Monday, October 22, 2012

Ibu cantik, sihat

Para peserta peraduan Glowing Youthful Mother 2012 yang menyertai kem kecantikan sebagai persedian untuk pertandingan akhir.
MEMPERKASA wanita sebagai duta kesihatan bagi keluarga dan masyarakat di samping memupuk kesedaran tentang kesihatan hati, jantung, sendi dan kulit merupakan objektif utama peraduan Glowing Youthful Mother 2012.
Dianjurkan buat kali kedua, Mega Lifesciences, sebuah syarikat yang komited dalam meningkatkan kesihatan umum dan peneraju dalam bidang kesihatan kulit mencari calon ibu hebat selain memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang gaya hidup sihat, pengambilan diet seimbang serta kepentingan mikro nutrien bagi menjamin kesihatan fizikal yang lebih baik.
Sebenarnya bukan mudah mencari seorang individu yang bukan sahaja mempunyai personaliti menarik dan berkeyakinan tinggi tetapi juga faham tentang penjagaan kesihatan diri yang sebenar.
Menurut Pengarah Serantau Mega Lifesciences Sdn. Bhd., Sudhir Gandhi, peraduan tersebut merupakan platform terbaik untuk para ibu diberi kesedaran dan mendidik wanita tentang konsep anti-penuaan serta berkongsi rahsia untuk kelihatan muda dan remaja melalui pengambilan nutrisi yang betul bagi memangkin kesihatan dalaman kulit.
Katanya lagi, sejak dilancarkan pada awal Mei lalu, pihaknya telah menerima beribu borang penyertaan oleh para ibu di seluruh negara yang berusia di antara 30-an hingga 60-an melalui laman sosial facebook www.facebook.com/glowforever serta laman sesawang rasmi peraduan www.gymc.com.my.
"Peraduan ini bukan sahaja bertujuan mencari calon ibu hebat tetapi turut mencari seorang ibu yang sentiasa sihat dari segi luaran dan dalaman.
"Pada masa yang sama, mereka (calon ibu) juga bukanlah yang hanya tertumpu kepada suatu elemen kesihatan sahaja tetapi turut meliputi aspek penjagaan jantung, hati, sendi, dan kulit di mana ia adalah antara tunjang utama kesihatan yang harus diberikan tumpuan dan penjagaan yang rapi.
"Ini kerana senario di mana kebanyakan wanita selepas berkahwin, mereka akan mengabaikan kesihatan diri kerana sibuk dengan tanggungjawab dan aktiviti harian," ujarnya ketika ditemui pada kem kecantikan untuk 26 peserta yang disenarai pendek di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah beliau, peraduan tersebut merangkumi pelbagai sesi menarik antaranya sesi temu duga, kem ratu cantik merangkumi sesi kesihatan dan yoga, latihan catwalk dan sesi penata gayaan diri yang diselia oleh pakar dalam lapangan masing-masing.
Setiap peserta akan diadili pada setiap pusingan sehinggalah pusingan kelapan di mana hanya lapan peserta akan disenarai pendek untuk ke peringkat seterusnya.
Akhir sekali daripada jumlah tersebut hanya tiga peserta yang akan meneruskan ke peringkat akhir untuk menentukan juara, naib juara dan juga tempat ketiga.
Bagaimanapun kesemua mereka ini akan diadili pada Malam Gala Glowing Youthful Mother Contest 2012 yang bakal berlangsung pada 3 November ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Hadiah keseluruhan yang ditawarkan bernilai RM50,000 serta barangan tajaan penaja dan kesemua peserta akan dinilai para juri profesional seperti Amber Chia, Daphne Iking, Noniswara Baharuddin dan Bon Zainal.
Pemenang utama Glowing Youthful Mother 2012 bakal memenangi wang tunai bernilai RM25,000, tempat kedua RM10,000, manakala tempat ketiga RM5,000.
Dalam pada itu, kem kecantikan yang diadakan seminggu sekali selama sebulan diadakan bertujuan untuk persediaan kepada para peserta yang telah disenarai pendekkan.
Melalui kem tersebut, para peserta bukan sahaja akan didedahkan dengan pelbagai tip mengenai kesihatan yang meliputi penjagaan kulit, hati, jantung dan sendi malah mereka juga akan didedahkan dengan cara berjalan yang betul serta penampilan yang menarik dan bersesuaian dengan diri masing-masing.
Apa yang menariknya, para peserta akan diberi tunjuk ajar oleh model terkenal, Amber Chia dari sudut penampilan diri selain turut ditunjukkan senaman yang boleh membantu mereka sihat dan kekal bertenaga, yoga.
Senaman ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja tanpa mengira masa dan tempat malah ia melibatkan pergerakan perlahan yang terkawal serta melatih seluruh anggota tubuh kekal bertenaga.
Pada masa yang sama, senaman yoga juga membantu mengelakkan kesakitan yang biasanya timbul di bahagian bahu, leher, pinggang dan belakang yang disebabkan oleh kesan tegangan dan mampatan ke atas tulang belakang.
Yang pasti, yoga juga memberikan fokus dan memupuk kesedaran ke atas tubuh, postur dan pernafasan yang diamalkan dan ia sangat menenangkan dan dapat membantu menghilangkan tekanan yang dialami akibat persekitaran, pekerjaan dan permasalahan harian yang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: