|
|
TANPA diduga percubaan pertamanya dengan novel bertajuk Kelabu ternyata berjaya menarik minat pembaca-pembaca novel tanah air.
Walaupun tidak sampai setahun berada di pasaran, novel tersebut telah diulang cetak sebanyak empat kali.
Menerusi karya tersebut, Nadia Mohamad Hatta, 28, atau nama penanya, Nadia Khan juga berjaya mengumpul peminatnya tersendiri.
Mengatur langkah seterusnya, Nadia Khan kini tampil dengan sebuah buku antologi Cerpen diterbitkan Buku Fixi yang telah berada di pasaran pada bulan September lalu.
Buku yang menghimpunkan 17 buah cerpen dan tiga skrip filem pendek karya tutor Fakulti Perubatan, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) itu turut diserikan dengan muka hadapan yang mampu menarik perhatian pembaca.
Bagi Nadia, dia mengklasifikasikan buku tersebut sebagai salah satu himpunan cerita rakyat yang menceritakan tentang kehidupan seharian manusia tanpa mengira darjat.
“Melalui antologi Cerpen ini, pembaca dapat melihat dan mengenal pasti perbezaan gaya bahasa dan penulisan saya dengan novel Kelabu. Penulisan cerpen membawa saya untuk lebih mempelbagaikan gaya penulisan dan berharap ia diterima oleh pembaca.
“Tidak hanya tertumpu pada cerpen, saya juga mahu berkongsi karya skrip filem pendek menerusi tiga skrip filem pendek iaitu Cili, Kopi Tiga Suku dan Budak Baru kepada pembaca,” ujarnya yang turut mempunyai syarikat produksinya sendiri iaitu Idebewe Productions.
Antara cerpen yang dimuatkan dalam buku tersebut ialah Mana Dia Pergi?, Cikgu Din, Epilog Damak, Kopi Kola dan Nakahari. Keseluruhan cerpen tersebut dihasilkan sekitar tahun 2009 hingga 2012 kecuali cerpen Cinta Sekeping Tisu yang dihasilkan pada tahun 2003.
Buku antologi Cerpen itu juga mengandungi sebuah cerpen bertajuk Puaka Pak Jaha yang telah memenangi hadiah utama kategori cerpen remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) ke-25 sekali gus menguatkan portfolionya dalam arena seni penulisan tanah air.
Tambah Nadia lagi, tiga skrip filem pendek yang terkandung dalam buku antologi cerpen itu juga diharap mampu memberi idea baharu kepada industri perfileman tempatan, malah tidak menolak sekiranya menerima tawaran daripada syarikat produksi yang berminat untuk menerbitkan karyanya itu.
Penerbit Buku Fixi, Amir Muhammad pula beranggapan buku antologi cerpen tersebut merupakan cara Nadia menyampaikan falsafah setiap manusia dengan gaya penulisan yang ringkas dan padat.
“Bahasa yang santai dalam buku ini dikuatkan lagi dengan jalan cerita yang kuat. Pembaca harus membaca skrip pendek yang bertajuk Cili kerana ia menggambarkan sisi sebenar karya penulisan Nadia Khan,” ujarnya.
Skrip filem pendek Cili telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama untuk Pertandingan Menulis Skrip kategori Filem Pendek anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada tahun 2009.
Mengulas lanjut mengenai penjualan buku antologi Cerpen di pasaran buku tempatan, Amir memberitahu, setakat bulan September, Cerpen mencatatkan jualan terlaris berbanding 20 buku keluaran Buku Fixi lain yang berada pasaran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: