Majlis perkahwinan yang mewah dan
dowri sebagai syarat perkahwinan masil diamalkan secara meluas oleh
masyarakat India. - Gambar hiasan
Emas, yang secara tradisi diberi oleh keluarga pengantin perempuan sebagai hantaran kahwin, tidak lagi menjadi pilihan utama lebih-lebih lagi selepas harga komoditi itu melepasi paras Rs32,000 (RM1,747) bagi 10gm baru-baru ini.
Sekarang ini, kebanyakan keluarga India nampaknya telah beralih daripada emas kepada wang tunai atau harta atau kombinasi mana-mana dua atau ketiga-tiganya.
Di India yang moden pada hari ini, sistem dowri nampaknya mengatasi cabaran peralihan zaman dan perundangan yang melarangnya.
Sebenarnya, ia terus berkembang walaupun ramai menganggap pemberian dowri ini sebagai amalan tidak sihat.
Majlis perkahwinan yang mewah dan dowri sebagai syarat perkahwinan dalam realiti diamalkan secara meluas oleh masyarakat India dan menerima liputan glamor di media walaupun dowri dikatakan menjadi punca kekejaman terhadap wanita di negara ini.
Dowri, yang juga dikenali sebagai Stree Dhan, sebenarnya adalah hadiah yang diberi kepada pengantin perempuan oleh ibu bapa dan sanak saudara untuk menyempurnakan perkahwinannya.
Dalam kitab Hindu, Veda, ia dijelaskan sebagai Kanyadaan (hadiah untuk gadis), kata Nitasha Agarwal, Ketua Pengurus Smile Foundation, sebuah NGO yang menumpukan usaha dalam menjaga kebajikan dan memperkasa kaum hawa.
"Memandangkan seorang anak perempuan dalam sebuah keluarga tidak mempunyai hak sama rata terhadap harta keluarga, mereka diberi hadiah dalam bentuk dowri tetapi ia kadangkala digunakan untuk memikat keluarga pengantin lelaki.
"Ini membawa musibah kepada kaum hawa dan bertentangan dengan hak asasi mereka.
"Gadis dianggap sebagai liabiliti, oleh itu pembunuhan mereka sebelum dan selepas lahir, berterusan," katanya kepada Bernama dalam soal jawab melalui e-mel.
Kekejaman terhadap wanita
Jumlah dowri yang ditetapkan oleh kebanyakan komuniti di India tidak kurang daripada "100 sovereign (syiling)" emas, dan apabila seorang anak perempuan dilahirkan, keluarganya mula menabung dengan segera bagi perkahwinannya.
Pelakon Bollywood Aamir Khan dalam rancangan temu bual beliau di televisyen Satyamev Jayate, (Hanya Kebenaran Sahaja Boleh Mengatasi), mendedahkan bahawa sehingga 80 peratus daripada pinjaman bank yang diambil orang ramai adalah untuk memenuhi tuntutan dowri.
Lagipun, tuntutan dowri itu berterusan walaupun selepas perkahwinan yang jika tidak ditunaikan membawa kepada gangguan, penyeksaan mental dan fizikal dan amalan ngeri "membakar pengantin perempuan".
"Seorang wanita mati setiap jam di India dalam kejadian yang berkaitan dengan dowri," Aamir mendedahkan dalam rancangan temu bual itu.
Nitasha juga menyalahkan persepsi masyarakat yang jika gadis itu berkahwin pada usia yang muda, jumlah dowri yang kecil memadai, tetapi jika gadis itu berpendidikan, keluarga perlu membayar dowri yang tinggi untuk mendapatkan pasangan dengan status yang sama.
Oleh itu, sistem dowri menjadi punca perkahwinan kanak-kanak berleluasa, selain kehidupan gadis terabai dan gangguan seksual.
Sementara itu, Dr Rizwana Parvin, seorang peguam di Delhi berkata India mempunyai undang-undang yang memadai untuk melindungi wanita tetapi ia tidak dilaksanakan dengan sempurna dan tidak mengambil kira beberapa isu sensitif berhubung kaum hawa.
Dowri sehinggakan dilarang oleh Akta Larangan Dowri 1961 dan Seksyen 498A Kanun Prosedur Jenayah India (IPC) sementara banyak lagi perundangan melindungi wanita daripada keganasan rumahtangga, rogol dan ujian penentuan jantina anak.
Bagaimanapun, kesedaran terhadap undang-undang ini adalah terhad. Juga, rasa takut akan stigma sosial menghalang wanita daripada meminta diceraikan dan mereka menghadapi keganasan rumahtangga kerana desakan untuk dowri atau alasan lain.
"Jadi, wanita terpaksa menerima gangguan seperti itu sama ada kerana tidak mengetahui kewujudan undang-undang yang melindungi mereka atau oleh kerana tanggapan serong masyarakat terhadap mereka apabila diminta diceraikan," katanya kepada Bernama.
"Saya pernah mengendali beberapa pertikaian rumahtangga (berhubung dengan dowri atau sebaliknya) dan wanita yang saya wakili menerima keadilan dan hak mereka dijaga dengan baik.
"Hakikat yang keganasan serta kematian berkaitan dengan dowri masih belum menunjukkan tanda-tanda yang ia akan berkurang sejak dua dekad yang lepas, membuktikan bahawa undang-undang sedia ada tidak dilaksanakan dengan sempurna, dan oleh itu gagal bertindak sebagai penghalang," kata Rizwana.
Jenayah tertinggi
Beribu-ribu wanita mati setiap tahun di India berhubung dowri. Kes penyeksaan berhubung dowri adalah tertinggi mewakili 32.4 peratus daripada jenayah terhadap wanita di negara ini.
Antara kes terbaharu adalah seorang wanita muda dibunuh dengan kejam oleh suaminya kerana dowri di Vijapore, sebuah kampung di daerah Navsari, Gujarat.
Seorang wanita di Punjab mendakwa beliau diseksa oleh suami dan keluarga mentua kerana melahirkan anak perempuan dan dowri yang diberinya tidak mencukupi.
Kejadian seumpamanya tidak terhad kepada golongan miskin dan tidak berpendidikan dalam masyarakat India.
Awal bulan lepas, seorang suri rumah berusia 28 tahun dibunuh oleh suaminya seorang jurutera dalam satu kejadian berhubung dowri di Motilal Mallick Lane, Baranagar, Kolkata. Sementara suaminya itu ditahan, emak mentua mangsa melarikan diri.
"Angka kematian kerana dowri tidak pernah berkurang dan pihak yang bersalah terlepas daripada hukuman, walaupun ada bantahan daripada aktivis global dan dalam negara selain terdapat undang-undang antarabangsa dan domestik yang menyekatnya," kata Nitasha.
Sebuah laporan yang memetik statistik Biro Rekod Jenayah Kebangsaan menunjukkan satu jenayah terhadap wanita direkodkan setiap tiga minit di India.
Setiap 60 minit, dua orang wanita dirogol di negara itu. Setiap enam jam, seorang wanita muda yang telah berkahwin ditemui mati dipukul, dibakar atau membunuh diri.
"Diskriminasi jantina adalah antara punca keganasan terhadap wanita memandangkan mereka dipandang rendah berbanding kaum lelaki dari segi pendidikan dan kerjaya," jelas Nitasha.
Punca lain adalah penerimaan meluas sistem dowri merentasi masyarakat - kasta, kelas dan agama - selain menggunakan dowri untuk mengaut keuntungan.
Masalah ini bertambah buruk kerana kurangnya tindakan tegas terhadap mereka yang mencabul undang-undang menentang dowri.
"Kaum wanita cuba menyelamatkan nyawa dan maruah mereka menerusi bantuan perundangan, media, aktivisme serius dan kesedaran yang lebih tinggi lagi.
Walaupun dengan semua ini, India masih tidak dapat mengatasi stigma dowri," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: