih tenang bekerja dengan Michael kerana dia melayan pelakonnya seperti kawan-kawan dan kita juga bebas memberi idea.
“Jika di Indonesia, hari ini kita lakukan penggambaran, esok sudah ditayangkan di televisyen dan saya sendiri memang tidak pernah lihat hasil lakonan saya.
“Peminat dan media di sini juga lebih tenang dan tidak agresif seperti di sana (Indonesia),” ujar anak kelahiran Surabaya itu.
Randy memberitahu, dia memperoleh pendapatan yang lebih lumayan di Indonesia.
“Jika mengikut bayaran pula, bayaran yang diterima di Indonesia lebih lumayan kerana kami menerima bayaran setiap hari. Ini kerana penggambaran dilakukan dalam tempoh yang lama sehingga boleh mencecah setahun atau dua tahun,” katanya.
Menyentuh tentang isu kerja, nama Randy tidak terkecuali diusik dan menjadi pertikaian Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi. Kehadiran Randy yang berpeluang muncul di program khas Randy! Oh My Raya yang didakwa dilakukan tanpa prosedur yang betul.
Menghadap isu tersebut buat Randy, dia tidak sedikit pun berkecil hati dan menganggap segala yang berlaku sebagai satu salah faham.
“Saya melihat isu ini sebagai satu salah faham sahaja. Jadi saya tidak mahu memperbesarkan isu ini. Sebenarnya, Micheal telah mendapatkan semua kelulusan untuk saya berlakon di sini kerana bagi saya itu perkara paling utama buat diri saya.
“Sebelum hadir ke Malaysia untuk berlakon, soalan pertama yang saya ajukan ialah berkenaan keizinan (untuk) berlakon di sini (Malaysia).
“Ini kerana saya sedar saya pelakon luar dan tidak mahu menjadi seperti pendatang. Saya rasa semuanya telah jelas dan permasalahan ini hanyalah salah faham,” jelas Randy mengirai kekusutan ramai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: