Saturday, January 21, 2012

Megat Sharizal tidak kisah populariti


MEGAT Sharizal mahu mencuba pelbagai watak.


MINAT yang mendalam di dalam bidang lakonan memberi peluang kepada anak jati Kuala Lumpur ini untuk berada di dalam dunia seni, bagaimanapun setelah tujuh tahun berjuang namanya masih lagi belum sebaris dengan nama-nama pelakon terkenal lain.

Sedar akan hakikat itu, Megat Sharizal Mohamed Yusoff,33 ,tidak pernah merasakan populariti merupakan antara perkara yang harus dirunsingkan.

Menurutnya, apa yang penting untuk dirinya kini adalah melunaskan impiannya menjadi seorang pelakon.

“Saya mula berjinak-jinak di dalam dunia lakonan ketika sedang menuntut di kolej lagi.

“Mungkin saya kurang berada di dada-dada akhbar atau majalah, namun perjalanan seni saya amat aktif sejak tujuh tahun lalu,” katanya ketika ditemui di set penggambaran drama bersiri komedi Opera Sabun.

Bagi Megat Sharizal sendiri, dia tidak pernah kecewa walaupun sampai kini dia tidak pernah menduduki takhta populariti.

Malah sepanjang tujuh tahun berada di dalam dunia lakonan ini, dia diberi peluang untuk terus belajar untuk memantapkan bakat lakonannya.

“Mungkin saya kurang pendedahan di media untuk dikenali.

“Namun saya sangat bersyukur kerana terus diberi peluang untuk memantapkan bakat lakonan saya,” katanya.

Ternyata pentas teater merupakan cinta pertama Megat Sharizal, malah menurutnya melalui teater juga dia banyak mempelajari pelbagai teknik lakonan yang betul.

“Selain aktif membintangi drama-drama tempatan, saya juga sering menerima tawaran untuk teater.

“Malah saya juga diberi kepercayaan mengarahkan tiga buah teater iaitu kisah Gadis, Tat Nenas dan Serangan Zombi di Malaysia,” katanya.

Sering menyandang watak antagonis, bagi Megat Sharizal dia tidak kisah sekiranya watak ini menjadi watak yang sinonim dengan dirinya. Bagaimanapun dia lebih suka sekiranya watak antagonis yang dibawanya mempunyai kekuatan tersendiri.

“Saya tidak mahu digelar pelakon stereotaip.

“Untuk itu, saya sangat mementingkan watak yang dibawa agar tidak memberi kesan kepada kerjaya lakonan saya,” jelasnya.

Bakal muncul dengan pementasan sketsa pada bulan hadapan bersama Playground Productions, menurut Megat Sharizal, dia sebenarnya lebih cenderung untuk bergelar pelakon komedi.

Malah dia juga berharap melalui pementasan sketsa yang akan dipersembahkan ini bakal mengangkat nilai komedi negara ke suatu tahap yang lebih membanggakan.

“Saya sebenarnya lebih suka untuk membawa watak komedi kerana jelas ia lebih dekat dengan diri saya yang suka berjenaka.

“Sketsa yang akan saya sertai pada bulan hadapan ini merupakan hasil usaha saya bersama rakan-rakan yang juga mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang lakonan. Diharap melalui pementasan sketsa ini, kami diberi mandat untuk terus memperjuangkan komedi di dalam industri hiburan negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: