Prinsip saya, belajar adalah satu
proses yang berterusan. Jika kita hendak berjaya, kita perlu sentiasa
belajar dan menambah ilmu yang ada di dada
Baginya, untuk menjadi orang yang hebat dan berjaya, perlu melepasi norma kebiasaan serta mencetuskan sesuatu yang lain daripada yang lain.
Sama seperti yang dilakukan oleh Tan Sri Mohamad Ali Hashim (JCorp), Dr. Azizan Osman (Richwork), Tony Fernandez (Air Asia), Vincent Tan (Berjaya Group), Lee Shin Cheng (IOI Group), Jeffrey Chuah (Sunway Group) dan beberapa lagi tokoh korporat yang menjadi idola Rozihaslina Saarey.
Wanita ini sememangnya tidak jemu mengkaji tentang orang yang berjaya, selain membaca biografi mereka dan apabila berkesempatan akan berbual dengan tokoh-tokoh hebat ini.
Ibu kepada empat anak berusia empat hingga lapan tahun ini merupakan pengacara majlis sambilan dan juga penceramah dalam bidang berkaitan kuasa minda.
Rozihaslina, 35, yang selesa disapa Rozi, turut mempunyai pensijilan dalam bidang tersebut termasuk Certified Neuro Linguistic Programming (NLP) Practitioner dari International Society of Neuro Semantic (ISNS), Colorado, Amerika Syarikat (AS) , Certified Neuro Semantic Practitioner ISNS dan Certified Hypnosis & Time-Line Practitioner, ISNS, juga dari AS.
Dengan adanya kelayakan tersebut membolehkan Rozi memberi ceramah tentang kuasa minda, hukum tarikan manusia, misteri diri, sistem kepercayaan dan bagaimana untuk memprogram semula minda manusia.
"Saya suka berangan-angan untuk menjadi seorang wanita hebat dan ahli perniagaan yang sangat berjaya di dalam perniagaan dan berjaya di dunia dan akhirat seperti isteri Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah.
"Saya juga menyimpan impian untuk satu hari nanti untuk menjadi seorang ahli perniagaan wanita yang sangat berjaya membina empayar perniagaan di Malaysia seperti Datuk Maznah Hamid (pemilik SecuriForce).
"Saya juga boleh bertindak sebagai jurulatih peribadi menggunakan teknik-teknik neuro linguistic programming, neuro semantic dan hipnosis, iaitu istilah yang biasa digunakan dalam bidang kuasa minda.
" Teknik-teknik ini boleh digunakan bagi menyembuhkan masalah fobia terhadap sesuatu benda atau perkara, meningkatkan keyakinan diri serta menyelesaikan konflik dalaman.
"Prinsip saya, belajar adalah satu proses yang berterusan. Jika kita hendak berjaya, kita perlu sentiasa belajar dan menambah ilmu yang ada di dada. Saya memang dahagakan ilmu. Kita perlu kejar impian kita dan Insya-Allah, pintu-pintu peluang akan terbuka sekiranya kita berusaha, terus konsisten, dan buat dengan sepenuh hati," jelas Rozi yang mendapat sokongan penuh suaminya, Azizul Tajuddin.
Mengolah keupayaan semula jadi manusia
Rozi berkata, minda manusia ini terdiri daripada minda sedar (7 peratus) dan minda separa sedar (93 peratus). Minda sedar adalah minda yang kita gunakan dalam membuat keputusan sehari-hari dalam keadaan kita sedar.
Hakikatnya minda sedar ini dikawal oleh minda separa sedar, di mana minda separa sedar menyimpan semua data-data pengalaman yang pernah kita lalui, apa yang kita lihat, dengar dan rasa, simpan data-data dan seterusnya membentuk sistem kepercayaan diri.
"Apabila kita membuat sesuatu keputusan, sebenarnya kita menggunakan data-data yang disimpan di dalam minda separa sedar kita.
"Sebenarnya kita boleh arahkan diri kita membuat apa saja dengan memberikan arahan kepada minda separa sedar. Dan apa saja yang kita ingin laksanakan insya-Allah akan berjaya.
"Saya percaya di sebalik sesuatu masalah itu sebenarnya ada peluang. Mengikut hukum 'sebab dan akibat', hasil sesuatu perbuatan itu akan ditentukan oleh apa yang kita fikirkan dan apa tindakan yang kita buat.
"Jadi, sentiasa pastikan fikiran dikuasai dengan perkara-perkara positif yang dapat memperkasakan diri. Sebab kita akan jadi seperti apa yang kita fikirkan," katanya yang pada masa lapang gemar membaca buku-buku berkaitan pembangunan diri dan prinsip-prinsip kejayaan.
Pengalaman menjadi pengacara
Mengenai bidang pengacaraan pula, Rozi mula diberi kepercayaan mengendali majlis sejak 2004 lagi. Ketika itu beliau menjadi pengacara bagi Majlis Makan Malam Menteri-Menteri Tenaga ASEAN di Langkawi.
"Saya ambil cabaran itu walaupun tahu tiada pengalaman dan acara besar. Apa yang pasti saya rasa bertenaga setiap kali selepas mengacara majlis. Bila kita buat sesuatu perkara yang kita cinta, kita akan lebih berjaya.
"Pengalaman manis semasa dan selepas mengacarakan majlis adalah apabila saya menerima pujian-pujian yang bagus dan ada beberapa majlis yang mana saya mendapat pujian mengatakan suara saya sedap didengar.
"Pengalaman manis lain ialah apabila saya mengacarakan satu acara untuk Petronas. Saya ditugaskan untuk menjadi floor emcee. Masa itu satu dewan gamat dengan reaksi hadirin yang hadir dan sangat memberikan kepuasan kerana saya dapat berinteraksi dengan hadirin serta membuatkan acara lebih meriah dan seronok.
"Setakat ini banyak majlis korporat telah diacarakan antaranya termasuk majlis makan malam, perasmian butik, pelancaran produk, perkahwinan dan sebagainya," katanya yang pernah mengacarakan Konvensyen Bidadari Dunia pada tahun 2012 anjuran I Luv Islam, yang ini dihadiri oleh lebih 3,000 orang peserta.
Bagi memantapkan lagi kemahirannya mengacara dan berceramah, Rozi turut menyertai Toastmaster Malaysia dan Malaysian Public Speaker.
Rozi juga sedang dalam proses untuk mendapatkan satu slot di dalam radio bagi berkongsi ilmu tentang kuasa minda.
"Pengetahuan mengenai kuasa minda akan membantu ramai orang mengenali kekuatan dan memanipulasi kuasa minda untuk menjadi lebih berjaya di dalam hidup mereka.
"Saya juga sedang dalam peringkat perbincangan dengan Malaysian U.S. Chamber of Commerce untuk memberikan ceramah berkenaan kuasa minda untuk pelajar-pelajar Malaysia di universiti-universiti di AS," kata Rozi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: