|
|
NINI inginkan pekerjaan untuk menyara kehidupan selain tidak mahu terus disindir oleh adik-adiknya yang lain.
Ini kerana selepas setahun menamatkan pengajian peringkat ijazah di sebuah universiti tempatan, dia masih tidak mempunyai pekerjaan.
Setelah puas mencari kerja, buah yang ditunggu akhirnya berputik juga. Nini diterima bekerja sebagai eksekutif jualan di sebuah syarikat jualan kereta di Pantai Timur.
Dia gembira bukan kepalang kerana tidak lagi bergelar penganggur.
Dia dibayar gaji sebanyak RM900 sebulan tidak termasuk komisen sekiranya berjaya menjual kereta kepada pelanggan.
“Semestinya saya gembira lebih-lebih lagi mendapat pekerjaan di tempat kelahiran sendiri.
“Saya tidak perlu merantau jauh ke negeri lain. Kos sara hidup di situ pun rendah,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.
Pada mulanya Nini seronok menjalankan tugas seharian. Tetapi beberapa minggu selepas itu, titik hitam dalam hidupnya bermula.
Majikannya, seorang lelaki yang telah mempunyai tiga isteri dan lapan orang anak tanpa segan silu mengambil kesempatan terhadap sikap lemah lembut Nini.
Halim berumur 50-an, bertubuh pendek dan berperut buncit. Lelaki itu sering membuat isyarat lucah, bercakap kotor di samping sesuka hati memegang tubuh Nini.
“Saya terkejut dengan perubahan sikap Halim.
Sentuhan
“Sebelum ini, dia seorang bos yang berperwatakan baik tetapi tiba-tiba bertukar wajah. Dia sering bertanyakan warna coli dan seluar dalam yang saya pakai.
“Selain itu, dia akan menunjukkan isyarat lucah bahkan mengajak saya bermalam di hotel,” cerita Nini.
Keadaan bilik Halim dan Nini yang terletak di tingkat kedua premis itu yang agak terselindung daripada pandangan pekerja lain. Ini memudahkan lelaki berhidung belang itu ‘menodai’ Nini.
Tutur Nini, bukan itu sahaja perbuatan melampau majikannya.
Halim ternyata bijak memasang strategi. Dia akan meminta Nini membawakannya gelas berisi minuman, fail atau peralatan tertentu ke biliknya.
“Kesempatan itu dia gunakan untuk memegang serta meramas tangan saya. Jika saya membawa fail pula dia akan bersembunyi di tepi pintu sebelum memeluk saya dari belakang.
“Dia juga akan meramas buah dada saya dan menyentuh bahagian sulit saya sepuas-puasnya,” ujarnya.
Nini mengaku Halim pernah bertindak rakus dengan membuka butang bajunya, menanggalkan coli serta cuba memperkosanya di atas sofa di dalam bilik berkenaan.
“Tetapi saya merayu perbuatan tersebut tidak diteruskan kerana saya datang haid pada masa itu.
“Jika tidak, mahkota gadis saya pasti telah diragut oleh lelaki tidak berguna itu,” cerita Nini dalam nada geram.
Lebih menjijikkan, Halim melayan Nini bagaikan seorang pelacur. Selepas puas menyentuh tubuh wanita itu, Nini akan diberikan sejumlah wang.
Halim juga menghadiahkan Nini barangan mahal seperti jam, rantai dan gelang. Kesemua pemberian itu ditolak Nini. Dia tahu ada helah yang menunggu di sebalik kebaikan hati Halim.
Wanita malang ini juga hairan apabila gaji yang diterimanya setiap bulan lebih banyak berbanding gaji yang sepatutnya.
“Jika saya tanya pada Halim, katanya itu sebagai ganjaran kerana ‘khidmat’ yang diberikan Nini.
“Dia kerap memujuk saya untuk menjadi isteri terakhirnya. Saya dijanjikan sebuah kereta mewah dan rumah banglo tetapi pelawaan itu saya tolak kerana mengenangkan perbuatan kejinya itu,” luah Nini.
Peristiwa itu berlanjutan selama tiga bulan.
Berhenti kerja
Ketika disoal mengapa dia tidak memberitahu kejadian itu kepada pekerja lain mahupun pihak polis, Nini berkata, dia yakin individu lain akan memikirkan dia cuba mengambil kesempatan terhadap majikannya itu.
“Lagipun dia seorang yang kaya, pasti ramai akan berfikir sebaliknya,” katanya.
Akhirnya, Nini berjaya mendapat pekerjaan baharu sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.
“Halim tidak mahu saya berhenti kerja dengan menawarkan kenaikan gaji sebanyak tiga kali ganda,” jelas Nini.
Lima tahun selepas kejadian itu, Nini berkahwin dengan lelaki pilihannya. Pasangan itu kini dikurniakan seorang anak lelaki.
“Mujur suami dapat menerima keadaan saya kerana peristiwa itu telah saya ceritakan semasa awal perkahwinan kami.
“Ini kerana saya sering meracau dan mengalami mimpi buruk hampir setiap malam. Malah, saya agak tertekan dan takut setiap kali suami ingin menyentuh saya,” ujarnya.
Nini memberitahu, dia pernah terserempak dengan Halim semasa membeli-belah di sebuah pasar raya di kampung halamannya.
“Saya benci, mengapa lelaki itu masih hidup di bumi ini?” luah Nini dengan nada kesal.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: