
PELABUHAN KLANG - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor berjaya menumpaskan cubaan satu sindiket menyeludup 492.4 kilogram gading gajah bernilai RM2.4 juta dari Afrika Selatan melalui Pelabuhan Barat di sini pada Jumaat lalu.
Rampasan terbaharu itu adalah hasil daripada pemeriksaan rapi Unit Pemantauan Kontena Bahagian Penguatkuasaan Selangor ke atas sebuah kontena yang ditahan pada pukul 11 pagi.
Pengarahnya, Datuk Azis Yacub berkata, sindiket terbabit cuba mengelirukan pihaknya dengan mengisytihar dagangan di dalam kontena sebagai bahan diperbuat daripada gentian dan nilon.
Bagaimanapun, menurutnya, pemeriksaan rapi pihaknya menemui gading gajah yang disorok di dalam kotak dan diletakkan di bahagian belakang kontena bersama tayar terpakai.
"Pada mulanya, kita sangka kontena ini tidak mengandungi barangan terlarang kerana apabila pintu kontena dibuka, hanya kelihatan barangan yang diikrar seperti tikar, bantal dan tayar.
"Pemeriksaan menyeluruh akhirnya menemui gading gajah disorok di bahagian belakang kontena bersama tayar terpakai," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: