|
BERBENTUK bulat di depan, nampak tebal dan bahagian depannya tertutup, sepatu yang disarung Joice Madeline, 40, nampak seperti kebanyakan kasut biasa lain. Tetapi pada harga RM1,000 untuk sepasang sepatu tersebut, ternyata kasut yang disarung di kaki Joice bukanlah sebarangan kasut.
Namun, dengan rupa ringkas dan tampak biasa, walaupun pada harga lebih RM1,000 sudah tentulah kasut tersebut bukanlah keluaran Jimmy Choo atau Stuar Weitzman yang pasti nampak lebih elegan serta mewah.
Lantas, apakah hebatnya sepatu yang tampak biasa di mata kebanyakan orang tetapi, Joice sanggup membayarnya pada harga RM1,000.
Joice berbuat demikian kerana kasut itu antara faktor penting yang boleh memanjangkan umurnya atau setidak-tidaknya memastikan dia tidak berdepan dengan komplikasi kesihatan lebih buruk.
Menghidap penyakit diabetes sejak hampir 10 tahun, Joice antara jutaan pesakit tersebut di seluruh dunia yang perlu berhati-hati mengatur langkah setiap hari.
Hal ini kerana sekiranya dia tidak berwaspada, sebarang kecederaan atau luka pada kakinya boleh menyebabkan dia berdepan dengan risiko lebih parah termasuk amputasi atau kehilangan nyawa.
Kira-kira 5.6 juta daripada 28 juta penduduk Malaysia menghidap penyakit diabetes dan daripada jumlah itu, 1.4 juta pesakit diabetes mengalami komplikasi kaki yang serius.
Malah, lebih teruk lagi, tanpa tindakan bersepadu menentangnya, jumlah tersebut dijangka meningkat sebanyak 72 peratus menjelang 2025.
Penjagaan kaki
Senario itu bukan sahaja memberi komplikasi besar terhadap kesihatan, tetapi juga menimbulkan beban kepada perkhidmatan kesihatan.
Penjagaan kaki menjadi satu elemen penting bagi pesakit diabetes untuk mencegah komplikasi yang lebih serius daripada berlaku.
Mengimbas kembali pengalaman lalu, anak jati Klang, Selangor itu mengakui segala-galanya berlaku disebabkan tabiatnya yang gemar makan makanan yang manis dan tidak pernah mempunyai pantang-larang dalam soal pemakanan.
|
|
Dia yang gemar makan kek dan jus buah-buahan mengakui apa sahaja yang berada di depan mata, dia akan makan tanpa melihat kesan akan datang.
Ketika diajak menceritakan semula kisah lalunya, Joice memberitahu, dia hanya menyedari menghidap penyakit itu setelah menjalani pemeriksaan kesihatan kerana mendapat tawaran bekerja sebagai guru.
Selepas beberapa hari menjalani ujian kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang barulah dia mengetahui dia menghidap penyakit diabetes.
Namun, perkara itu tidak mengejutkannya lebih-lebih lagi kedua-dua ibu bapanya yang turut mempunyai penyakit sama.
Pada masa itu, dia mengakui memang tidak langsung memikirkan sangat tentang penyakit diabetes dihidapi.
Kasut khas
Malah, dia tidak mengubah corak pemakanannya kerana sibuk dengan pembelajaran di peringkat sarjana dalam jurusan bahasa Inggeris.
Justeru, dia langsung tidak menitikberatkan soal pemakanan kerana sibuk membuat persediaan untuk menghadapi pemeriksaan.
Namun demikian, apabila dia menyedari terdapat lubang di bahagian kaki kanannya pada awal tahun 2009, Joice mula bimbang.
Menyedari keadaan bertambah parah, dia terpaksa menjalani pembedahan yang menelan belanja hampir RM20,000 untuk membersihkan luka tersebut.
Bertitik tolak dari situ Joice mengakui, dia bukan sahaja bergantung kepada ubat-ubatan, tetapi perlu memakai kasut khas bagi mengelakkan luka kakinya bertambah parah.
Atas nasihat doktor ortopedik, dia akhirnya akur untuk mendapatkan khidmat pembuatan kasut khas berdasarkan ukuran kakinya biarpun perkhidmatan itu menuntut perbelanjaan yang besar.
Mengulas lanjut mengenai kasut khas tersebut, dia memperuntukkan hampir RM1,000 hanya untuk sepasang kasut.
Tambah guru yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Klang itu, dengan memakai kasut khas itu ia sememangnya selesa, malahan lebih selamat.
Kasut yang menutup kawasan kakinya itu dikatakan sangat lembut.
"Tiada langsung rasa fabrik atau benang kasut itu, ia sedap dipakai," katanya sambil memberitahu kini dia mempunyai tiga pasang kasut khas itu.
Bagi Lee Teoh Yung, 47, pula yang telah memakai kasut tersebut sejak tiga tahun lalu, dia berpendapat kasut tersebut sememangnya sangat sesuai untuk pesakit diabetes.
|
|
"Saya rasa lebih ringan ketika berjalan, malah pelapiknya yang tebal tidak menyebabkan rasa sakit pada bahagian yang terdapat luka.
"Biarpun, harganya mencecah ribuan ringgit, tetapi saya amat berpuas hati kerana kualiti kasut itu mampu melindungi kaki sehingga satu tempoh yang lama," ujarnya yang hanya mempunyai sepasang kasut yang berharga RM1,200.
Sementara itu, Pengarah Urusan MyOrtho, Edmund Lee memberitahu, kasut diabetes tersebut sememangnya mempunyai perbezaaan berbanding dengan kasut biasa.
Antaranya, pelapik dalaman kasut tersebut tidak mempunyai jahitan sekali gus mengurangkan risiko kecederaan pada kaki pesakit yang terdapat luka.
Tambahan pula, ia dilengkapi dengan ruang dalaman yang lebar dan ia memberi keselesaan kepada pesakit ketika berjalan.
Menurutnya, kasut yang dihasilkan dari Amerika Syarikat (AS) itu mempunyai ruang dalaman yang lebih besar banding kasut orang normal.
Material getah
Beliau yang berkecimpung dalam bidang ortopedik sejak dua tahun lalu memberitahu, kasut yang diperbuat daripada bahan etleyl vinyl acetat (EVA) sangat sesuai untuk pesakit diabetes kerana material berkenaan sangat lembut.
EVA merupakan sejenis getah yang biasanya digunakan untuk pelapik dalam kasut sukan seperti hoki, tinju dan luncur ais.
Menggunakan material itu sebenarnya dapat mengurangkan risiko kaki diabetik daripada mudah terluka selain menurunkan risiko jangka panjang.
Mengulas lanjut mengenai keistimewaan kasut itu, beliau berkata, ia ditempah khas mengikut saiz kaki pesakit. Oleh kerana itulah, kasut MyOrto lebih mahal berbanding kasut biasa.
Pada kebiasaannya, selepas mengambil ukuran saiz selain melihat keadaan kesihatan kaki, pihaknya akan menghantar ukuran tersebut ke AS dan ia akan dibuat oleh pakar-pakar ortopedik di sana.
Sepasang kasut akan mengambil masa kira-kira tiga atau empat minggu untuk siap.
Dalam pada itu, beliau menyarankan kepada pesakit supaya mengelakkan kasut itu terkena cahaya matahari untuk menjaga kualitinya.
"Pesakit juga boleh mencuci kasut itu dan ia boleh bertahan antara dua hingga tiga tahun bergantung kepada aktiviti dan berat badan pesakit," jelasnya sambil memberitahu harga kasut dijual dari harga RM600 sehingga RM2,000 sepasang.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai reka bentuk dan kasut itu, beliau berkata, kebiasaannya untuk pesakit kencing manis, kebanyakan kasut itu tertutup di bahagian hadapan kerana mahu mengelakkan risiko kecederaan.
Walaubagaimanapun, para pesakit yang mahu memakai kasut itu perlu mendapatkan perakuan daripada doktor terlebih dahulu.
"Kita di sini bukan sewenang-wenangnya menawarkan kasut kepada pesakit, tetapi mereka perlu mendapat kebenaran daripada doktor.
"Selepas itu, pesakit akan menjalani beberapa ujian sebelum ukuran kasut kaki pesakit dihantar kepada pengusaha di AS," jelasnya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: