Monday, October 15, 2012

Dilema rambut jejaka


PEMERIKSAAN awal dilakukan terlebih dulu bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi pelanggan.


SEPERTI lelaki lain, Jimmy Tai Wai Hong, 24, antara yang individu yang gemar menggunakan wax setiap hari dalam menggayakan rambutnya. Penggunaan wax membuatkan rambutnya lebih menarik dan kemas sepanjang masa.
Pada pandangan mata kasar, tekstur rambut Jimmy tampak normal. Rejim syampu dua kali sehari yang diamalkan, dirasakan cukup bagi menghalang kehadiran masalah rambut. Apatah lagi, lelaki yang bekerja sebagai pegawai pemasaran itu, mengakui mengenali tahap kesihatan rambutnya.
“Saya tahu rambut saya jenis kasar dan mengalami keguguran. Tetapi ia tidak kronik dan tidak membimbangkan.
“Namun, selepas menjalani pemeriksaan rambut, keputusannya amat mengejutkan. Siapa sangka, rambut saya kian menipis dan rupanya kulit kepala saya dipenuhi minyak yang menyekat pertumbuhan rambut baharu,” ujarnya ketika ditemui di pusat rawatan rambut 101 Hair Care, MidValley Boulevard, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berdasarkan imbasan terperinci yang dijalankan, masalah rambut Jimmy masih berada pada fasa permulaan. Namun, sekiranya ia tidak dibendung, Jimmy bakal kehilangan rambut dengan banyak sebelum mencecah usia 40 tahun.
Apabila diselidiki punca yang mendorong kepada permasalahan itu, secara amnya, wax yang digunakan Jimmy.
Selain itu, kecenderungannya terhadap makanan bergoreng dan tabiat merokok turut menjadi penyumbang.
Konsultan kanan di 101 Hair Care, Aries Lim memberitahu, keadaan kulit kepala Jimmy sangat berminyak dan ia adalah penemuan biasa memandangkan lelaki mudah berpeluh.
Berpandukan pemeriksaan ke atas liang pori pula, Aries dapat mengagak bahawa pertumbuhan rambut Jimmy bakal mengalami kemerosotan.
Kes lelaki
Menurut Aries, kebanyakan lelaki yang datang menjalani rawatan rambut adalah berumur dalam lingkungan 20 sehingga 40 tahun. Kelumumur dan kulit kepala berminyak mendominasi senarai masalah kaum Adam.
“Bagi rambut gugur, ia boleh dikesan menerusi rambut yang kian menipis. Jika anda ke salun, penggunting rambut pasti akan menyatakan hal tersebut sekiranya ia kian menyerlah.
“Rambut akan mengalami keguguran dan tidak melalui pertumbuhan baharu, mengakibatkan bahagian M (atas dahi) dan bahagian O (tengah kepala) botak secara berperingkat.
“Ia akan bermula pada bahagian pusar kepala dan merebak ke bahagian lain. Kebiasaannya, lelaki berusia 35 tahun ke atas mudah diserang masalah ini dan menjelang umur 40 tahun kepala mereka telah pun botak sepenuhnya,” demikian penjelasan Aries yang menggalakkan penggunaan syampu berasaskan herba bagi mengekang masalah tersebut.
Penyebab popular kepada permasalahan tersebut pula, majoritinya diakibatkan oleh gaya hidup. Kekurangan tidur, pengambilan minuman beralkohol, merokok, tekanan dan pemakanan menjadi antara faktor masalah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: